Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts

Saturday, June 26, 2010

JADILAH POHON YANG SENTIASA BERBUAH

Nasihat Sheikh Hasan Al-Banna, “Jadilah kamu (sebagai orang beriman) seperti pohon yang sentiasa memberikan buah-buahan (kebaikan) kepada manusia, walaupun kadangkala pohon itu dilontar dengan batu (dihina) oleh manusia”.

(Sumber : Ahmad Haris Suhaimi, 2006, Buku : Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup).

Wednesday, April 28, 2010

UNIVERSITI ANTARABANGSA ALBUKHARY

1. Setinggi-tinggi ucapan tahniah saya ucapkan kepada pihak Yayasan Albukhary (YAB) di atas pencapaian menubuhkan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU). (baca sini)

2. Saya doakan semoga rahmat Allah terus melimpah ruah kepada individu yang sangat dermawan dan budiman di sebalik YAB iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Semoga Allah terus melimpahkan rezeki Tan Sri sekeluarga dan empayar perniagaan Tan Sri terus berkembang maju.

3. Untuk hari ini dan masa ini hanya doalah yang dapat saya usahakan kepada orang-orang yang budiman dan dermawan seperti Tan Sri Syed Mokhtar di atas usaha beliau dalam membelanjakan hartanya untuk perkembangan agama Islam, pembangunan ilmu pengetahuan dan menolong golongan yang kurang berkemampuan dan miskin.

4. Kini kebaktian YAB bukan sahaja terhad di Malaysia tetapi telah mejangkau kepada segelintir umat Islam yang miskin dari negara luar.

5. Semoga usaha YAB yang sangat baik ini menjadi model dan contoh yang sangat bermanfaat kepada pihak lain dalam memanfaatkan kelebihan yang kita ada untuk kepentingan dan kebajikan mereka yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

6. Mungkin tidak semua orang yang mampu melakukan sepenuhnya seperti apa yang dilakukan oleh Tan Sri Syed Mokhtar, namun ada banyak cara lain lagi kebaktian yang boleh kita berikan kepada masyarakat bersesuaian mengikut kemampuan dan kelebihan masing-masing.

7. Walaupun pada hari ini saya hanya mampu mendoakan usaha Tan Sri, tetapi di masa hadapan dengan izin Allah, saya berdoa agar model dan contoh kebaktian oleh Tan Sri Syed Mokhtar dan YAB ini menjadi tauladan dan panduan kepada diri saya sendiri dan orang lain.

Friday, April 16, 2010

PROGRAM MOTIVASI KEMBARA ILMU SIRI 1 - ISMA AUSTRALIA

1. Malam ini saya berpeluang hadir ke Program Motivasi Kembara ilmu (Siri 2) anjuran ISMA Australia di Rusden House, Clayton. Ceramah motivasi yang disampaikan bertajuk 'We Are The Future'. Penceramah ialah Dr. Ahmad Kamsani Samingan, Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam (PEMBINA) dan beliau juga merupakan pensyarah di UTM, Skudai.

2. Kandungan ceramah sangat menarik yang membincangkan keadaan umat Islam sekarang dan kebangkitan semula kuasa Islam pada masa hadapan berpandukan kandungan Hadis dan ayat Al-Quran.

3. Berikut suka saya kongsikan link Siri 1 Program Motivasi Kembara Ilmu bertajuk 'Antara Aku dan Dia' yang telah diupload oleh ISMA Australia di Youtube. Ceramah Siri 1 ini telah disampaikan oleh Dr. Zaki Ibrahim iaitu Presiden ISMA Australia.













Saturday, March 20, 2010

SAYA PERLU BELAJAR DARIPADA POSMEN INI

1. Apapun jenis pekerjaan, pangkat dan kedudukan kita yang Allah S.W.T kurniakan di dunia ini, perkara yang paling utama ialah niat menjadikan kerja itu sebagai satu ibadah dan mencari rezeki yang halal dan berkat. Sesungguhnya pangkat dan harta itu bukanlah pandangan Allah terhadap kemuliaan seseorang hamba-Nya.

2. Walaupun mungkin pendapatan kita itu kecil dan sedikit, tetapi jika ada keberkatan-Nya InsyaAllah Allah akan menjadikan ia 'mencukupi'.

3. Kita akan lebih seronok jika mempunyai niat bekerja yang betul iaitu hanya kerana Allah S.W.T dan rasa bersyukur apabila mendapat rezeki yang berkat iaitu halal dan bersih.

4. Membayar zakat dan memperbanyakkan bersedekah adalah penting dalam mencari keberkatan rezeki.

5. Kisah posmen ini (baca sini) memberi pengajaran kepada saya sendiri.

6. Kadangkala Allah berikan rezeki yang lebih kepada kita sebenarnya adalah sebagai menguji sama ada kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya bersyukur atau tidak.

Friday, March 19, 2010

TENTANG BULAN


Bulan dan bintang
bersinar berkelipan
dan menerangi
keindahan malam
Tanpamu bulan
malam kegelapan
Tanpamu bintang
hilanglah keindahan...
Inilah kisah 'tentang bulan'


Wednesday, March 17, 2010

PERLUKAH MELAYU DIKRITIK?

1. Perlukah Melayu dikritik? Saya fikir perlu. Tetapi kritikan tersebut perlulah bersifat membina (constructive) dan memperbaiki (improve) kerana hanya kritikan bersifat demikian mampu membawa bangsa Melayu menjadi lebih kuat dan maju ke hadapan.

2. Kritikan bersifat menjatuhkan, memburukkan dan melemahkan amat tidak bermanfaat sama sekali kepada semua pihak. Maka ianya perlu dihindari.

3. Bangsa Melayu telah lama dikritik oleh bangsanya sendiri sejak kurun ke 18 lagi (Mohd Ayop Razid, Utusan, Mac 2010). Baca sini.

4. Saya juga orang Melayu. Justeru, InsyaAllah saya sendiri mengharap dan menyediakan diri saya sendiri untuk dikritik terlebih dahulu .

5. Daripada kritikan, kita akan banyak dapat belajar mencari kelemahan, kekurangan dan keburukan diri yang harus diubah dan diperbaiki.

6. Untuk menjadi orang yang berjaya dan bangsa yang kuat kita tidak sepatutnya mengharapkan pujian demi pujian kerana segala pujian itu mampu melalaikan dan melekakan kita akhirnya tanpa kita sedar diri sendiri dan bangsa kita tidak ke mana.

7. Lebih utama apabila saya ingin mengkritik orang lain dan bangsa saya sendiri, perkara paling awal ialah mulai dengan mengkritik diri sendiri terlebih dahulu supaya tidak menjadi ibarat 'kata dulang paku serpih'.

8. Jika ada mana-mana penulisan saya di dalam blog ini yang mengkritik bangsa saya, InsyaAllah saya mengkritik atas niat sayangkan bangsa sendiri.

9. Perjalanan memperkasakan bangsa Melayu masih jauh, selagi itulah perjuangan ini belum selesai...

Monday, March 8, 2010

KISAH TELADAN : BUAH LIMAU

Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak.

Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan “Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya.”

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di’tewas’kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

* Kisah ini saya copy dari email yang diforwardkan di uummail.edu.my - Muslim Group

Thursday, February 25, 2010

NASIHAT LUQMAN AL HAKIM

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) : Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Surah Luqman; Ayat 12

1. Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku; orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.

3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

4. Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan oleh mu, maka marahnya ibubapa terhadapmu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5. Hai anakku; jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Hai anakku; dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah.

7. Hai anakku; seseorang pendusta akan lekas/cepat hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian/nasihat kepada orang yang tidak mahu mengerti atau mendengar nasihat.

8. Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10. Hai anakku; jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang merbahaya.

11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Hai anakku; janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan apa sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan apa saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Hai anakku; makanlah makananmu bersama sama dengan orang-orang yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17. Hai anakku; selalulah baik tuturkata dan halus budi-bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Hai anakku; jadikanlah dan jagalah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riyak yang akan mendatangkan celaan pada dirimu.

20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Hai anakku; barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata-kata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata-kata kotor tentu akan menyesal.

24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur yang selalu disirami air hujan.

25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.


Sunday, February 21, 2010

KEKAYAAN MENURUT ISLAM

1. Islam tidak menyekat umatnya mengejar kekayaan. Malah Islam sangat menggalakkan setiap umatnya sentiasa berusaha mencari kekayaan untuk membaiki kehidupan di dunia dan di akhirat.

2. Kekayaan itu adalah rezeki. Tugas mencari rezeki itu mendapat pahala selagi ianya tidak menyeleweng daripada ajaran Islam.

3. Pada zaman Rasulullah S.A.W juga ramai para sahabat baginda yang kaya contohnya seperti Umar bin Khattab r.a. Para sahabat menggunakan kekayaan mereka demi kerana mengembangkan Islam.

4. Pada asasnya, Allah tidak memandang kekayaan seseorang sebagai syarat mendapat kemuliaan disisiNya. Namun, jika ada dua orang yang sama-sama beriman, maka Allah lebih menyukai orang beriman yang kaya berbanding orang beriman yang miskin.

5. Ini kerana orang beriman yang kaya akan membawa banyak kebaikan dari segi membelanjakan hartanya untuk kepentingan dan kemajuan agama Islam. Begitu juga orang berilmu yang beriman.

6. Orang Melayu dan Islam sepatutnya berlumba-lumba untuk menjadi orang kaya dan beriman (terutamanya nasihat ini dituju untuk diri saya sendiri dan orang lain). InsyaAllah selain mendapat keuntungan di dunia, kita juga akan mendapat kebaikan di akhirat.

7. Dalam konsep kekayaan menurut Islam di Malaysia pada hari ini, saya menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar sebagai mentor dan idola.

8. Terima kasih atas jasa dan sumbangan Tan Sri untuk pembangunan Islam dan Melayu di Malaysia setakat ini. InsyaAllah semoga suatu hari nanti saya dimurahkan rezeki olehNYA dan berpeluang serta berkesempatan mendapat tunjuk ajar daripada Tan Sri.

9. Saya berdoa akan semakin ramai lagi bilangan orang Islam dan Melayu seperti Tan Sri atau lebih baik lagi pada masa akan datang.

10. Antara sumbangan beliau (boleh juga di baca disini). Berikut adalah sedikit latar belakang Tan Sri Syed Mokhtar yang saya copy daripada Facebook beliau.

50 Things You Should Know about Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary
(Sumber asal klik sini)

Umur - 53 tahun
Pendidikan - SPM
Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan -RM1,425 juta
Ke 7 terkaya di Malaysia
Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
Kereta - Proton Perdana
Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.
BAGAIMANA sumbangan sosialnya bermula - Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa diatas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (Perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

50.Kalau pun tak mahu membantu orang melayu, lebih lebih lagi Islam jangan lah kita tergolong atau bertanggung jawab menyumbang pada pembunuhan kegiatan amal orang melayu dan Islam.

Thursday, October 1, 2009

PERJALANAN KE 28

* Sekadar catatan peribadi

1. Alhamdulillah kerana 'perjalanan' ini telah sampai ke angka 28 hari ini. Namun, penting kadang kala untuk melihat kembali masa lalu supaya selalu bersyukur, insaf dan tahu asal-usul sendiri.

2. Namun dengan melihat masa lalu tidak cukup kerana mungkin masa hadapan itu akan lebih panjang daripada masa lalu. Mungkin masa hadapan mempunyai cabaran yang lebih hebat berbanding masa lalu, tetapi pengalaman yang dikutip pada masa lalu amat berharga sebagai bekalan istimewa bagi meneruskan perjalanan ke hadapan.

3. Tetapi perlu diingat apa yang kita miliki hari ini bukanlah milik kita dan apa yang kita akan dapat esok bukanlah semua dari usaha kita tetapi semuanya hanyalah pinjaman daripada-Nya. Maka kita harus redha dan terus bersyukur.

4. Namun yang penting usaha adalah punca kejayaan kerana tidak akan ada kesenangan dan kejayaan yang datang kepada kita dengan mudah melainkan kitalah yang perlu berusaha mencari dan mendapatkannya.

5. Perlu juga diingat walaupun jika usaha itu kita lakukan dengan bersungguh-sungguh dan kerja keras, namun tanpa bantuan dan sokongan orang lain dan tanpa izin-Nya juga belum tentu kita akan berjaya. Justeru, kita perlu hormati, hargai dan berterima kasih kepada mereka yang pernah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menemani kejayaan perjalanan ini.

6. Hari ini angka yang tercatat adalah 28, mungkin selepas ini banyak lagi angka-angka yang akan dihitung dan sebagai manusia kita tidak akan tahu bilakah kita akan sampai ke destinasi tetapi kita perlu tahu ke mana destinasi yang kita harapkan di akhirat nanti.

7. Jika angka ini dirujuk dalam konteks khidmat yang boleh diberikan, jika diambil angka 58 iaitu umur bersara wajib bagi pekerja di negara ini, maka tercatat angka 30 tahun lagi untuk dilalui (jika belum ditakdirkan sampai ke destinasi). Angka ini lebih panjang tempohnya berbanding akan 28 yang telah dilalui.

8. Justeru, sebagai manusia yang kerdil disisi Tuhan, saya berdoa agar jika dipanjangkan usia supaya dapat menempuh perjalanan 30 tahun ini dengan jayanya nanti.

9. Namun, angka 30 tahun ini tidak boleh dipersia-siakan, kerana 'sesuatu' boleh dilakukan sepanjang tempoh tersebut. Jika angka 28 yang berlalu telah memberikan 'sesuatu' kenapa perjalanan 30 tahun seterusnya perlu dibazirkan.

10. 30 tahun : tidak mustahil ada 'kepakaran' yang boleh dibentuk

11. 30 tahun : tidak mustahil ada sebuah 'empayar' boleh dibina

12. 30 tahun : tidak mustahil ada 'pemikiran' boleh dilaksanakan

13. 30 tahun : tidak mustahil ada 'kepimpinan' boleh dijanakan

14. Segalanya tidak mustahil, usaha punca kejayaan dan semuanya atas kehendak dan keizinan-Nya. Amin.

15. Tahun 1988 - 1993 : Sekolah Kebangsaan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

16. Tahun 1994 - 1996 : Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Alor Setar, Kedah.

17. Tahun 1997 - 1998 : Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

18. Tahun 1999 - 2000 : Kolej MARA Kuala Nerang.

19. Tahun 2000 - 2003 : Bachelor of Dev. Mgmt. (Hons), Universiti Utara Malaysia.

20. Tahun 2003 - 2005 : Master of Science (Planning), Universiti Sains Malaysia.

21. Tahun 2005 - 2009 : Lecturer, Universiti Utara Malaysia.

22. Tahun 2009 (November) - 2013 : PhD in Engineering (Transport), Monash University, Melbourne, Australia.

* Manusia hanya merancang, tetapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Sunday, September 13, 2009

Tuesday, September 8, 2009

AGAR SAYA TIDAK MUDAH LUPA

1. Agar saya tidak mudah lupa tanggungjawab sebagai hamba-Nya

2. Agar saya tidak mudah lupa 'keperitan' orang-orang terdahulu dalam menyediakan 'nikmat keselesaan' yang saya kecapi sekarang.

3. Agar saya tidak mudah lupa untuk menjaga maruah diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

4. Agar saya tidak mudah lupa tanggungjawab untuk bersama-sama membina tamadun diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

5. Agar saya tidak mudah lupa usaha untuk mencapai impian dan cita-cita.

6. Agar saya tidak mudah lupa untuk selalu bersyukur 'apabila dipilih' dan redha apabila diuji

7. Agar saya tidak mudah lupa untuk insaf dan sedar diri apabila 'tidak dipilih'

8. Agar saya tidak mudah lupa saya hanya 'dipinjamkan' sementara ke dunia dan pasti akan 'kembali'......

Thursday, June 18, 2009

PENDIDIKAN JUGA SATU NIKMAT

Sebelum ini saya pernah menulis dalam entry yang dulu tentang pelajar-pelajar BDM yang sambung pengajian. Saya juga ada mengulas tentang peluang-peluang pembiayaan pengajian lanjutan dan pakej rangsangan ekonomi. Pada kali ini saya ingin menulis perkara yang sama tetapi dengan melihat isu kepentingan untuk generasi masa hadapan dalam bidang pengajian tinggi.

Dua hari lepas Perdana Menteri kita ada mengulas tentang kepentingan pendidikan dalam pembangunan negara. Beliau berkata Malaysia akan jadi miskin pada masa hadapan jika kerajaan mengurangkan peruntukan kewangan untuk sektor pendidikan.Pada masa kini kerajaan membelanjakan hampir RM50 bilion setahun bagi tujuan pendidikan iaitu lebih 23 peratus daripada jumlah belanjawan tahunan negara. Jika budget pendidikan dikurangkan, maka peluang pembangunan sistem pendidikan negara akan tersekat, ramai yang akan tercicir pendidikan terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Ini bukanlah situasi yang baik, kerana salah satu komponen untuk menjadi negara maju ialah apabila bilangan penduduk yang berpendidikan tinggi adalah ramai dan menjamin bekalan tenaga sumber manusia yang berpendidikan tinggi. Tetapi apabila ramai rakyat tidak berpelajaran maka semakin tinggilah jumlah pengangguran dan kurang tenaga sumber manusia mahir, maka negara sukar berkembang dan menjadi semakin miskin.

Jika kita melihat pada zaman dahulu misalnya era tahun 60 an
dan 70 an jika dikaji mungkin pada waktu itu bagi sebuah kampung belum tentu ada anak Melayu yang layak menjejak kaki ke menara gading (universiti), kalau ada pun bagi sebuah daerah mungkin hanya ada 3 atau 4 orang yang masuk universiti. Bilangan universiti pun tak banyak pada masa tu iaitu seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian bila masuk era 80 an bilangan pelajar masuk ke universiti semakin ramai mungkin sebuah kampung sekurang-kurangnya ada seorang anak Melayu yang dapat masuk universiti dan daerah pula mungkin jumlah 20 hingga 30 orang. Tetapi masih tak ramai. Selepas tahun 1990 an hingga sekarang bilangan pelajar universiti dan bilangan universiti juga semakin bertambah hingga sekarang. Sekarang di UUM saja ada hampir 30,000 pelajar sedang belajar manakala 70,000 pelajar telah tamat pengajian semenjak UUM ditubuhkan. Itu belum dikira jumlah pelajar di universiti-universiti lain yang mana jumlah IPTA sekarang dah 20 buah universiti manakala IPTS dah lebih 500 buah di Malaysia.

Dari segi peluang kerjaya bagi lulusan universiti juga adalah merujuk kepada perkembangan dan kemajuan negara. Misalnya pada era 60 an, 70 an dan 80 an, bilangan pelajar universiti tidak ramai maka belum tamat pengajian tahun akhir pun dah ada tawaran kerja, banyak pilihan pulak tu. Maka bertuahlah para lulusan universiti pada waktu itu. Ini kerana persaingan tak ramai. Tapi sekarang sebahagian kecil pelajar universiti terpaksa menganggur sekurang-kurang 6 bulan hingga setahun sebelum mendapat kerja manakala sebahagian besar pula terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan yang terbaik untuk mereka. Walau bagaimanapun nisbah jumlah lulusan universiti yang menganggur sekarang jika dibanding jumlah lulusan universiti yang telah mendapat kerja masih rendah kerana peluang kerja masih banyak di negara ini, cuma mungkin sebahagian besar mereka belum menemui pekerjaan yang sesuai atau ada yang terlalu memilih kerja.

Dari aspek kelulusan pulak, jika dilihat pada era 70 an dan 80 an
syarat-syarat permohonan kerja diutamakan bagi pemohon-pemohonan yang berkelulusan LCE atau PMR, MCE atau SPM dan STP atau SPTM, kemudiannya diploma dan paling tinggi ijazah. Kemudian sekitar era 90 an pulak syarat permohonan dah tinggi iaitu SPM, STPM, diploma dan ijazah (PMR dah kurang membantu) manakala Master (Sarjana) pula sudah pasti amat berpeluang cerah. Tetapi sekarang jika kita kaji dalam iklan-iklan jawatan kosong sama ada oleh kerajaan atau swasta maka kelulusan diperlukan adalah ijazah dan Master adalah keutamaan (SPM atau STPM semakin kurang relevan manakala diploma pun makin kurang membantu). Ini saya bercakap tentang permohonan bagi jawatan pegawai dan ke atas, bagi jawatan lebih rendah mungkin syarat kelayakan mengikut tahap jawatan. Tapi bagi lulusan universiti pasti semua mahu kalau boleh bermula sebagai jawatan pegawai.

Tetapi pada masa akan datang pasti syarat-syarat itu semakin tinggi. Jika sekarang syarat minimum bagi jawatan pegawai adalah ijazah maka semakin hari jumlah mereka yang memiliki ijazah semakin ramai maka tentulah pada masa depan syarat itu semakin tinggi. Sekarang ini pun mereka yang memiliki sarjana lebih diberi keutamaan. Ini adalah adat, kelayakan kita diukur melalui tahap kelulusan yang kita ada. Mungkin pada masa depan syarat kelayakan bagi jawatan yang lebih tinggi akan terus meningkat, mungkin ijazah juga semakin kurang membantu (ini hanya pandangan - mungkin tidak betul bagi semua pekerjaan), mungkin pada masa depan mereka yang memiliki Master juga semakin ramai. Jika kita lihat situasi sekarang kebanyakan pegawai atau kakitangan kerajaan yang ingin naik pangkat kena buat Master sebab persaingan tinggi sesama mereka, maka siapa yang adalah kelulusan lebih tinggi akan lebih berpeluang. Begitu juga syarikat-syarikat swasta yang besar juga memerlukan lebih ramai lulusan sarjana bagi mengisi jawatan-jawatan tinggi (cuba rujuk iklan-iklan jawatan kosong dalam Star Jobs - akhbar The Star). Inilah realiti. Satu contoh lagi, pada masa dahulu sesiapa yang ingin memohon jawatan pensyarah sekurang-kurangnya perlu ada Master manakala jawatan tutor perlu ada ijazah, tetapi selepas tahun 2008 bagi jawatan tutor perlu memiliki Master dan syarat memohon jawatan pensyarah universiti perlu mempunyai PhD.

Saya menulis ini bukanlah bermaksud menyuruh semua orang sambung buat Master, bukan itu tujuan saya. Tetapi kita perlu fikir ke hadapan 10 atau 20 tahun lagi, bagaimana perkembangan negara dan dunia. Kita tidak boleh berfikir untuk hari ini dan esok sahaja. Kita tidak boleh fikir untuk diri kita sekarang sahaja, tetapi kita perlu fikir akan generasi kita pada masa akan datang. Sesiapa yang berpeluang sambung Master itu adalah mereka-mereka yang beruntung kerana mungkin sebahagian mereka ada peluang itu kerana kemampuan keluarga untuk membiayai pengajian, atau dapat pembiayaan lain seperti biasiswa atau pinjaman dan mereka belum mempunyai komitmen terhadap perkara-perkara lain yang mendesak seperti menyara keluarga sendiri, membantu ibu bapa menyara adik-adik yang masih bersekolah dan komitmen lain yang memerlukan mereka bekerja bagi memperolehi pendapatan. Bagi mereka yang belum berpeluang, bukanlah mereka tidak bagus, tetapi keutamaan mereka kepada perkara-perkara yang saya sebutkan itu lebih utama. Maka kerjalah, carilah pendapatan kerana itu lebih baik untuk mereka. Tetapi suatu hari nanti jika ada peluang maka mereka juga boleh menyambung pengajian lagi.

Bagi yang dah atau sedang atau akan menyambung pengajian, belajar bersungguh dan lulus dengan cemerlang, kerana sesuatu peluang itu selalunya akan datang sekali sahaja dan mungkin sudah tidak ada lagi peluang yang sama pada masa depan. Justeru, pergunakan peluang belajar itu dengan sebaiknya. Manakala yang bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh, jadilah pekerja cemerlang dan binalah kerjaya dengan sebaiknya. Semoga kitalah orang-orang yang menjadi generasi dan nadi pembangunan negara ini pada masa hadapan.


Friday, June 12, 2009

PEMBETULAN

Kenapa malam ni rasa tak mengantuk pulak, dah pukul 2 pagi dah, mungkin masa drive dari Sintok ke Kulim tadi banyak sangat minum 100Plus ni, esok pagi-pagi lagi ada urusan di Penang Island pula. Sementara tidak mengantuk ni lebih baik update blog, tapi nak tulis tentang apa pula?

Pembetulan? Mungkin tajuk ini banyak sudut pendapat untuk dibincangkan. tetapi fokus perbincangan pada kali ini lebih cenderung kepada pembetulan dalam menambahbaik diri sendiri. Dalam sehari berapa banyak kita kena buat pembetulan kerja, disuruh buat pembetulan kerja, diarah perbetulkan kertas kerja, assignment, tesis, laporan praktikum, dokumen ISO dan berbagai jenis kerja yang perlu dibuat pembetulan. Hakikatnya kenapa kita perlu buat pembetulan? Semestinyalah disebabkan hasil dan kualiti kerja kita itu kurang baik, belum mencapai standard, masih banyak kelemahan dan kekurangan, tidak sempurna dan berbagai lagi unsur negatif lain. Jadi buat pembetulan ini adalah bertujuan untuk menambahbaik kualiti kerja, menepati standard, menambah kepada yang kurang, dan menjadikan sesuatu itu lebih sempurna.

Jika kita sedar akan hakikat ini, pastilah kita sedar bahawa membuat pembetulan itu adalah bersifat positif dan kebaikan, maka kita janganlah sesekali rasa marah atau rasa tidak berpuas hati jika kita diminta atau perlu membuat pembetulan.

Seterusnya perlulah kita berfikir bahawa apabila kita perlu membuat pembetulan sebenarnya ianya juga memberi isyarat bahawa diri kita ini masih banyak yang perlu diperbaiki, ini adalah kerana tentunya pembetulan itu dibuat ke atas sesuatu kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan berpunca mungkin dari sikap kita seperti kecuaian, kekurangan maklumat dan pengetahuan, sikap kurang bersungguh melakukan sesuatu, kurang bersedia, malas, bodoh sombong, tidak peka, suka ambil mudah dan lain-lain lagi yang tidak terkira kelemahan kita. Justeru, pembetulan adalah satu peluang untuk kita memperbaiki diri kita daripada sikap-sikap negatif tersebut.

Tetapi apabila kita fikirkan, kebiasaannya kita hanya membuat pembetulan hanya apabila disuruh dan ditegur barulah kita perbetulkan. Bukankah adalah lebih baik kalau kita mampu perbetulkan sesuatu itu sebelum orang lain memberitahu kita? Kalau kita mampu melakukan itu, InsyaAllah kita boleh jadi orang yang cemerlang, kerana antara sifat orang yang cemerlang adalah sentiasa memperbaiki diri, muhasabah diri, mengkaji kelemahan dan potensi diri, dan kemudian mestilah ikhlas memperbetulkan diri sendiri. Apabila kita bersikap proaktif terhadap diri sendiri, maka kita akan terus ke hadapan.

Pembetulan itu bukanlah terhad kepada memperbetulkan hasil dan kualiti kerja semata-mata, tetapi apa yang lebih penting dan sangat mustahak ialah memperbetulkan atau membuat pembetulan ke atas diri sendiri iaitu terhadap akhidah, sikap, amalan, ibadah, niat, akhlak dan hala tuju hidup. Inilah yang paling penting!

Sebagai kesimpulan, ingin saya utarakan satu persoalan, adakah lebih baik jika setiap hari semakin banyak kita buat pembetulan atau semakin sedikit pembetulan yang perlu kita buat ? Jawapannya ada pada diri kita sendiri untuk kita fikirkan.

Friday, June 5, 2009

BERFIKIRAN BESAR

Jika kita membaca buku-buku berbentuk motivasi, pasti ada perbincangan berkaitan dengan cara-cara ingin menjadi orang yang berjaya salah satu caranya ialah kita perlu sentiasa berfikiran atau berjiwa besar. Apakah maksud berfikiran besar ini? Ia adalah tidak jauh beza dengan apa yang dimaksudkan angan-angan atau impian atau cita-cita atau matlamat hidup. Ya! Memang untuk berjaya kita harus mempunyai angan-angan atau cita-cita atau impian yang besar! Jikalau tidak bagaimana kita mahu berusaha membentuk diri kita mencapai ke arah itu.

Justeru, dalam diri kita perlu ada satu fikiran yang besar supaya mudah kita berusaha dan mendisiplinkan diri untuk mencapainya. Orang yang berjaya selalunya mereka yang mempunyai fikiran besar - itulah hasil penemuan kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar motivasi.

Berfikiran besar ini haruslah dilihat dan dibentuk dari sudut yang positif, janganlah berfikiran besar untuk niat yang tidak baik seperti mahu menunjuk-nunjuk, sombong, rasa megah diri, bongkak, takbur dan ingin dipandang tinggi oleh orang lain. Itu adalah salah, maka apa yang dicapai itu makin kuranglah keberkatannya. Ingat! kejayaan itu bukanlah untuk ingin dipandang mulia oleh orang lain! tetapi sedarlah Allah sangat menyukai orang-orang berjaya yang bertaqwa kepadaNya.

Jika hanya berfikiran besar sahaja tetapi tanpa disusuli dengan usaha, tindakan, disiplin dan kesungguhan untuk mencapai angan-angan itu maka itulah dinamakan 'angan-angan Mat Jenin'. Kosong! malah tidak bermakna langsung!

Sebaiknya kita perlu berfikiran besar disertai dengan usaha yang kuat dan konsisten, keazaman dan disiplin yang tinggi, dan kita harus meletakkan perancangan dalam angan-angan itu iaitu apakah yang diingin kita capai? berapa lama masa yang dijangkakan? (5 tahun,10 tahun dan 15 tahun, 30 tahun dan seterusnya). apakah langkah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya? bagaimanakah kita akan mengawal tindakan ke arah itu? apakah strategi dan altenatif yang ada? (dengan kata lain sebenarnya kejayaan itu harus dirancang!).

Tetapi eloklah kita tidak memberitahu atau menceritakan apakah fikiran besar atau angan-angan atau cita-cita kita itu kepada orang lain, bimbang akan disalah erti atau dikatakan riak atau boleh menjadikan kita seorang yang takbur. Cukuplah kita tahu sendiri dan catatkan serta rancangkan fikiran besar kita itu untuk kegunaan memperbaiki diri sendiri. Kalaupun perlu memberitahu orang lain mungkin boleh cerita kepada orang-orang yang kita percaya dan kemudiannya mereka boleh memberikan dorongan yang positif kepada kita. Sebagai manusia, kita juga perlukan dorongan dan sokongan orang lain untuk terus memperbaiki diri bagi menjadi orang yang berjaya.

Perkara yang paling penting selepas kita merancang kejayaan apakah yang ingin kita capai dan mula bertindak ke arah itu, kita perlu sedar bahawa yang akan menentukan semuanya adalah datang daripadaNya. Maka wajiblah kita bertaqwa kepadaNya dan tidak putus-putus berdoakan agar Allah makbulkan cita-cita kita itu. Dan apabila Dia memakbulkan doa kita itu, maka wajiblah kita bersyukur kepadaNya.

Untuk berjaya kita memerlukan ketabahan diri yang tinggi untuk menempuh dugaan dan cabaran yang bakal dilalui, yang penting jauhkan sama sekali sifat berputus asa dalam diri, kerana kita harus sedar lebih tinggi angan-angan itu, maka lebih tinggi jugalah cabarannya. Hanya orang-orang yang bersabar sahaja dapat mencapainya.

Secara peribadinya saya berpendapat bahawa setiap daripada kita perlu ada berfikiran besar, kerana manusia itu telah dijadikan sebaik-baik kejadian oleh Allah, setiap kita mempunyai potensi dan kelebihan yang tersendiri, hanya bergantung kepada keupayaan, kebijaksanaan dan kesungguhan kita dalam memperbaiki diri sendiri. Benarlah kata hadis “Bekerjalah untuk duniamu seakan – akan kamu akan hidup selamanya. Beribadahlah untuk akhiratmu seolah – olah kamu akan mati esok".

Selamat berjaya!

Saturday, May 23, 2009

MINDA SEPARA SEDAR (UNCONSCIOUS MIND)

Semasa belajar dalam tingkatan empat dan lima di Kolej Sultan Abdul Hamid kira-kira 11 tahun yang lalu selain membaca buku-buku akademik, antara buku yang saya suka baca ialah buku-buku motivasi dan psikologi kerana saya ni kurang minat pada novel. so, saya sering luangkan baca buku-buku motivasi sebagai hobi. memang berkesan pada waktu itu dan antara faktor penyumbang hingga saya menjadi diri saya hari ini.

antara topic yang sering saya baca adalah berkaitan potensi otak manusia dan cara-cara menggunakan otak secara berkesan. apa yang menarik minat saya ialah berkaitan dengan pemikiran bawah sedar atau (unconscious mind). sebenarnya diri kita mempunyai dua jenis minda iaitu minda sedar (conscious mind) dan minda separa sedar (unconscious mind). dalam kita menjalani kehidupan kita sehari-hari dari dulu hingga sekarang kita dikatakan hanya menggunakan kurang 10% daripada keupayaan otak kita pada tahap minda sedar, manakala 90% keupayaan otak kita digunakan oleh minda separa sedar!

mungkin ada ramai yang keliru apa minda sedar dan minda separa sedar ini? terutama bagi mereka yang sebelum ini kurang beri perhatian akan perkara ini. biar saya terangkan secara ringkas, tapi saya bukanlah seorang pakar psikitari atau psikologi, saya hanya terangkan setakt kefahaman dan pembacaan saya. kita semua tahu bahawa setiap tindakan, pergerakan dan tindakbalas badan kita dikawal oleh otak atau minda kita misalnya melompat, berjalan, duduk, berdiri, berbaring hinggalah kepada perkara-perkara rumit seperti degupan jantung, denyutan nadi, pernafasan dan lain-lain, semua ini dikawal oleh minda kita.

sebagai contoh apabila kita sedang berjalan dan melihat ada longkang di hadapan kita, pastinya minda kita akan mengarahkan anggota badan kita seperti kaki untuk melangkah atau melompat melepasi longkang itu. inilah dipanggil arahan minda sedar kita kerana kita sedar jika tidak berbuat demikian kita pasti akan jatuh ke dalam longkang tersebut, tetapi bolehkah kita mengarahkan jantung kita berdegup pada setiap saat? sudah tentu tidak kerana sebenarnya ia diluar kawalan minda sedar kita tetapi sebenarnya ia dikawal oleh minda separa sedar kita. ini bermaksud minda separa sedar kita boleh melakukan perkara-perkara hebat yang tidak mampu dilakukan oleh minda sedar kita!

satu contoh lagi bagi orang Muslim khususnya pernahkah ketika sedang bersolat dan anda tidak khusyuk di mana mulut anda membaca setiap surah dan anggota badan anda melakukan rakaat demi rakaat tetapi minda anda telah jauh melayang mengingat perkara-perkara lain misalnya tentang rancangan tv, makanan, artis dan lain-lain, tiba-tiba anda sedar bila diri anda dah beri salam diakhir solat, pernahkan berlaku? hehehe...(saya pun...). pelikkan? bagaimana kita dapat melengkapkan solat iaitu melakukan setiap rakaat sehingga habis sedangkan otak kita hanyut memikirkan hal-hal lain yang tiada kaitan dengan solat, sebenarnya tindakan badan kita melakukan rakaat demi rakaat itu telah dilakukan oleh minda separa sedar kita. sekarang dah sedikit faham???

jadi alangkah hebat jika kita mampu menggunakan potensi minda separa sedar secara lebih lagi daripada yang sekarang, khususnya bagi membantu kita mencapai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh minda sedar kita, bolehkah? jawapannya boleh! tapi kita kenalah belajar teknik-teknik tertentu yang telah diciptakan oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut. otak manusia ini adalah harta dan aset yang paling berharga dan tidak ternilai yang Allah berikan kepada kita.

Perbezaan antara manusia biasa (ordinary person) dengan manusia luar biasa (a genius) adalah manusia biasa tidak tahu apakah yang ada pada MINDA SEPARA SEDAR-nya, TETAPI manusia hebat/genius (a genius) telah menggunakan pengetahuan tersebut.”

Imam Jafar Sadiq (as)

Reference: The Great Muslim Scientist and Philospher


kebetulan hari ni saya dapat menggunakan sedikit minda separa sedar saya melakukan satu perkara (tak perlu saya beritahu), sebab tulah saya terpaksa buka semula buku pasal topic ni, dan suka saya berkongsi berkaitan maklumat ini di blog saya. ingatlah, orang biasa tetapi sering berusaha melakukan perkara-perkara yang luar biasa adalah lebih baik daripada orang luar biasa tetapi sering melakukan perkara-perkara yang biasa.

Monday, May 18, 2009

UBAT HATI

Saya baru saja menonton drama bersiri Dendam, Dosa dan Doa di Astro Oasis, kisah mengenai ada sekumpulan penduduk kampung yang cuba nak menjatuhkan imam surau tu, nak rebut kuasa, jawatan imam surau pun nak rebut?? Itu la sifat sebahagian kecil dalam masyarakat kita, walaupun sekadar drama, jangan fikir tak berlaku di alam realiti. tapi bukan saya nak bincang tentang drama ni, saya tertarik pada lagu nasyid yang melatari drama ini dan atau sebagai lagu tema. saya tak tahu apa tajuk nasyid tu dan disampaikan oleh kumpulan mana sebab tidak dinyatakan oleh penerbit. tapi antara lirik kata lagu tu ialah tentang ubat hati.

Apa perlunya ubat hati? kerana hatilah benda yang amat berharga yang Allah anugerahkan kepada manusia selepas akal, kalau hati baik, maka baiklah manusia itu dan sebaliknya. dalam lagu itu dinyatakan ada 5 ubat hati iaitu :

  1. Bacalah Al-Quran dan maknanya
  2. Solat malam perbanyakkanlah
  3. Berkumpullah dengan orang-orang soleh
  4. Banyakkan berpuasa
  5. Zikir malam panjangkanlah


maka, itulah ubat kepada hati-hati manusia. saya juga teringat kepada manakala pesanan Ustaz Aagim dalam rancangan Rawat Hatinya, Bangunlah juga dalam Astro Oasis iaitu untuk berubah manusia perlukan 3M iaitu


  1. Mulai dari diri sendiri - tak perlu lihat orang lain
  2. Mulakan dengan yang kecil - badan kita terbentuk dari benda-benda kecil seperti sel-sel dalam badan
  3. Mulai dari saat ini - takut esok dah mati, dah tak sempat, hehehe...

Semua nasihat ni ni saya tujukan pada diri saya sendiri dan bersama-samalah diambil iktibar oleh orang lain.

Thursday, May 14, 2009

JADI ORANG YANG MENAWAN

Dua hari yang lepas (Selasa 12 Mei 2009), saya ada menonton rancangan Anjakan Paradigma Bersama Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah di Astro Oasis jam 10.00 malam berkenaan BAGAIMANA NAK JADI ORANG YANG MENAWAN hehehe....maksudnya macam mana nak menjadikan orang suka kepada kita. justeru, saya mengambil peluang ini untuk berkongsi hasil rumusan program berkenaan berdasarkan saranan Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah.


TIPS MENJADI ORANG YANG MENAWAN


1. Jadilah orang yang berjaya - orang akan suka kepada orang yang berjaya

2. Selalu memuji orang - setiap kali kita berjumpa orang carilah kebaikannya dan pujilah orang itu, kerana setiap perjumpaan 30 saat pertama adalah waktu yang terbaik untuk puji orang dan orang pun akan suka

3. Tunjukkan mereka diperlukan - orang akan suka kita apabila merasakan mereka diperlukan oleh kita.

4. Jadilah orang pertama yang membantu - orang akan ingat kepada seseorang yang menjadi orang pertama membantu apabila mereka perlukan bantuan

5. Puji orang depan orang lain - kebaikan orang hebah-hebahkan, keburukan orang sorok-sorokkan

6. Dorong dan beri motivasi - orang akan suka kepada kita apabila kita selalu mendorong dan memotivasi mereka untuk mencapai matlamat mereka

7. Kongsi rahsia peribadi - orang akan suka kepada kita apabila kita berkongsi peribadi kita yang munasabah, kerana mereka akan fikir kita percayakan mereka

8. Bersangka baik - orang mudah menerima kita apabila kita sentiasa bersangka baik kepada mereka

9. Bantu buat apa yang orang tak mampu - orang akan ingat dan suka kita apabila kita membantu mereka melakukan sesuatu yang mereka sendiri tak mampu lakukan

10. Nyatakan sesuatu dengan penuh kasih sayang - orang akan suka kita bila kita menyampaikan sesuatu kepada mereka dengan penuh kasih sayang

11. Beri bantuan tanpa syarat - orang akan kenang kita apabila kita selalu membantu mereka tanpa syarat (ikhlas la tu..)

12. Ingat nama orang - orang akan suka kepada kita apabila setiap mula pertemuan kita ingat dan sebut nama mereka

Adakah anda fikir anda seorang yang menawan????