Thursday, February 11, 2010

BUDAYA BARU?

1. Sejak kebelakangan ini saya dapati telah terbentuk beberapa budaya baru dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama orang Melayu dan Islam. Ini disebabkan tahap kemajuan negara, ketinggian teknologi, kematangan ilmu pengetahuan dan pembinaan tamadun bangsa yang semakin meningkat.

2. Tidak saya nafikan kemajuan dan kematangan ilmu serta pemikiran membawa banyak perkara baik dan baru hingga terbentuk beberapa budaya baru. Tetapi dalam kebaikan yang dihasilkan pastilah wujud juga keburukan. Keburukan inilah kalau tidak dikawal dan dijaga akan merosakkan tamadun agama, bangsa dan negara.

3. Saya bimbang jika budaya-budaya yang terbentuk ini akan terus diterima dan kemudiannya menjadi satu kebiasaan yang akhirnya diwariskan kepada generasi anak dan cucu kita yang akan datang.

4. Pertama, budaya berdemontrasi. Saya dapati pada masa sekarang, budaya berdemontrasi dalam menyampaikan suara, menyatakan pendapat, menunjukkan sokongan dan menyatakan bantahan sudah menjadi semakin popular dan mungkin juga sudah menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia. Apa sahaja isu yang timbul sama ada agama, politik, jenayah, perkauman dan pelbagai lagi akan merangsangkan orang ramai berkumpul dan berdemontrasi. Adakah ini cara yang betul? Adakah berdemontrasi itu pilihan terbaik yang ada? Bukankah Islam telah pun mempunyai garispanduan yang baik iaitu dengan menyarankan umat Islam menyelesaikan sesuatu perkara secara bermusyawarah, toleransi dan hormat-menghormati? Dimanakah hilangnya nilai keIslaman itu sekarang? Amatlah membimbangkan pada masa kini apabila kita lihat umat Islam di sana sini berdemontrasi memegang kain rentang dengan tulisan-tulisan yang berbaur kotor, memegang bendera kepartian sambil memaki orang itu, orang ini, bergaduh dengan pihak berkuasa keselamatan yang ditugaskan mengawal demontrasi, merosakkan harta benda awam, menghalang lalulintas, mencederakan sesama Islam yang berlainan ideologi sewaktu demontrasi dan berbagai-bagai lagi perbuatan yang memalukan dibuat ketika berdemontrasi. Adakah ini cara yang kita terima sekarang sebagai menunjukkan pemikiran kita telah maju? Paling menyedihkan, apabila sahaja ada sesuatu isu terbaru yang timbul, maka akan ada pihak-pihak tertentu yang bertindak menganjurkan dan menaja demontrasi jalanan ini. Adakah kita semua fikir inilah cara terbaik dan contoh yang betul yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang?

5. Kedua, budaya tidak menghormati undang-undang. Ya, betul, jika undang-undang yang dibuat oleh manusia pasti wujud kelemahannya. Tetapi adakah itu menjadi alasan utama untuk kita tidak perlu menghormati undang-undang? Bagi umat Islam Al-Quran adalah setinggi-tinggi undang-undang kita ada. Jadi kita wajib patuhi perintah Al-Quran. Tetapi dalam konteks undang-undang buatan manusia, proses kajian pembentukan dan seterusnya penggubalan undang-undang bukanlah mudah. Bahkah untuk menggubal dan meluluskan undang-undang di negara ini tidak mudah dan sewenang-wenangnya dibuat. Undang-undang bertujuan untuk memastikan semua manusia, hidupan, agama, bangsa, negara dan dunia diuruskan dengan sebaik mungkin. Tanpa undang-undang dunia tidak akan sejahtera. Jadi semua kita perlu hormati undang-undang. Manakala mahkamah pula bertindak sebagai pelaksana undang-undang. Namun, apa yang didapati sekarang semakin banyak pihak yang tidak menghormati undang-undang. Mereka ini sering meletakkan diri mereka lebih tinggi daripada undang-undang. Apabila hukuman dijatuhkan atau hakim membuat keputusan (contohnya walaupun keputusan itu dibuat oleh 5 orang hakim sekalipun) terhadap mereka, mereka bukan sahaja tidak dapat menerima keputusan mahkamah, malah bertindak menentang keputusan itu. Mereka berasa diri mereka lebih benar daripada proses undang-undang. Selain mempertikaikan undang-undang, mereka juga menghina sistem kehakiman itu sendiri dengan mempertikaikan kredibiliti institusi mahkamah. Apa yang lebih merbahaya saya dapati sehingga kini pihak ini cuba menanamkan sifat curiga terhadap institusi mahkamah dalam kalangan masyarakat. Mereka sedaya upaya mendorong orang ramai mencurigaikan institusi kehakiman dan mahkamah. Inilah antara budaya yang sangat dibimbangi yang sedang pun berlaku di negara ini. Apabila kepercayaan masyarakat terhadap undang-undang dan institusi mahkamah rosak, maka negara akan menjadi semakin huru-hara. Paling dibimbangkan jika budaya ini semakin menebal di kalangan generasi akan datang, bagaimanakah nasib pembangunan agama, bangsa dan negara ini pada masa hadapan?

6. Ketiga, selain tidak hormati undang-undang budaya seterusnya ialah budaya menganggap diri merekalah yang paling benar berbanding orang lain atau jika orang lain buat, adalah salah! tapi jika mereka buat perkara yang sama itu dikira tidak salah!. Contohnya dahulu pernah ada parti yang mendakwa mereka parti Islam menuduh jika bekerjasama dengan orang bukan Islam boleh kafir, tapi sekarang parti itu juga bekerjasama dengan bukan Islam dan sekarang merekalah yang beria-ia membela bukan Islam termasuk menyokong penggunaan nama Allah oleh pihak gereja. Ada juga ahli mereka yang sanggup menangis dan memeluk pemimpin bukan Islam yang kononnya difitnah akibat pendedahan gambar sulitnya. Contoh lain ialah jika ada pemimpin atau anggota yang bukan dari parti mereka buat salah adalah haram dan dilabelkan sebagai pengkhianat serta perlu dipecat, tetapi jika pemimpin dan ahli parti sendiri yang buat salah adalah halal, perlu diberi peluang dan diberi cuti rehat. Inilah budaya yang amat dibimbangi disuap kepada generasi akan datang kerana budaya ini adalah matlamat menghalalkan cara dan akan merosakkan agama, bangsa dan negara.

7. Keempat, budaya fitnah menfitnah. Budaya ini semakin genting pada masa sekarang khususnya dengan kemajuan teknologi maklumat. Blog-blog yang dibangunkan untuk tujuan mencipta, menyampaikan dan menyebarkan fitnah semakin banyak. Dulu budaya fitnah ini lebih popular di kalangan dunia hiburan melalui gossip artis-artis, tetapi sekarang fitnah semakin meluas merangkumi bidang politik dan pelbagai bidang lain lagi serta melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Ada ketikanya rating capaian orang ramai terhadap blog-blog atau laman web fitnah ini lebih tinggi melangit berbanding capaian melayari laman-laman web yang berunsur ilmu dan bermanfaat. Semakin ramai orang membaca laman web dan blog fitnah ini, maka semakin ghairahlah penulis blog mencipta fitnah melalui tulisan yang kadang kala berbahasa kesat dan memaparkan gambar-gambar fitnah yang telah diubahsuai. Ingatlah, bahawa semakin banyak blog-blog hiburan dan berunsurkan fitnah ini, maka semakin ramailah masyarakat kita disajikan dengan pelbagai fitnah yang kadang-kalanya boleh membawa kesan yang amat negatif jika ada pihak yang gagal membuat pertimbangan yang rasional hingga mempercayai semua fitnah-fitnah yang direkacipta. Bagi generasi akan datang pula, amatlah malang apabila pemikiran mereka yang masih putih bersih, tetapi dicemari akibat terdedah lebih awal kepada budaya fitnah menfitnah di internet sekarang.

8. Kelima, berdasarkan teknologi komunikasi sekarang menjadikan perhubungan dan komunikasi manusia semakin mudah dan senang. Ini kerana perluasan dan pembangunan kemudahan internet di negara ini semakin berkembang. Saluran informasi juga semakin cepat dan tepat. melalui YM, blog dan laman web. Komunikasi dalam komuniti juga berkembang melalui kewujudan ruang-ruang komuniti seperti Facebook, Friendster, Twitter, Myspace, Ning dan macam-macam lagi komuniti maya direkacipta. Ini suatu perubahan dan pembaharuan yang baik, dapat meluaskan bentuk perhubungan dan merapatkan silatulrahim melalui komunikasi maya. Tetapi seperti yang saya katakan pada bahagian awal, jika sesuatu yang baru tidak dikawal secara baik, ia akan menjadi perkara yang buruk. Contoh pertama, semakin ramai masyarakat yang sering memperuntukkan sebahagian besar masa seharian mereka untuk melayari ruang komuniti maya ini berbanding melakukan perkara-perkara lain yang lebih penting misalnya menyiapkan kerja di pejabat, menyiapkan tugasan-tugasan di universiti, mengemas rumah dan menyiapkan kerja sekolah. Jika tidak terkawal lagi ia mampu menjadikan kita ketagih untuk melayari ruangan ini sepanjang masa. Dulu mungkin kita anggap video games dan computer games sebagai elemen pencuri masa, tetapi kini Facebook, Friendster, Twitter dan Myspace pula mengambil alih.

9. Contoh kedua ini adalah nasihat yang saya tujukan khas untuk diri saya sendiri terlebih dahulu. Berdasarkan pemerhatian saya, budaya Blog, Facebook, Friendster, Twitter dan Myspace pada masa sekarang menyebabkan semakin ramai yang ingin mempunyai blog sendiri, mempunyai akaun Facebook, Friendster, Twitter dan Myspace sendiri, termasuklah saya juga. Apa yang kita masukkan dalam ruangan tersebut adalah berkaitan maklumat diri sendiri, pemikiran, pendapat, komen, gambar-gambar dan aktiviti diri sendiri atau keluarga atau rakan-rakan. Dari segi penulisan, apa yang membimbangkan saya ialah tentang apa yang kita tulis itu adalah mewakili diri, pemikiran, pendapat dan pandangan kita. Seharusnya kita berhati-hati dan mengawal penulisan kita atau komen kita supaya tidak mendatang kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga, orang lain, agama, bangsa dan negara. Jika menyampaikan sesuatu maklumat atau pendapat seharusnya dari sumber yang tepat dan benar dan jika memberi pendapat haruslah rasional, bernas dan tidak mengarut. Kita jugak tidak harus terlalu mudah menyebarkan email atau maklumat-maklumat yang sampai kepada kita kepada orang lain selagi kita tidak tahu sejauh mana kebenaran maklumat itu. Ingatlah, orang ramai membaca dan orang ramai juga menilai kita daripada apa yang kita tuliskan.

10. Seterusnya, kini semakin ramai mereka yang ghairah (mungkin lebih ramai golongan wanita) mengupload gambar-gambar diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan di dalam Blog, Facebook, Friendster, Twitter dan Myspace sendiri (saya juga berbuat demikian). Mungkin niatnya hanya ingin berkongsi gambar-gambar peristiwa dan kenangan manis diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan dengan ahli-ahli teman komuniti maya. Tetapi bagi yang beragama Islam terutamanya wanita adakah mereka sedar apakah batas-batas agama berhubung soal ini? Kadang kala tanpa disedari mereka menguploadkan gambar-gambar untuk tatapan teman-teman dan umum yang melebihi batas agama misalnya berkaitan batas aurat yang boleh didedahkan kepada umum, cara berpakaian dan aksi-aksi tingkahlaku di dalam gambar yang mungkin melangkau batas agama dan kesopanan. Akibat keghairahan kita, kadang kala kita lupa akan hal ini. Memang seronok apabila dapat tayangkan gambar yang cantik dan tempat menarik untuk tatapan rakan-rakan tetapi dalam masa yang sama kita mungkin membelakangkan soal batas agama atau batas kesopanan. Mungkin gambar yang diupload itu sesuai untuk tatapan rakan-rakan terdekat ataupun ahli keluarga sahaja, bukannya untuk ditonjolkan kepada umum. Saya pasti ciri-ciri keselamatan pada Facebook, Friendster, Twitter dan Myspace membolehkan kita memilih mana gambar yang berbentuk private ataupun berbentuk public. Ada juga yang mengambil peluang menguploadkan gambar-gambar mereka yang dalam berbagai fashion pakaian bagi menyerlahkan lagi kecantikan mereka untuk dipuji dan ditonton oleh ahli-ahli komuniti tersebut.

11. Adakah kini semakin ramai orang yang mungkin berasa seronok apabila menjadi bahan tontonan?

12. Mungkin inilah trend dan budaya baru?

4 comments:

Unknown said...

>dan sekarang merekalah yang beria-ia membela bukan Islam termasuk menyokong penggunaan nama Allah oleh pihak gereja.<

salam saudara, benarkah pihak tersebut berkata demikian?? "menyokong penggunaan nama Allah"?? "menyokong"?? Sila buktikan saudara. Buktikan yang pihak tersebut mengueluarkan kata "menyokong" atau "sokong" ??

Syahril Said said...

W'salam, saya tidak dapat menyebut secara direct pihak yang terlibat,ini kerana saya tidak mahu terjebak fitnah-menfitnah, ini juga maksudnya tidak semua yang terbabit dalam pertubuhan itu, tetapi melalui bacaan dan pemerhatian saya (bolehlah baca dalam laporan-laporan media dan blog2 lain) beberapa pihak atau individu yang mewakili pihak berkenaan menyatakan sokongan secara terang terhadap isu ini..

Unknown said...

Benarkah dia mewakili parti, atau pandangan peribadi beliau? dan...Ada juga pandangan peribadi seorang ulama (yang saya sanjungi) juga dari PARTI TERSEBUT yang MENENTANG penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja. Saudara pun telah memasukkan klip video tersebut dalam blog saudara.

Berbalik kepada kenyataan saudara yang awal, seolah-olah parti tersebut "menyokong" adalah kenyataan yang salah pada pandangan saya. Saudara kena baca kenyataan RASMI parti berkenaan berkaitan perkara tersebut. Sila lah cari di dalam dunia tanpa sempadan ini...

Syahril Said said...

terima kasih atas pendapat saudara yang mengatakan pandangan saya salah dalam hal tersebut, itu adalah pendapat peribadi saya. saya juga telah lama membaca kenyataan RASMI tersebut. saya tidak mewakili mana-mana pihak. tetapi mungkin akan da pihak tertentu yang merasakan pandangan saya bias, ini kerana pendirian mereka juga adalah bias. bagus jika kita mempunyai berbeza-beza pendapat. inilah erti penjanaan pemikiran dan ilmu. saya hormati pandangan saudara terhadap saya. saya percaya setiap orang atau pihak pasti telah membuat tafsiran dan analisis yang berbeza-beza terhadap kenyataan RASMI itu. inilah kebebasan berfikir.