Showing posts with label KSAH. Show all posts
Showing posts with label KSAH. Show all posts

Monday, July 6, 2009

KSAH : Collegian of the Century

Sejak hadir menyaksikan Pasukan Pancaragam Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) beberapa hari lalu, saya terkenangkan zaman persekolahan saya di sana. kerana di sanalah saya mula dapat berfikir tentang kepentingan ilmu dan masa hadapan. Justeru, saya mencari beberapa maklumat penting tentang KSAH untuk dimasukkan dalam blog ini tanda penghargaan saya sebagai bekas pelajar.


Sejarah KSAH
KSAH diasaskan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) di sebuah bangunan berhampiran Balai Nobat, Alor Star. Pengetua pertamanya ialah Encik Mohamad Iskandar (bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad). GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Pada tahun 1911, GES dipindahkan ke Jalan Penjara Lama (belakang IPD Kota Setar) dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar (tapak yang ada sekarang) pada tahun 1917. Pada tahun 1935 nama GES telah ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC).




Sambutan 100 Tahun
Pada tahun 2008, KSAH telah menyambut ulangtahun yang ke-100. Sempena Sambutan Kolej Sultan Abdul Hamid 100 Tahun, tiga orang tokoh yang merupakan bekas pelajar KSAH telah diiktiraf dan diperakukan sebagai Collegian of the Century. Pemilihan bukan sekadar ketokohan dan sumbangan yang diberikan tetapi juga membuat KSAH berbangga melahirkan pelajar yang terkenal bukan sekadar di pentas tempatan tetapi juga di persada global.

Ketiga-tiga tokoh tersebut ialah:

1. KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah
(Sultan Negeri Kedah Darul Aman)

2. Al-Marhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid
(Perdana Menteri Malaysia Pertama)

3. Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Perdana Menteri Malaysia Keempat)
`

Collegian of the Year
Anugerah Collegian of the Year yang diperkenalkan pada tahun 2000 dianugerahkan kepada bekas pelajar yang berjaya menempa nama dalam kerjaya dan menyumbang balik kepada alma mater. Pemilihan dilakukan oleh SAHOCA. Penerima anugerah diberi penghormatan untuk berucap dalam majlis Hari Anugerah Cemerlang dan namanya diabdikan di Galeri Kolej.

Penerima-penerima Collegian of the Year ialah:


Tahun - Penerima
2000 - Tan Sri Dato’ Razali bin Ismail
2001 - Tun Dato’ Seri Dr. Mohammad Zahir bin Ismail
2002 - Dato’ Wira Haji Syed Zain bin Syed Abdullah

2003 - Tan Sri Dato’ Dr. Othman bin Yeop Abdullah
2004 - Dato’ Wira Syed Abdul Jabbar bin Syed Hassan Shahabudin
2005 - Dato’ Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
2006 - Dato’ Ir. Syed Muhammad Shahabudin
2007 - Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim
2008 - Dato' Wira Syed Ahmad bin Syed Mohamad Al-Mahdali


(Sumber : http://www.kedah.edu.my/sahc/)

Wednesday, July 1, 2009

PANCARAGAM SEKOLAH : KSAH vs SMK SULTANAH ASMA

Nampak topik kali ini ringan sahaja. Malam ini saya baru sahaja balik dari menyaksikan acara Pertandingan Akhir Pancaragam Sekolah Peringkat Negeri Kedah yang telah berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar (lokasi stadium ini kira-kira hanya 200 meter sahaja dari rumah saya).

Bila sebut sahaja tentang pancaragam sekolah di Kedah ini terdapat dua sekolah yang dominan dalam menguasai kehebatan pasukan pancaragam iaitu Sekolah Menegah Sultanah Asma Alor Setar dan bekas sekolah saya sendiri iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Dari sejak dahulu lagi kedua-dua buah sekolah ini sering bersaing sengit antara satu sama lain dalam setiap pertandingan sehinggakan sukar sekolah lain untuk menang.

Tetapi bagi pertandingan peringkat negeri ini, terdapat dua peringkat iaitu sekolah menengah dan sekolah rendah. Bagi peringkat sekolah menengah ada pula dua kategori diwujudkan iaitu Kategori Satu dan Kategori Dua. Kategori satu ini hanya pertandingan antara SMK Sultanah Asma dan pesaingnya KSAH kerana mereka mungkin dianggap telah profesional. Bagaimanapun tidak kurang hebat juga Kategori Dua iaitu pertandingan antara sekolah-sekolah menengah yang lain sebagai ruang mereka untuk menang.

Kehadiran penonton dan penyokong sangat ramai hingga penuh stadium. Penyokong paling ramai dan mendominasi stadium pastilah dari SMK Sultanah Asma dan KSAH saling berlawan sorak untuk pasukan masing-masing (saya rasa seronok sebab dah lama tak hadir program macam ni). Tentulah saya menyokong Kolej Sultan Abdul Hamid, sekolah tercinta. Semua persembahan pancaragam sangat hebat dan menarik terutama bagi Kategori Satu.

Kemuncak pertandingan akhirnya Johan Pancaragam Kategori Satu dimenangi oleh SMK Sultanah Asma manakala KSAH menjadi Naib Johan sahaja. Walaupun tewas saya amat bangga pada sekolah sendiri. Memang telah sejak dulu Johan pancaragam ini bergilir-gilir dimenangi oleh kedua-dua sekolah, cuma pada tahun ini nasib tidak menyebelahi KSAH. Tidak apa tahun depan KSAH boleh usaha lagi rampas kembali 'title Johan' itu.

Saya masih ingat persaingan sengit kedua-dua sekolah ini dari dahulu hingga kini terus berpanjangan, kerana kedua-duanya dianggap sekolah elit di Alor Setar. Pada masa dahulu pelajar-pelajar lelaki KSAH sering digossipkan dengan pelajar-pelajar perempuan SMK Sultanah Asma, nasiblah saya tidak terlibat dalam gossip-gossip tersebut. hehe..

Sehingga sekarang KSAH terus melahirkan ramai tokoh pemimpin-pemimpin utama negara, tokoh korporat, ahli perniagaan, cendekiawan-cendekiawan dan pakar-pakar pelbagai bidang yang telah berjaya salah seorangnya ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-empat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya berbangga pernah menjadi sebahagian daripada KSAH dan SAHOCA (Sultan Abdul Hamid College Alumni).

Mungkin tidak ada langsung sumbangan saya dahulu kepada kehebatan pasukan pancaragam KSAH, tetapi sekurang-kurangnya saya keluar dari KSAH sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 1998 yang dianugerahkan kepada 10 pelajar yang mendapat keputusan paling cemerlang dalam SPM.