Showing posts with label BDM. Show all posts
Showing posts with label BDM. Show all posts

Sunday, March 28, 2010

SEKALUNG TAHNIAH UNTUK GRADUAN BDM

1. Hari ini dan pagi ini merupakan hari besar dan bersejarah kepada para Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM). Mereka adalah tetamu yang sangat diraikan bersama ahli keluarga mereka di dalam Majlis Konvokesyen UUM Ke-23 Sidang Pertama.

2. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka semua dengan ucapan SYABAS! dan TAHNIAH!

3.Saya juga mengucapkan TAHNIAH! khas kepada Muhammad Syahmizan Azmi yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Lim Jen Zen yang menerima anugerah Ijazah Kelas Pertama untuk BDM.

4. Saya berdoa semoga para graduan BDM ini akan terus berjaya dan cemerlang di dalam bidang kerjaya dan alam kehidupan selepas universiti.

Syahril Said,
Graduan BDM 2003
Melbourne

Saturday, January 23, 2010

KONVOKESYEN KE-23 SIDANG PERTAMA UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

1. Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengadakan Majlis Konvokesyen Ke -23 Sidang Pertama seperti berikut :

Tarikh : 27-29 Mac 2010
Tempat : Dewan Mu’adzam Shah, UUM

2. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan SYABAS DAN TAHNIAH kepada semua graduan UUM yang akan menerima ijazah masing-masing khususnya para graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM).

3. Senarai nama para graduan BDM yang akan menerima ijazah dalam majlis konvokesyen berkenaan BDM adalah seperti dalam senarai berikut : (Klik sini)

4. Saya amat berbangga dengan kejayaan para graduan semua kerana
tuan-tuan dan puan-puan adalah generasi intelek masa hadapan dan juga pewaris kepimpinan yang akan menerajui pembangunan dan kemajuan negara ini.

5. Sesungguhnya majlis konvokesyen itu nanti pasti merupakan satu detik yang amat berharga bagi meraikan dan menghargai segala usaha dan kesungguhan yang telah
tuan-tuan dan puan-puan lakukan untuk menamatkan pengajian di UUM dengan cemerlang dan jayanya.

6. Paling membanggakan saya apabila sebanyak 75.8% graduan BDM akan menerima Ijazah Kelas Kedua Atas.

7. Setinggi-tinggi ucapan TAHNIAH khas daripada saya kepada Lim Jen Zen kerana menjadi graduan tunggal bagi BDM yang menerima Ijazah Kelas Pertama.

8. Saya berasa kurang bernasib baik kerana tidak berpeluang hadir ke majlis konvokesyen pada kali ini untuk bersama meraikan kejayaan
tuan-tuan dan puan-puan semua.

9. Saya doakan
tuan-tuan dan puan-puan semua akan terus cemerlang dan berjaya di alam pekerjaan dan kehidupan seterusnya.

10. Akhir sekali, harapan saya kepada para pelajar BDM yang masih sedang belajar, contohilah kejayaan yang telah ditunjukkan oleh para graduan BDM kali ini dan seterusnya tingkatkan usaha dan kecemerlangan anda semoga pada konvokesyen yang akan datang nanti kita dapat mencapai sasaran 100% graduan BDM di dalam
Ijazah Kelas Pertama dan Kelas Kedua Atas.

Sunday, October 4, 2009

KONVOKESYEN KE 22 (SIDANG KEDUA)

1. Universitu Utara Malaysia (UUM) sedang mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-22 (Sidang Kedua) bermula kelmarin 3 Oktober hingga esok 5 Oktober 2009.

2. Bagi Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM) telah menerima penganugerahan ijazah dalam majlis yang diadakan kelmarin sesi petang. Dalam majlis itu seramai 25 pelajar BDM dianugerahkan ijazah masing-masing.

3. Sekalung TAHNIAH! dan SYABAS! saya ucapkan kepada mereka.

4. Berdasarkan 25 orang penerima Ijazah BDM pada kali ini, seorang pelajar telah mendapat Ijazah Kelas Pertama iaitu Yong Fui Fong, 17 pelajar mendapat Kelas Kedua Atas dan 7 pelajar mendapat Kelas Kedua Bawah.

5. Sekali lagi TAHNIAH! dan SYABAS!

Tuesday, September 8, 2009

DIHILANGKAN SEBELUM MENGHILANG?

1. Hari ini menandakan masa yang berbaki untuk saya melakukan aktiviti harian di pejabat semakin singkat. Masa untuk saya 'pergi' semakin dekat, manakala memori dan kenangan saya di UUM akan semakin 'jauh'.

2. Pada pagi kelmarin (Isnin) peranan saya di UUM semakin 'dihilangkan' apabila Ketua Jabatan memberitahu bahawa bermula minggu depan tugas-tugas saya khususnya pengajaran kuliah perlu diserahkan kepada pensyarah baru.

3. Antara percaya dan tidak percaya maka minggu depan saya akan 'hilang nikmat' untuk mengajar di dewan kuliah dan bertemu pelajar (sesuatu yang memberikan kepuasan fikiran untuk saya sebelum ini).

4. Saya akan 'kehilangan' semua pelajar-pelajar saya.

5. Aktiviti harian saya juga akan berubah.

6. Tidak ada lagi pengajaran kuliah.

7. Tidak ada lagi mengemaskini nota kuliah pada waktu malam.

8. Tidak ada lagi peluang berjumpa pelajar di dewan kuliah.

9. Tidak ada lagi peluang berjumpa pelajar di bilik saya pada masa perundingan.

10. Tidak ada lagi peluang menyemak senarai kehadiran pelajar ke kuliah.

11. Tidak ada lagi peluang berdiskusi dengan pensyarah lain untuk mengemaskini nota kuliah.

12. Tidak ada lagi peluang melihat karenah pelajar di dewan kuliah.

13. Tidak ada lagi peluang melihat pelajar berderet-deret lambat masuk ke dewan kuliah.

14. Tidak ada lagi peluang melihat pelajar-pelajar mula resah apabila kuliah berbaki lagi 15 minit kerana semuanya suka apabila kuliah tamat lebih awal.

15. Tidak ada lagi peluang melihat pelajar yang datang hantar surat MC kerana tak hadir kuliah yang lepas.

16. Tidak ada lagi peluang melihat apabila selesai kuliah, ramai pelajar datang berjumpa saya untuk bertanyakan tentang assignment mereka.

17. Tidak ada lagi peluang untuk melihat pelajar-pelajar menjawab soalan peperiksaan akhir di dalam dewan peperiksaan.

18. Tidak ada lagi peluang membaca dan melihat jadual peperiksaan, kad matrik dan kad pengenalan pelajar semasa mereka sedang khusyuk menjawab soalan peperiksaan di dalam dewan.

19. Tidak ada lagi peluang membantu pelajar-pelajar yang angkat tangan semasa peperiksaan berjalan untuk bertanyakan soalan tentang kekeliruan mereka untuk menjawab.

20. Tidak ada lagi peluang tidak tidur malam menyemak kertas skrip jawapan peperiksaan pelajar-pelajar.

21. Tidak ada lagi peluang untuk mengukir kepuasan apabila result peperiksaan menunjukkan ramai pelajar dapat keputusan cemerlang.

22. Semua 'peluang' yang 'hilang' itu adalah sebahagian daripada 'kehidupan' saya.

23. Kini semua peluang itu semakin kabur dan suram.

24. Kini saya harus bersedia untuk 'pergi'....

25. 'Hilang' dari bumi Sintok...


Datang tidak perlu diminta, pergi tidak perlu disuruh, hadir bukan untuk dipandang, hilang bukan untuk dirasa...

Tuesday, August 11, 2009

PELAJAR BDM PALING RAMAI CEMERLANG

Email terbaru yang saya baca berkenaan Majlis Penganugerahan Sijil Dekan pagi tadi di UUM COLGIS. Tahniah! juga saya ucapkan untuk Lim Jen Zen kerana berjaya mendapat Anugerah Sijil Dekan setiap semester (nice talking with you at my room, in my car and kita sama-sama pekena Iman Koew Teow Kerang di Alor Setar petang tadi). Berikut adalah email berkenaan :


Pelajar Diharapkan Cemerlang Dalam Pelbagai Aspek

Prof. Madya Dr. Asmah Laili Haji Yeon, Penolong Naib Canselor UUM College of Law, Government & International Studies (UUM COLGIS) mengingatkan agar pelajar-pelajar menunjukkan ciri-ciri kecemerlangan di dalam pelbagai aspek seperti sahsiah dan budi pekerti yang baik di samping cemerlang di dalam akademik mereka. Beliau berkata di dalam ucapan sempena majlis penyampaian Anugerah Sijil Dekan Semester Kedua Sesi 2008/2009 bertempat di DKG 5/1.

Menurut beliau lagi, pelajar perlu turut serta di dalam aktiviti samada pada peringkat Kolej Akademik dan juga Dewan Penginapan Pelajar di samping turut bergiat aktif di dalam aktiviti persatuan mengikut program di UUM COLGIS.

Pada majlis hari ini seramai 281 orang penerima telah menerima sijil masing-masing di mana program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (BDM) mencatatkan jumlah penerima teramai iaitu 86 orang, Sarjana Muda Pengurusan Awam (BPM) seramai 81 orang, Sarjana Muda Undang-Undang seramai 68 manakala 46 orang penerima daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (INTAFF) dengan kepujian.

Minat di dalam program yang diikuti adalah sebagai satu kunci kejayaan beliau. Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Wan Nazroof Luqman pelajar semester kelima Program Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa. Beliau juga membuat rujukan dan mendapatkan banyak maklumat daripada pelbagai sumber untuk meningkatkan pengetahuan di samping tumpuan di dalam kuliah.

Bagi Lim Jen Zen apa yang sentiasa diamalkan di dalam diri adalah keyakinan untuk berjaya adalah salah satu kaedah memotivasikan diri di dalam belajar.

ANUGERAH SIJIL DEKAN UUM COLGIS SEMESTER KEDUA SESI 2008/2009 (A082)

Saya telah dimaklumkan pada kali ini sangat ramai pelajar BDM yang menerima Anugerah Sijil Dekan. Tahniah! dan Syabas! saya ucapkan kepada mereka.

Adalah dimaklumkan bahawa UUM College Of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS) akan menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Sijil Dekan Semester Kedua Sesi 2008/2009 seperti maklumat berikut :

Tarikh : 11 Ogos 2009 (Selasa)
Masa : 11.45 pagi
Tempat : DKG 5/1

Sehubungan itu, pelajar-pelajar UUM COLGIS yang menerima Anugerah Sijil Dekan bagi semester tersebut diwajibkan untuk hadir bagi majlis tersebut. Sila rujuk senarai nama penerima anugerah di papan kenyataan UUM COLGIS untuk semakan.

KURSUS PENGURUSAN ORGANISASI

Saya baca maklumat ini dalam email, adakah Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM) juga terlibat dalam kursus ini? Saya harap ada wakil yang dihantar oleh persatuan terutama Majlis Tertinggi Persatuan.

Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi bagi Kelab dan Persatuan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Butirannya adalah seperti berikut :-
Tarikh : 11 & 14 Ogos 2009
Masa : 8.30 Pagi - 4.00 Petang
Tempat : Kachi Training Centre, Bukit Kachi

Sunday, August 2, 2009

MAKLUMAT PENGIKTIRAFAN

1. Masih ada pihak yang kurang maklumat berkaitan pengiktirafan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan di UUM ini.

2. Program ini telah pun mendapat pengiktirafan oleh JPA semenjak 10 tahun yang lalu iaitu sejak mula ditawarkan pada tahun 1999

3. Telah ramai pun graduan bidang ini menjadi pegawai-pegawai tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta

4. Telah ramai juga mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan mungkin juga PhD.

5. Jadi bagi mereka yang masih kekurangan maklumat tentang pengiktirafan program ini oleh JPA silalah layari laman web berikut - http://www.mqa.gov.my/mqr/paparIPTA.cfm?IdAkrKP=10124

6. Terima kasih kepada pelajar saya Akalil Anis atas informasi ini.

Tuesday, July 28, 2009

KEMAHIRAN KOMUNIKASI MAKLUMAT

Saya setuju dengan pendapat Akalil seperti di dalam entry sebelum ini. Proses komunikasi melibatkan penyampaian maklumat dan penerimaan maklumat. Saya berpendapat masih ramai di kalangan masyarakat kita masih lemah dalam aspek komunikasi dan pengurusan maklumat iaitu kita mudah mempercayai apa jua maklumat yang kita dengar, baca atau yang disampaikan kepada kita tanpa membuat sebarang tindakan pemeriksaan atau siasatan terhadap maklumat itu supaya mendapat kesahihan maklumat dan kefahaman yang lebih jelas.

Akhirnya, apabila kita tidak jelas tentang sesuatu perkara atau maklumat, maka banyaklah kerugian yang kita dapat. Dalam kes ini misalnya, jika pelajar-pelajar tidak pulang ke kampung, maka mereka boleh gunakan tempoh 1 minggu ini menyiapkan tugasan atau assignment kerana library tidak ditutup. Selain itu, mereka juga boleh menggunakan peluang ini untuk keluar mencari maklumat -maklumat berkaitan assignment di organisasi-organisasi luar kerana organisasi lain juga beroperasi seperti biasa. Kalau tinggal di rumah atau di kampung, saya percaya kuranglah perhatian kepada tugasan yang telahpun banyak diberikan oleh pensyarah masing-masing.

Contohnya, semasa saya sedang mencari maklumat di Arkib Negara Malaysia di Alor Setar petang tadi, saya dapati ada beberapa pelajar UiTM Merbok yang datang ke situ untuk mencari maklumat untuk menyiapkan tugasan mereka, mereka tidak pulang ke kampung sebaliknya menggunakan peluang ini untuk menyiapkan tugasan kerana semua kuliah di kampus UiTM juga ditangguhkan selama seminggu.

Seterusnya, satu aspek yang juga sangat penting ialah penyampaian maklumat. Saya fikir wujud kelemahan komunikasi maklumat oleh beberapa pihak di universiti ini kerana pertamanya pengumuman lewat disalurkan terutamanya menerusi email kakitangan dan pelajar. Saya dapati pelajar mendapat tahu dengan lebih awal melalui komunikasi SMS tetapi bagi saya ianya agak kurang sahih kerana dibimbangi ada pihak yang membuat sebaran SMS palsu, maka apabila saya dimaklumkan oleh para pelajar tentang pengumuman ini iaitu ketika kuliah sedang berjalan, justeru saya cuba mendapatkan kesahihan dengan menyemak email staf dan pelajar lalu mendapati belum ada pengumuman itu. Justeru, saya tidak boleh mengesahkan berita itu kepada para pelajar di dalam kuliah saya ketika itu. Saya hanya dapat mengesahkan maklumat ini hanya selepas menghubungi Ketua Jabatan dan membaca email yang lewat dihantar.

Keduanya, saya tidak pasti bagaimana maklumat atau pengumuman ini disampaikan kepada pelajar di DPP masing-masing selain melalui SMS. Saya percaya mungkin wujud kelemahan dan kurang keberkesanan maklumat yang disampaikan menyebabkan ramai pelajar yang keliru dan membuat keputusan meninggalkan kampus seberapa segera. Seharusnya pihak yang bertanggungjawab menyampaikan dan menyebarkan pengumuman ini kepada para pelajar dan warga kampus perlu lebih pantas, berkesan dan lengkap dalam menerangkan maklumat yang penting seperti ini. Seharusnya juga pelajar turut dimaklumkan sama ada mereka diminta meninggalkan kampus atau digalakkan untuk terus tinggal di dalam kampus sahaja (maklumat ini juga tidak dinyatakan dalam email). Mungkin selepas ini pakar dan pelajar dalam bidang komunikasi di universiti ini harus menilai kembali apa yang telah berlaku supaya tidak berulang kejadian sama pada masa hadapan.

Tuesday, June 30, 2009

MENJADI PELAJAR BDM

Petang tadi telah diadakan sesi perjumpaan antara para pensyarah BDM dengan 200 pelajar baru yang telah memilih program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM) sebagai ijazah pilihan mereka sepanjang tiga tahun di UUM ini. Kenapa saya katakan mereka memilih? tidak pula saya katakan mereka dipilih! Ini adalah berdasarkan survey yang diadakan semasa program berkenaan, majoriti daripada mereka telah memilih BDM dalam permohonan UPU sebelum ini, ada yang memilih BDM sebagai pilihan pertama, ada yang pilihan kedua, majoriti menjadikan BDM sebagai pilihan ketiga hingga keenam daripada lapan pilihan yang dibenarkan UPU. Hanya beberapa sahaja yang memilih BDM sebagai pilihan kelapan. Tetapi ada juga sebilangan kecil yang dipilih ke program ini walaupun BDM tidak tersenarai dalam pilihan mereka. Bagaimanapun hampir kesemuanya memilih UUM dalam senarai universiti pilihan mereka. (saya tidak dapat nyatakan angka sebenar kerana tinjauan hanya dibuat secara pemerhatian rawak dan angkat tangan - tidak menggunakan kaedah saintifik)

Tinjauan juga mendapati terdapat peningkatan kualiti akademik dalam pengambilan pelajar-pelajar baru BDM ini iaitu pencapaian paling rendah adalah CGPA 2.50 ke atas, majoriti mereka dalam kategori CGPA 3.00 ke atas manakala tiada seorang pun mendapat di bawah CGPA 2.50. Selaku pensyarah dan saya juga yakin rakan-rakan pensyarah yang lain amat berbangga dengan pencapaian ini kerana salah satu faktor untuk melahirkan graduan-graduan universiti yang cemerlang faktor pencapaian awal mereka di peringkat sekolah atau matrikulasi juga amat penting dalam membantu konsistensi akademik mereka di universiti. (data berdasarkan rujukan Pengerusi Bidang pada borang pendaftaran pelajar)

Ini bukanlah saya berniat untuk merendahkan pula pelajar-pelajar yang mendapat result yang sederhana atau rendah tetapi berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Sebenarnya golongan ini akan menjadi lebih baik apabila mereka diberi peluang, mereka akan lebih berusaha berbanding rakan lain untuk meningkatkan pencapaian mereka di universiti dan akhirnya mereka lulus dengan cemerlang juga. Mereka ini adalah graduan yang hebat! kerana mereka sangat memanfaatkan peluang yang telah diberikan.

Ramai juga pelajar-pelajar yang result mereka bagus atau cemerlang seperti saya katakan di awal tadi, tetapi bila melangkah ke universiti mereka mula rasa selesa dan rasa kononnya pencapaian mereka akan konsisten seperti di sekolah atau matrikulasi, akhir mereka lalai, leka, perasan pandai lalu kurang berusaha, kurang fokus dan akhirnya mereka sekadar lulus ijazah Kelas Kedua Bawah. Meraka adalah orang yang rugi kerana mereka tidak menggunakan kepandaian dan kebolehan mereka sebaik mungkin.

Seterusnya adalah mereka yang sangat beruntung di mana mereka layak memasuki universiti atas sebab kecemerlangan akademik mereka di peringkat sekolah atau matrikulasi seterusnya mereka terus berusaha mengekalkan kecemerlangan itu di universiti lalu lulus sebagai graduan cemerlang dengan kelulusan Kelas Pertama atau sekurang-kurangnya Kelas kedua Atas. Inilah golongan yang saya maksudkan di awal tadi yang mana saya amat berbangga sebagai pensyarah jika lebih ramai golongan ini di universiti, kerana yang akan mendapat faedahnya bukanlah untuk saya tetapi untuk mereka sendiri iaitu pelajar-pelajar BDM.

Setiap kali menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti, saya amat berbangga dengan pelajar-pelajar BDM kerana perkara pertama saya akan lihat ialah senarai nama mereka di dalam penerima Ijazah Kelas Kedua Atas adalah lebih ramai daripada mereka yang mendapat Kelas Kedua Bawah. Inilah perkara yang semua pensyarah banggakan. Tetapi kami akan lebih bangga jika ada di kalangan pelajar BDM yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dan perkara ini bakal menjadi realiti kerana saya difahamkan telah ada beberapa pelajar BDM yang dalam kategori mendapat Kelas Pertama dalam konvokesyen-konvokesyen yang akan datang dan saya doakan bilangan itu semakin ramai dan bilangan mereka yang mendapat Kelas Kedua Bawah akan menurun dan mungkin tidak ada langsung pada masa depan. Itulah sasaran kita semua iaitu pensyarah dan juga pelajar BDM.

Tetapi kepada graduan-graduan BDM yang lepas khususnya yang telah mendapat Kelas Kedua Bawah, janganlah tersentuh hati dengan perbincangan saya ini kerana bukanlah bermaksud saya merendahkan mereka, kerana saya yakin mereka telahpun berusaha, namun rezeki tidak menyebelahi mereka di UUM, tetapi saya yakin rezeki mereka ada lebih baik lagi selain daripada ijazah yang mereka perolehi. Mereka juga adalah orang yang hebat atas ukuran kemampuan mereka sendiri.

Tidak perlu kita bandingkan BDM dengan ijazah-ijazah yang lain kerana setiap bidang itu mempunyai kekuatan dan kelemahan tertentu. Walaupun contohnya jika kita mengambil bidang kejuruteraan yang hebat sekalipun tetapi kita tidak pernah berusaha dan hanya sekadar mendapat kelulusan yang rendah, maka tidak berguna juga kerana belum pasti ada tempat bagi kita. Tetapi walaupun kita mengambil bidang yang kurang menonjol sekalipun misalnya penterjemahan, tetapi kita lulus Kelas Pertama maka berbagai peluang pasti datang kepada kita.

Justeru, seharusnya jika kita telah benar-benar berusaha maka berbanggalah dengan apa yang kita perolehi dan yang penting berbanggalah yang kita pernah menjadi salah seorang pelajar BDM di UUM ini yang pernah berusaha bersungguh-sungguh dan selebihnya bergantung kepada kekuatan dan kebijaksanaan kita berusaha dalam menempatkan diri dalam meneruskan kehidupan yang mendatang.

Syahril Said
(Pelajar BDM : 2000-2003)


Anda boleh bersetuju dengan apa yang saya tulis, anda juga boleh tidak bersetuju dengan apa yang saya tuliskan di blog ini.

Monday, June 29, 2009

PROGRAM BERSAMA KETUA PENGARAH ICU

Pagi tadi UUM COLGIS dikunjungi oleh Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan Pembangunan atau lebih dikenali dengan nama ICU (Implementation and Coordination Unit), Jabatan Perdana Menteri. Kunjungan beliau ke UUM COLGIS sempena perlantikan beliau sebagai Profesor Adjung bagi Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM). Pada sebelah pagi beliau mengadakan perjumpaan bersama semua pensyarah Pengurusan Pembangunan serta pensyarah UUM COLGIS yang lain. Pada sebelah petang pula beliau mengadakan sesi syarahan kepada pelajar-pelajar UUM yang baru.

Semasa bersama pensyarah beliau menyampaikan taklimat berkaitan perlaksanaan projek-projek pembangunan di Malaysia serta isu-isu semasa tentang pembangunan projek. Sesi berlangsung hampir tiga jam termasuk sesi soal jawab dengan para profesor dan pensyarah. Kesempatan itu saya berpeluang menanyakan beberapa soalan kepada beliau :

1. Apakah pandangan Tan Sri berkaitan agihan pembangunan dan perlaksanaan projek yang kurang konsisten di negara ini? Misalnya, terdapat peruntukan projek yang secara bermusim (immediate project) seperti faktor pilihanraya dan faktor kepimpinan (wujud lambakan projek di kawasan-kawasan pemimpin terkenal berbanding kawasan yang tiada pemimpin terkenal).

2. Jika merujuk prosedur pembangunan perlulah berpandukan pelan pembangunan yang telah dirancang seperti Local Plan dan Rancangan Kawasan Khas yang mana dalam pelan pembangunan tersebut telah mengenalpasti kawasan-kawasan serta projek-projek yang perlu di lakukan tindakan segera, tetapi apakah pula kaitannya jika immediate project tidak merujuk pelan pembangunan?

3. Apakah pandangan Tan Sri berkaitan perlaksanaan projek jika didapati ada sesuatu projek telah dilambatkan perlaksanaannya apabila pemerintahan kerajaan yang memerintah negeri itu bertukar tangan manakala ada pula projek yang disiapkan lebih awal daripada jadual kerana ingin cepat digunakan dan akhirnya berlakulah tragedi seperti yang berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh di Kuala Terengganu baru-baru ini?

Memandangkan sesi berkenaan adalah sesi tertutup maka jawapan Ketua Pengarah ICU berkenaan terhadap soalan-soalan saya adalah SULIT untuk kegunaaan akademik semata-mata.

Monday, June 1, 2009

SELAMAT MENJALANI PRAKTIKUM

Sudah lebih seminggu saya tidak dapat update blog ini kerana pelbagai kekangan kerja dan aktiviti yang terpaksa diselesaikan. Beberapa hari kebelakangan ini saya agak sibuk menyiapkan tugas yang belum disiapkan seperti menyerah tugas berkaitan penulisan jurnal, menamatkan penyelidikan, menyelesaikan kerja-kerja berkaitan fail ISO pengajaran dan pembelajaran, dan urusan-urusan lain yang mana perlu disudahkan sebelum cuti belajar.

Pada hari ini barulah ada kesempatan untuk menulis perkara-perkara baru dalam blog ini. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Menjalani Praktikum" kepada semua pelajar-pelajar BDM yang akan memulakan hari pertama mereka di organisasi praktikum mulai hari ini. Saya doakan mereka semua dapat menjalani praktikum dengan cemerlang dan menyiapkan laporan dengan baik.

Segala nasihat dan panduan telah saya berikan semasa bengkel taklimat praktikum yang saya sampaikan tempoh hari. selamat berjaya dan selamat berpraktikum.


Tuesday, May 19, 2009

DELEGASI ILMIAH KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

Program Delegasi Ilmiah ini telah diadakan pada 26 dan 27 Februari 2009 yang lalu iaitu lawatan Persatuan BDM seramai 80 peserta ke DBKL, ITIS, KLCC, PARLIMEN MALAYSIA, Projek EMKAY - Cyberjaya, Taman Botani Putrajaya dan sekitar kawasan Putrajaya. Program ini diketuai oleh saudara Lim Jen Zeng sebagai Pengarah Projek. Objektif program ini bertujuan melihat dan mengetahui pembangunan semasa dari aspek 'acuan Malaysia'.


Parlimen, Malaysia


PICC, Putrajaya


EmKay, Cyberjaya

Santai di KLCC


Gambar-gambar ini telah diberikan kepada saya oleh saudara Fadzli Yahaya, so, kalau ada sesiapa yang ada gambar-gambar aktiviti Persatuan BDM yang nak dikongsi, bolehlah email kepada saya di syahrilsaid@yahoo.com (sesiapa ada gambar-gambar Program Grand Dinner di Menara Alor Setar boleh email kepada saya).

PERSATUAN BDM

Sekarang ni saya bukan lagi Penasihat Persatuan BDM, tugas ini telah diambil alih oleh En. Za'im Ahmad berkuatkuasa bulan Mac 2009 yang lalu. kesempatan ini saya mengambil peluang mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua Majlis Tertinggi dan ahli jawatankuasa Persatuan BDM sepanjang saya menjadi Penasihat kerana telah berjaya melaksanakan pelbagai program dengan jayanya. saya amat berbangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan terutama oleh mantan Presiden iaitu Azhan Sulaiman dan semua ahli-ahli MT yang lain serta pengarah-pengarah projek seperti Lim Jen Zeng (Darren), Norlyda Ismail, Gugass Kanthan, Yau Kar Choon, Fadzli Yahaya dan ramai lagi yang tak cukup ruang ini untuk saya senaraikan.

saya juga berterima kasih kepada mantan Presiden yang lebih awal iaitu saudara Hafidan dan ahli-ahli MTnya dan juga selamat menjalankan tugas kepada Presiden baru iaitu Mohamad Hazwan Bin Abdul Ghafar serta ahli-ahli MT yang telah dilantik. saya doakan agar kecemerlangan Persatuan BDM dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. saya dapati program-program yang telah dirancang selepas ini amat baik dan bermanfaat kepada pelajar-pelajar BDM dan masyarakat.

suka juga di sini untuk saya cadangkan kepada pengurusan persatuan yang baru ini supaya mewujudkan BLOG PERSATUAN BDM supaya semua maklumat persatuan mudah disampaikan kepada ahli-ahli serta semua perancangan dan laporan aktiviti boleh dipaparkan di dalam blog berkenaan selain menjadikan blog tersebut sebagai medium komunikasi antara pihak pengurusan persatuan dengan pelajar-pelajar BDM dan bekas pelajar BDM. justeru, saya berharap agar saranan saya ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Persatuan BDM.

saya juga bersedia menjadikan blog saya ini untuk memaparkan aktiviti-aktiviti persatuan dan pelajar. justeru, sesiapa yang ingin berkongsi maklumat tersebut bolehlah emailkan laporan atau gambar-gambar supaya boleh saya siarkan di blog ini untuk tatapan komuniti BDM.

Oleh : Syahril Said (Mantan Presiden Persatuan BDM, 2001-2002)

Sunday, May 17, 2009

BLOG ALUMNI BDM

Kebelakangan ini ramai pelajar-pelajar dan bekas pelajar BDM seringkali menghubungi saya untuk tanya bermacam-macam maklumat. tak apa, saya memang suka berkongsi maklumat. oleh kerana saya ni seringkali jadi tempat rujukan hehehe....(oleh pelajar dan bekas pelajar), justeru saya rasa ingin memberi sedikit ruang dalam blog ini sebagai tempat re-union dan alumni bagi komuniti pelajar dan bekas pelajar BDM. tujuan ini bukanlah untuk mempromosikan blog saya, tetapi melalui kemudahan adanya blog ini bolehlah kita jadi ruang untuk eratkan silatulrahim di kalangan komuniti BDM supaya segala perkembangan pelajar dan rakan-rakan anda serta antara senior dan junior dapat dieratkan dan dapat terus berkekalan sekurang-kurangnya melalui blog ini.

cara ini dapat membolehkan semua orang boleh tahu perkembangan kita dan mengukuhkan komuniti BDM itu sendiri. lagipun komuniti BDM ni pun bukannya ramai sangat kerana bermula dari konvokesyen pertama untuk BDM pada tahun 2002 (saya konvo 2003) hingga konvokesyen terbaru pada Mac 2009 yang lalu jumlah pelajar BDM yang dah bergraduasi lebih kurang hampir 2000 saja tidak termasuk yang masih belajar. oleh itu, komuniti kita masih kecil dan boleh diurus sekiranya semuanya membantu.

sebenarnya masih ramai yang tak tahu tentang blog saya ini memandangkan ianya masih baru. justeru, saya berharap bagi mereka yang dah tahu tu, silalah khabar-khabarkan kepada rakan-rakan lain terutamanya di kalangan rakan-rakan anda bekas pelajar-pelajar BDM yang anda kenal supaya dapat memberi informasi mereka menerusi blog ini supaya dapat kita mengenalpasti perkembangan komuniti dan alumni BDM pada masa akan datang. saya amat menghargai semua yang ingin bersama-sama menjayakan usaha ini semoga pertalian silatulrahim itu tidak terputus dan kita masih dapat berkongsi maklumat dan apa jua peluang-peluang masa hadapan yang ada.

bagi mereka yang ingin sama-sama menjayakan usaha ini sila khabarkan kepada rakan-rakan yang anda kenali dan mintalah juga mereka sebarkan kepada rakan-rakan lain yang mereka kenali, akhirnya usaha yang sedikit itu akan menjadi banyak pada masa depan InsyaAllah, dan saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudi menjayakan usaha ini.

Sunday, May 10, 2009

TAHNIAH!!! LANJUT PENGAJIAN

Kesempatan ini (dalam kesibukan semak skrip jawapan...hehehe..) saya nak ucapkan Syabas dan Tahniah!! kepada pelajar BDM iaitu Hanani dah dapat tawaran kat UTM. sebenarnya ramai lagi pelajar BDM yang dapat tawaran Master di USM, UKM dan UTM juga tapi saya tak ingat nama-nama mereka (melebihi 10 orang yang mintak saya jadi referee). saya ingat nak balas email Hanani, tapi dah ada blog ni saya boleh balas melalui blog supaya rakan-rakan awak yang lain pun boleh baca.

Anyway InsyaAllah ada rezeki dapat nanti penajaan tu, Hanani juga boleh cuba kat MARA atau PTPTN atau Bank Rakyat, walaupun pinjaman tak apa sebab untuk tujuan mengaji, kalau kerja nanti boleh bayar balik, macam saya jugak degree pinjaman, master pun pinjaman, tapi Allah bagi rezeki kita mampu bayar balik pinjaman pengajian tu, lain la kalau banyak pinjaman perkara-perkara lain yang tak berapa mustahak. masa mengaji ni jangan berkira sangat, yang penting dapat peluang mengaji dulu, lepas tu ada kelulusan yang lebih tinggi, dapat kerja yang lebih baik, pendapatan yang lebih baik maka hutang pinjaman pengajian tu dah jadi kecil saja berbanding gaji. kita patut bersyukur sebab kat Malaysia ni banyak peluang pengajian tinggi termasuklah peluang tajaan pengajian atau pinjaman pengajian, sekurang-kurangnya ada juga peluang mengaji walaupun terpaksa pinjam. kalau kita nak banding dengan beberapa negara lain seperti negara jiran kita di Indonesia, Filipina, Thailand, China dan lain-lain kita lebih beruntung. contohnya beberapa kawan saya dari Indonesia datang buat Master di USM, Malaysia terpaksa jual rumah, jual tanah, jual kereta kerana tak ada sumber pembiayaan walaupun dah bekerja sebagai pensyarah kat Indonesia,

Kita? Kerajaan hari ni sanggup belanja tambahan RM18 bilion dalam belanjawan rangsangan ekonomi (kalau saya salah fakta sila betulkan) untuk pembangunan pendidikan dalam pakej rangsangan ekonomi termasuk tajaan untuk 10 ribu calon master dan 2 ribu calon PhD. manakala kerajaan tanggung hampir RM0.5 juta untuk seorang pensyarah buat PhD dalam negara dan RM1.5 juta di luar negara. justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hanani dan semua pelajar-pelajar BDM yang telah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, bersamalah kita berjuang menuntut ilmu untuk pengembangan bidang ilmu, mencerahkan masa depan, meningkatkan martabat agama, keluarga, bangsa dan negara. gunakan masa muda untuk memenuhi diri dengan ilmu dan beramal dengan ilmu ke arah kebaikan.

SELAMAT BELAJAR DAN SEMOGA BERJAYA!!