Showing posts with label TAKZIAH. Show all posts
Showing posts with label TAKZIAH. Show all posts

Tuesday, December 28, 2010

TAKZIAH

Hari ini kembalinya bapa saudara saya Mohd Sabri Bin Ali ke rahmatullah. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Masjid Kulim, Kedah pada pukul 11 pagi tadi. Arwah ialah Pengetua MRSM Balik Pulau dan meninggal dunia tanpa sempat bersara. Takziah untuk Mak Teh sekeluarga, semoga, Mak Teh serta Sabrina dan adik-adik semua tabah, sabar dan kuat menghadapi ujian dari Allah SWT ini. Maaflah kerana jarak yang jauh dari Malaysia, saya tak dapat datang menziarahi arwah Pak Teh untuk kali terakhir. Hanya doa dan bacaan Yassin yang mampu disedekahkan dari jauh ini. Sememangnya Allah SWT lebih menyayangi arwah Pak Teh berbanding kita semua. Semoga arwah tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh. Daripada Dia kita datang dan kepada Dia juga tempat kembalinya kita.

Sesungguhnya hidup ini adalah perjalanan yang singkat, mungkin esok atau lusa giliran saya pula kembali mengadap-Nya...

Saturday, September 4, 2010

TAKZIAH

Firman Allah SWT :

"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan". (Surah Al-Anbiya, ayat 35)

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya'. (Surah Ali Imraan, ayat 185)

"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan". (Surah Al Munaafiquun, ayat 11)


Pagi ini saya menerima panggilan daripada kakak-kakak saya di Malaysia mengkhabarkan berita bapa saudara kami iaitu Ismail Bin Ali (Chu N) telah kembali ke Rahmatullah. Dari kejauhan ini, saya hanya mampu sedekahkan sekalung doa dan surah Fatihah untuk Allahyarham. Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ialah ketika saya membawa emak saya menziarahi Allahyarham di Kuching pada tahun 2008 yang lalu. Takziah saya ucapkan kepada Mak Su sekeluarga di Kuching. Saya doakan juga agar Mak Su sekeluarga terus kuat dan tabah.

Sesungguhnya kematian seseorang hamba Allah itu adalah juga sebagai peringatan kepada kita yang masih hidup. Sabda Rasulullah SAW : "
Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada mati serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi mati itu, mereka itu ialah orang-orang yang benar-benar cerdik. Dan mereka akan pergi ke alam akhirat (alam baqa') dalam keadaan mulia di dunia dan membawa iman dan amalan yang akan memberi kemuliaan di akhirat (beramal sempurna untuk mendapat balasan di akhirat tanpa meninggal nikmatnya di dunia)". (HR - Ibnu Majah dan Abiddunya)

Walaupun atas dunia ini saya tidak sempat bertemu dengan arwah ayah, kakak saya beritahu bahawa Allahyarham ayah saya pun meninggal dunia dalam bulan Ramadhan juga pada tahun 1981 (pada waktu itu saya berusia 6 bulan dalam kandungan emak). Sesungguhnya kematian adalah suatu perkara yang sangat dekat dengan kita, mungkin Ramadhan kali ini adalah yang terakhir juga buat saya. Mungkin Ramadhan tahun depan saya pun sudah tiada, daripada-Nya kita datang, dan kepada-Nya jua kita akan dikembalikan...