Friday, October 1, 2010

PERJALANAN KE 29

Alhamdulillah, diri ini sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana hari ini perjalanan hidupku telah memasuki 29 tahun. Nikmat kehidupan ini terasa sangat istimewa dikurniakan oleh-Nya. Nikmat pengalaman hidup setahun lagi yang telah dilalui semakin mematangkan diri ini untuk terus hidup dan mendepani cabaran yang mendatang.

InsyaAllah segala yang telah dirancang sebelum ini akan aku teruskan. Seperti yang pernah ditulis tahun lalu berkaitan Perjalanan Ke 28, tiada yang berubah, InsyaAllah perjuangan ini akan tetap kekal biar apapun cabaran yang datang. InsyaAllah, diri ini akan terus kuat dan tidak goyah. Jika ada rasa cinta kepada manusia tidak akan melemahkan aku, tetapi cinta kepada Allah dan Islam itu adalah paling utama. Justeru, sebagai tanda cinta itu, diri ini akan terus berjuang untuk meningkat diri dan berjaya dalam hidup. Agar di masa hadapan hidup ini akan mendatangkan manfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. InsyaAllah.

Angka perjuangan untuk 30 tahun yang akan datang, telah menjadi 29 tahun pada tahun ini, untuk aku terus berjuang memperbaiki diri sendiri supaya menjadi insan yang bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat sebelum dengan kehendak Allah aku menutupkan mata ini untuk selama-lamanya.

Sebagai muhasabah diri dalam perjuangan, dengan izin Allah, matlamat jangka pendek yang ingin dicapai ialah menamatkan PhD dengan jayanya. Kemudian, seterusnya berjuang untuk matlamat jangka sederhana iaitu berkhidmat dan menyumbangkan pembangunan ilmu dan pemikiran untuk kebaikan alam dan makhluk ciptaan Allah dan matlamat jangka panjang pula ialah berjuang membina kejayaan empayar perniagaan, InsyaAllah.

Memang status sebagai Dr., Profesor, Tan Sri dan empayar kekayaan yang dicitakan bukanlah segala-galanya, namun ia adalah sebagai cara yang dipilih untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan bermanfaat kepada manusia lain. Para sahabat Rasulullah SAW dahulu juga ramai yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai dan hartawan lalu kemudian mereka menggunakan kelebihan itu untuk berkhidmat kepada Islam. Justeru, kedudukan, harta dan pangkat yang ingin dicapai bukanlah untuk memusnahkan diri ini, tetapi menjadikan kelebihan untuk aku berkongsi dan menyumbangkan manfaat kepada orang lain.

Mungkin pada masa ini, teladan paling baik ialah Billionaire Melayu dan Islam seperti Tan Sri Syed Mokhtar dan Yayasan Al-Bukhary beliau. Dengan kekayaan dan kedudukan, beliau mampu berkhidmat untuk Islam. Walaupun empayar yang ingin aku bina dengan izin Allah mungkin tidak mampu sebesar empayar Tan Sri Syed Mokhtar, tetapi contoh dan usaha amal Tan Sri keoada pembangunan Islam dan masyarakat akan menjadi tauladan dan bekalan yang sangat bermakna untuk aku teladani.

Adalah lebih baik jika seorang Dr., Profesor dan Tan Sri itu adalah seorang yang beriman, yang bertaqwa, jujur, amanah, ikhlas, pemurah serta bersyukur, dan sentiasa mempergunakan ilmu kepakaran dan harta kekayaan ke jalan Allah berbanding jika hanya memilih untuk menjadi orang biasa. Bukankah orang yang dianugerahkan tinggi ilmunya oleh Allah dan banyak harta kekayaannya tetapi mempergunakan semua kelebihan itu untuk kebaikan adalah paling disukai Allah?

Semoga tahun demi tahun akan terus ada sinar kejayaan untuk diri ini dan perjuangan ini sentiasa dalam rahmat, redha dan berkat dari Allah SWT. Amin.


* Sesungguhnya manusia hanya merancang, tetapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

No comments: