Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, April 8, 2010

HENTIKAN RETORIK

1. Saya dapati seringkali pemimpin-pemimpin negara khususnya kepimpinan tinggi mengambil sikap mudah dengan mengeluarkan ucapan-ucapan retorik terhadap isu-isu besar. Mungkin ini cara berpolitik, tetapi ini tidak bagus.

2. Rakyat Malaysia sekarang semakin cerdik, pandai dan tahu untuk membuat pernilaian mana yang benar dan mana yang palsu. Jadi, sebagai pemimpin yang bijak, maka hentikanlah semua bentuk retorik supaya rakyat tidak rasa 'dianggap tidak bijak'.

3. Saya percaya Kerajaan berusaha untuk membangunkan pemikiran dan kepintaran rakyat, tetapi jika pemimpin sudah menunjukkan contoh salah, maka bagaimana sasaran itu akan boleh dicapai?

4. Antara contoh ucapan retorik yang seringkali digunakan "rakyat tidak terbeban harga setem naik" (baca sini), "kenaikan harga gula tidak akan membebankan rakyat", "Kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol, tetapi harga petrol di Malaysia masih murah berbanding negara lain", "walaupun ekonomi dunia merosot, tetapi Malaysia tidak terjejas", "rakyat Malaysia semakin berpuashati dengan prestasi KPI semasa"..... dan macam-macam lagi contoh retorik yang lain.

5. Cukuplah, lagi banyak retorik boleh menjejaskan pernilaian rakyat kepada kepimpinan semasa. Para pemimpin juga perlu belajar menggunakan ketepatan maklumat dan fakta serta mengendalikan sesuatu isu terutama isu yang besar secara benar, jujur, adil, amanah, bijak dan profesional.

6. Pemimpin merupakan individu yang menjadi contoh dan teladan yang penting kepada masyarakat. Jika ada seuatu kebaikan yang diharapkan, ia perlu bermula daripada seorang pemimpin. Menjadi pemimpin bukan untuk berpolitik semata-mata.

7. Runtuhlah martabat sesebuah agama, bangsa dan negara jika pemimpin-pemimpinnya hanya 'berpolitik' semata-mata tetapi tidak 'memimpin'.

Sunday, October 11, 2009

BAGAN PINANG

1. Memang telah dijangka, keputusan PRK Bagan Pinang dimenangi oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dengan majoriti besar sebanyak 5, 435 undi.

2. Saya fikir kemenangan ini banyak dipengaruhi oleh jasa Tan Sri Isa sebelum ini yang pernah mentadbir negeri itu selama 22 tahun sebagai Menteri Besar. Jasa Tan Sri Isa yang bukan kepalang dalam pembangunan negeri menyebabkan beliau mendapat sokongan padu pengundi tempatan.

3. Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa atas kemenangan beliau.

4. Tetapi secara peribadi saya masih berpendirian tindakan Tan Sri Isa bertanding walaupun telah menang dalam PRK Bagan Pinang itu bukanlah satu tindakan yang tepat.

5. Seharusnya pengalaman yang luas dan lama dalam politik dan pentadbiran negeri serta negara menjadikan Tan Sri Isa sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati. Apabila seseorang pemimpin yang disegani dan dihormati, maka seharusnya mereka tidak pula bersifat tamak kuasa.

6. Seharusnya tempoh 30 tahun menjadi ahli politik dan 22 tahun pernah menjadi Menteri Besar melayakkan Tan Sri Isa menjadi seorang pakar penasihat yang ulung dalam melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis generasi baru untuk memimpin negeri dan negara. Bukannya beliau terus mencari peluang menggunakan pengaruhnya untuk kepentingan diri mengukuhkan kuasa.

7. Walaupun menang pilihanraya, namun saya fikir UMNO tidak berjaya membuktikan perubahan mereka membersihkan moral parti kerana pemimpin yang menang mempunyai rekod yang kurang bersih dan UMNO kekurangan generasi pelapis yang berwibawa untuk diketengahkan sebagai pemimpin baru bagi mengukuhkan parti tersebut.

8. Kekurangan itu disebabkan sikap ramai pemimpin veteran yang masih tamak kuasa dan hanya mahu menjaga kepentingan diri.

9. Secara peribadi saya fikir jika keadaan ini berterusan, maka usaha dan matlamat pengukuhan parti itu semakin jauh dari sasaran.

10. Hari ini dan masa depan, rakyat semakin bijak menilai dan membuat keputusan.

Wednesday, September 30, 2009

PEMILIHAN PEMIMPIN

1. UMNO telah memutuskan Tan Sri Mohd. Isa Samad dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam PRK DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 nanti.

2. Alasan utama pemilihan beliau menurut Timbalan Presiden UMNO ialah kerana beliau dikatakan mendapat sokongan padu oleh penduduk tempatan di situ dan mereka mahu agar Tan Sri Isa dipilih sebagai calon.

3. Mungkin benar Tan Sri Isa adalah pilihan penduduk tempatan kerana jasa beliau amat banyak terhadap penduduk di situ khususnya dan rakyat Negeri Sembilan amnya di mana beliau pernah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun iaitu satu tempoh yang sangat lama. Jasa beliau terhadap pembangunan negeri sangat besar sebab itulah beliau perlu dihormati dan dihargai. Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

4. Saya fikir kemungkinan peluang untuk beliau menang dalam PRK Bagan Pinang nanti sangat tinggi.

5. Tetapi secara peribadi saya fikir pemilihan beliau sebagai calon untuk bertanding dalam PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober nanti kurang tepat.

6. Rasionalnya beliau tidak perlu dipilih adalah disebabkan rekod beliau yang tidak bersih dalam UMNO kerana pernah didapati bersalah atas tuduhan rasuah semasa pemilihan parti itu suatu ketika dahulu. Kesalahan merasuah perlu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bermoral dan pemimpin yang rasuah merupakan pemimpin yang tidak amanah, justeru orang yang tidak amanah tidak lagi layak diberi peluang untuk memimpin.

7. Memilih pemimpin yang pernah terlibat dalam amalan rasuah juga akan memburukkan imej dan kredibiliti sesebuah parti untuk jangka panjang.

8. Selain itu, saya fikir pengalaman menjadi Menteri Besar selama 22 tahun merupakan satu nikmat dan keistimewaan yang sangat berharga kepada Tan Sri Isa. Justeru, sebagai pemimpin yang baik beliau seharusnya menggunakan pengalaman itu untuk membentuk, mendidik, membimbing dan menasihati golongan muda untuk menjadi pemimpin pelapis.

9. Dengan kata lain, seharusnya beliau tidak perlu bertanding kerana beliau telah mendapat banyak manfaat dan kedudukan hasil pimpinan beliau ini, justeru pada kali ini beliau perlu memberi peluang kepada orang lain khususnya generasi pemimpin muda di situ untuk menimba pengalaman. Sebaliknya, peranan Tan Sri Isa adalah sebagai mentor dan penasihat kepada pemimpin pelapis melalui pengalaman istimewa beliau sebelum ini.

10. Seorang pemimpin yang baik dan hebat pasti tahu di mana kemuncak kedudukannya dan beliau perlu menggunakan pengalaman yang ada untuk membimbing dan membentuk golongan muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan bukanlah membolot semua peluang dan ruang untuk kepentingan diri sendiri.

11. Pemimpin yang baik juga perlu mengambil peranan menyediakan golongan pemimpin pelapis yang berkaliber untuk menggantikannya di masa akan datang dan apabila masa itu tiba, beliau harus serahkan kedudukannya kepada pemimpin generasi seterusnya.

12. Oleh itu, pada pendapat saya seharusnya Tan Sri Isa memberi ruang dan kepercayaan kepada calon lain khususnya tenaga yang lebih muda daripada beliau untuk bertanding dan beliau memainkan peranan utama dengan menggunakan pengaruh beliau untuk mengajak pengundi tempatan menyokong calon tersebut.

13. Saya fikir merujuk kepada keputusan yang telah dibuat ini, UMNO didapati kurang memberi kepercayaan kepada pembentukan pemimpin pelapis atau mereka ketandusan pemimpin pelapis yang berkaliber untuk dicalonkan di kawasan itu. Ini sangat tidak baik untuk pengukuhan parti itu di masa hadapan.

Tuesday, September 15, 2009

KISAH SELIPAR

1. 'Kecaman' oleh seorang perwakilan MIC terhadap Tun Dr. Mahathir semasa perhimpunan parti itu Sabtu lalu adalah sesuatu yang tidak wajar.

2. Saya fikir tindakan itu mungkin boleh mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak terutamanya orang Melayu kerana pengaruh Tun Dr. Mahathir sebagai negarawan ulung negara amat besar. Maka tindakan yang wajar perlu diambil oleh parti berkenaan ke atas perwakilan itu.

3. Secara rasional saya tidak nampak kritikan Tun berkaitan isu kepimpinan parti itu sebagai sesuatu yang melampaui batas atau terlalu mencampuri urusan parti kerana didapati tindakan Presiden parti itu sendiri juga yang mencampuri urusan pengaruh undi calon bertanding dilihat kurang adil.

4. Apa yang saya fikir berkaitan kritikan Tun adalah ibarat seorang 'bekas tukang rumah' yang pernah bersama membantu membina rumah itu dahulu melihat 'tiang rumah' berkenaan 'sudah terlalu lama dan reput' serta 'tidak kuat' lagi untuk menyokong struktur rumah lalu menasihati 'penghuni rumah' supaya menukar 'tiang ' itu kerana kemungkinan rumah boleh roboh.

5. Nasihat oleh 'bekas tukang rumah' itu mungkin bertujuan untuk menyelamatkan rumah itu daripada roboh terus dan memberikan keselamatan terhadap 'penghuni' rumah berkenaan. 'Penghuni' rumah boleh memilih 'tiang' yang baru yang kuat, teguh dan 'mengikut trend' kehendak orang ramai supaya rumah itu terus 'kukuh dan kekal'.

6. Tetapi sebaliknya 'penghuni rumah' itu pula yang marahkan kepada 'bekas tukang rumah' itu kerana mereka masih suka kepada 'tiang' lama itu walaupun risikonya rumah berkenaan boleh roboh pada masa hadapan jika tidak ditukar pada masa kini.

7. Namun perlu diingat apabila rumah hampir roboh dan tidak 'dibaikpulih' segera, maka ramai 'penghuni rumah' akan berpindah keluar mencari rumah baru dan orang lain pun tidak mahu 'singgah' lagi ke rumah itu....

* errr...apa pula kaitan 'rumah' dengan selipar?.....

Sunday, July 26, 2009

POLITIK YANG KURANG CERDIK

Isu kampuang Buah Pala di Pulau Pinang masih berlarutan, Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang telah mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk dan hasil rundingan telah mengemukakan dua pilihan. Pertama ialah beliau akan menggunakan kuasa beliau sebagai KM untuk membatalkan kelulusan projek pembangunan di atas tanah tersebut yang sebelum ini telahpun mendapat kelulusan PBT. Manakala pilihan kedua ialah pihak pemaju boleh meneruskan projek pembangunan tetapi memperuntukkan sebahagian tanah untuk mengekalkan kampung berkenaan.

Saya fikir tindakan ini sebagai suatu tindakan yang kurang cerdik oleh Kerajaan Negeri yang ada sekarang apabila keputusan yang telah dibuat dilihat bersifat kepentingan politik sementara kerana mereka tidak mahu dianggap sebagai tidak prihatin dan tidak adil kepada penduduk kampung berkenaan. Mereka takut isu ini menjadi satu kelemahan atau liabiliti kepada mereka dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang, justeru mereka mengambil jalan mudah dengan memindahkan masalah tersebut kepada pihak pemaju. Ini adalah kurang cerdik.

Bukahkah pada awalnya mereka turut juga bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan projek berkenaan? Tetapi jika mereka mendakwa kelulusan itu diberikan oleh Kerajaan Negeri sebelum mereka, kenapakah apabila mereka membentuk Kerajaan Negeri tahun lalu tidak terus membatalkan projek itu untuk menunjukkan yang mereka benar-benar prihatin terhadap penduduk kampung Buah Pala? Bukankah tindakan mereka pada hari ini melambangkan mereka hanya terdesak dan terus membuat keputusan seperti itu?

Saya fikir berdasarkan keputusan yang kurang cerdik seperti ini menggambarkan Kerajaan Negeri sekarang tidak mementing pembangunan dan kemajuan negeri tetapi sebaliknya ingin menjaga kedudukan politik dan masa depan kuasa mereka di negeri itu. Kerajaan yang selalu bertindak lepas tangan seperti ini adalah sangat tidak baik dalam menerajui kemajuan dan kestabilan negeri. Seperti yang saya pernah ulas dalam entry sebelum ini berkaitan isu ini, pembangunan negeri tidak seharusnya dihalang, kalau pun pada hari ini mereka cuba mengekalkan kawasan Kampung Buah Pala yang hanya dihuni oleh 23 buah keluarga itu, tetapi 10 tahun lagi mungkin ianya sudah tidak sesuai menjadi sebuah kampung lagi di kawasan itu, maka mahu tak mahu pembangunan tetap diperlukan. Pihak pemaju juga telah menyatakan hak mereka dari segi undang-undang untuk terus membangunkan kawasan berkenaan.

Sebaik-baiknya rundingan perlu untuk memindahkan penduduk seramai 23 keluarga itu ke kawasan yang lebih baik dan selesa untuk mereka. Jika sebelum ini sudah ramai penduduk di situ sudah berpindah kenapa tidak pula mereka. Kalau hanya mempertahankan sejarah kampung, perlu diingat telah banyak tempat-tempat bersejarah sama ada kaum Melayu, Cina dan India telah dibangunkan dengan pembangunan baru yang lebih selesa dan lengkap untuk kepentingan ramai. Kampung Baru di Kuala Lumpur juga yang sangat melambangkan sejarah dan kawasan Melayu di ibu kota itu juga telah mula dibangunkan untuk kepentingan semua pihak. Tidak timbul isu orang Melayu menentang sehingga menimbulkan kekecohan seperti di Kampung Buah Pala.

Satu lagi tindakan kurang cerdik apabila pihak MIC cuba campur tangan kononnya sanggup membelanjakan RM3.2 juta bagi mendapatkan semula tanah itu. Saya fikir ini satu lagi tindakan buang masa sahaja. Pihak pemaju dan pemilik tanah di Kampung Buah Pala telah pun menyatakan bahawa mereka akan tetap meneruskan pembangunan projek dan tidak akan menjual tanah itu kepada mana-mana pihak. Nilai tanah di kawasan itu sekarang dianggarkan telah meningkat melebihi RM100 juta, tidak mungkin mereka akan menjual kepada MIC dengan harga RM3.2 juta? Lainlah kalau MIC ingin lebih prihatin daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang dengan membelanjakan RM150 juta untuk mendapatkan semula tanah itu.

Saya fikir ada baiknya bagi MIC dengan menggunakan wang RM3.2 juta yang ingin disumbangkan itu membeli tanah di lokasi lain yang sesuai dan dibina petempatan baru yang selesa untuk penduduk Kampung Buah Pala yang perlu berpindah itu.

Wednesday, July 15, 2009

MANEK URAI

Keputusan PRK N41 - Manek Urai telah memihak kepada YB Mohd Fauzi Abdullah daripada PAS. Tahniah YB! Tetapi kemenangan itu adalah sangat tipis dan telah merosot dengan teruk berbanding kemenangan oleh PAS pada PRU ke-12 tahun lalu.

Saya fikir keputusan di Manek Urai menunjukkan bahawa penduduk Manek Urai khususnya dan penduduk Kelantan amnya telah mula memberi isyarat bahawa mereka memerlukan pembangunan yang lebih baik di kawasan dan negeri mereka daripada hanya apa yang ada sekarang.

Hanya terdapat 65 orang sahaja yang telah menyebabkan mereka gagal mendapatkan pembangunan dengan lebih awal. Saya fikir Kelantan secara keseluruhannya perlu dibangunkan dengan lebih baik dan terancang pada masa depan, justeru mereka perlu menunggu sehingga PRU ke-13 nanti untuk merealisasikan impian tersebut.

Sunday, May 24, 2009

KETUA DAN PEMIMPIN

Sehingga hari ini saya dapati negara kita bukan sahaja berdepan dengan ancaman virus Cikugunya, Menginitis, Leptospirosis dan juga terbaru iaitu influenza A H1N1 tetapi negara juga sedang berdepan dengan 'virus ketamakkan kuasa' di mana semakin banyak kes-kes perebutan kuasa sedang berlaku bukan sahaja di Perak, tetapi berlaku dalam beberapa parti politik di negara ini (tak perlulah saya sebut nama parti-parti berkenaan). hari ini juga timbul lagi satu isu perebutan kuasa dalam sebuah paarti yang kini ada 2 orang Presiden!.

Saya tidak akan mengulas soal ini dari sudut politik kerana isu berkaitan merebut kuasa ini bukanlah terhad dalam parti politik sahaja tapi boleh juga berlaku dalam semua jenis organisasi dari sekecil-kecil organisasi hinggalah kepada organisasi yang besar seperti pemerintahan sebuah negara. ia juga bukanlah berlaku di Malaysia sahaja tetapi berlaku di seluruh dunia!. begitulah betapa kuatnya godaan kepada manusia untuk memiliki kuasa kerana dengan kuasa manusia akan dapat membina kedudukan, pangkat, harta dan lain-lain. justeru, saya teringat pula kepada sebuah nasyid yang dinyanyikan oleh Kumpulan Hijjaz iaitu Fatamorgana seperti berikut :


Fatamorgana

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapa pun tergoda
Harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi

Pulanglah kepada Tuhan
Cahaya kehidupan
Keimanan ketaqwaan kepadanya
Senjata utama

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati
Yakinkan janji Tuhan syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal selamanya


Sebenarnya keinginan untuk memiliki kuasa ini adalah fitrah manusia iaitu manusia diutuskan ke muka bumi ini adalah sebagai Khalifah kepada makhluk-makhluk lain di atas dunia ini. jadi untuk itu, semestinya manusia memerlukan kuasa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Khalifah, Rasulullah s.a.w pun menjadi pemimpin kepada agama Islam dan ketua pentadbiran di Mekah dan juga Madinah semasa zaman pemerintahan Baginda. tetapi persoalannya untuk kita umat masa kini sejauh mana kita bijak dan insaf menggunakan kuasa yang kita ada untuk menjaga kesejahteraan manusia dan alam, bukanlah untuk menjaga kepentingan diri, keluarga dan harta semata-mata.

Bagi saya untuk diri saya sendiri untuk mencuba menjadi seorang pemimpin, saya mungkin tidak layak, saya percaya setiap orang pasti menyimpan hasrat dan cita-cita untuk menjadi pemimpin sekurang-kurang pemimpin yang baik kepada diri sendiri dan keluarga. justeru, untuk bertanding atau merebut menjadi ketua atau pemimpin, mungkin tidak, tetapi jika ramai orang telah memilih kita untuk memimpin, maka perlulah kita jalankan tenggungjawab dan amanah itu dengan rendah hati dan insaf. terima kasih kepada masyarakat dan komuniti yang pernah memberi saya ruang dan pengalaman sebelum ini untuk pernah menjadi ketua dan pemimpin yang kecil bagi saya mendapat sedikit pengalaman dan pengajaran. seterusnya, saya berharap suatu hari nanti akan dapat menjadi ketua dan pemimpin yang baik dan penuh amanah kepada keluarga sendiri nanti.

Tuesday, May 12, 2009

POLITIK PERAK BILA AKAN SELESAI?

Petang kelmarin student saya Fadzli Yahaya ada SMS "Salam... en. Syahril macam mana sekrg? politik Perak makin tegang". lepas tu saya balas balik "Mahkamah dah buat keputusan, kena terima, tapi jangan ada yang buat meeting bawah pokok ketapang lagi dah la..". sebenarnya saya dah jadi mual tentang isu politik di Perak (2 MB dan 2 Speaker)ni tak selesai-selesai lagi. kadang kala dah jadi macam bahan lawak pulak nampaknya. kalau dah dua-dua nak jadi MB boleh la jugak buat giliran, minggu ni MB 1 dan speaker 1 bertugas, minggu depan bagi chance kepada MB 2 dan speaker 2 pulak, dan seterusnya sampai PRU ke-13 hehehe...

TAPI ini bukan hal lawak!!! soal pentadbiran dan pemerintahan sebuah negara atau negeri bukan cerita lawak! Pembangunan dan kemajuan negeri bukan drama atau filem. kalau dah pemerintah dan ahli politik asyik gunakan tenaga, masa dan wang untuk berebut siapa yang nak berkuasa maka bagaimana nak tumpukan perhatian terhadap aspek pentadbiran, pembangunan dan kemajuan negeri untuk rakyat negeri Perak.


Apa yang lebih penting semua pihak berkenaan perlu hormat kepada undang-undang dan juga kepada institusi raja. lihatlah kembali prinsip rukun negara kita iaitu :

* KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
* KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
* KELUHURAN PERLEMBAGAAN
* KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
* KESOPANAN DAN KESUSILAAN

kalau semua pihak boleh faham dan berpegang kepada prinsip ini maka tentulah tidak berlakunya ketegangan seperti sekarang tak kira sama ada di Perak atau tempat-tempat lain. konflik di Perak ini tidak akan berterusan dan dapat diselesai secara toleransi dan bermuafakat jika semua pihak berkenaan sedar secara jelas bahwa mereka dilantik atau dipilih oleh rakyat bukanlah untuk mereka berkuasa tetapi mereka diberi peluang oleh rakyat untuk sama-sama membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat dari segi ekonomi dan sosial. inilah sebenarnya peranan dan keutamaan mereka tak kira sama ada pembangkang atau kerajaan, bukannya soal siapa yang nak jadi MB, exco, speaker itu dan ini, kerana jika rakyat tidak memilih mereka maka mereka bukanlah orang yang penting.

saya cuba tidak mengulas isu ini dari aspek politik kerana saya berpendapat bahawa politik bukanlah segala-galanya untuk mentadbir negara atau negeri tetapi saya bersetuju dengan prinsip Perdana Menteri iaitu konsep 1 malaysia = Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. justeru, pihak-pihak ini harus sedar bahawa negara (atau negeri) adalah lebih utama dari diri, jawatan serta kuasa mereka.

Saya menganggap bahawa situasi di Perak pada ketika ini seperti sebuah kapal yang hilang arah tujuan kerana pihak kapten kapal sedang asyik nak lawan siapa yang nak jadi kapten, siapa yang nak keluar arahan, manakala kelasi dan anak-anak kapal pun konfius arahan kapten yang mana nak diikut, namun kapal terus belayar di tengah lautan tapi tak tahu ke mana arah destinasi nak ditujui, tapi yang rugi adalah penumpang-penumpang kapal yang tak tahu apa nasib mereka sama ada boleh sampai ke pelabuhan atau tidak, kalau sampai pun bila? pelabuhan mana? kapal-kapal lain sedang bergerak pantas dan ada dah dekat dengan destinasi. kalau kapal kargo pulak mungkin barang-barang atau kargo akan mula rosak, expired dan semakin susut nilainya akibat terlalu lama dalam perjalanan...fikir-fikirkan...