Saturday, April 16, 2011

KHUSYUK DI DALAM SOLAT



Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Kalau kita memelihara syariat Allah pada ketika usia kita muda, kita menjaga tubuh badan kita dengan tidak membuat maksiat, mulut tidak makan dan minum benda-benda yang tidak halal, lidah berkata hanya kebenaran dan tidak berkata buruk kepada orang, mata tidak melihat perkara yang haram, telinga tidak diajar mendengar tentang keburukan orang lain, tangan dan kaki tidak berbuat perkara-perkara yang jahat dan akal tidak memikirkan hal-hal yang tidak baik, maka Allah akan menjaga tubuh badan kita ketika usia kita sudah tua. Inilah yang berlaku kepada Asma Binti Abu Bakar iaitu anak kepada Saidina Abu Bakar di mana walaupun usianya telah lebih 100 tahun tetapi satu batang giginya pun tidak pernah rosak, mata dan telinganya masih baik dan dia tidak nyanyuk kerana Allah telah menjaga tubuh badannya.

2. Rahsia jika kita mahu melindungi rumah kita daripada dimasuki oleh haiwan atau binatang berbahaya dan berbisa seperti ular, lipan, kala jengking ataupun binatang buas ialah dengan sentiasa membaca Al-Quran di dalam rumah. Amalkan membaca keseluruhan Surah Al-Baqarah, atau bacalah Surah Al-Baqarah sampai habis sekurang-kurangnya sekali di dalam rumah, InsyaAllah rumah kita akan terpelihara daripada binatang-binatang berbisa kerana Allah yang akan melindungi rumah kita, bahkan bukan sahaja bintang berbisa boleh jadi tikus, lipas, semut dan cicak pun tak akan masuk dengan sebab rumah kita mendapat perlindungan daripada Allah SWT.

3. Terdapat 3 perkara yang mendekatkan diri kita dengan Allah iaitu amalan, zikir dan doa. Ada amalan (yang baik) maka dekatlah kita dengan Allah, tak ada amalan, maka jauhlah kita dari Allah dan doa kita tak sampai. Ada amalan, InsyaAllah apa hajat kita yang terdetik dalam hati pun Allah dengar dan Allah makbulkan.

4. Cara kedua untuk mendekatkan diri dengan Allah ialah dengan zikir, zikir bukan bermakna kita sebut Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar semata-mata kerana itu adalah kalimah zikir, tapi maksud zikir yang sebenarnya ialah 'mengingati Allah'. Waktu tidur, waktu berjalan, waktu makan, waktu duduk, waktu bercakap sentiasa ingat Allah itulah sebenarnya zikir, tapi ramai orang faham berzikir ni pegang tasbih, yang kita pegang tasbih itu ialah berzikir iaitu menyebut kalimah zikir, tetapi erti zikir ialah mengingati Allah dalam hati kita sentiasa dan di mana-mana itulah zikir.

5. Cara ketiga nak dekatkan diri dengan Allah ialah berdoa, orang yang selalu berdoa ialah orang yang dekat dengan Allah, apa-apa perkara pun dia akan berdoa. Ramai orang berdoa sebelum mendapat sesuatu yang dihajati, tetapi bila dia mendapat apa yang telah dihajati, berapa orang yang masih berdoa kepada Allah? Misalnya kita kerap berdoa kepada Allah sebelum mendapat pekerjaan, tetapi bila dah dapat kerja, berapa ramai yang masih berdoa kepada Allah supaya pekerjaan yang dilakukan itu diberkati dan diredhai oleh Allah.

6. Kita selalu mendapati diri kita tidak khusyuk dalam solat, macam-macam kita teringat di dalam solat, jadi bagaimana untuk menjadi khusyuk dalam solat? Rasulullah khusyuk dalam solat, maka belajarlah bagaimana Rasulullah solat dan ikutlah cara Rasulullah solat supaya solat kita menjadi khusyuk. Allah telah beritahu kita dalam Al-Quran siapakah orang yang solatnya khusyuk iaitu orang yang solatnya khusyuk ialah mereka yang sentiasa yakin bahawa adanya pertemuan kita dengan Allah. Maknanya kita ini sentiasa mengingati Allah, yakin bahawa kita ini akan mati, akan berjumpa dengan Allah, takut akan disoal oleh Allah, jadi orang ini akan melakukan solatnya dengan seelok-eloknya, maka orang inilah yang akan khusyuk solatnya. Firman Allah SWT : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya". (Surah Al-Baqarah, ayat 45 - 46)

7. Tapi banyak orang yang tak ingat nak jumpa Allah, dia tak takut dengan mati, pakaian dia adalah pakaian seperti tak takut pada mati, dipakainya pakaian yang mendedahkan aurat, maka mereka ini tidak akan khusyuk solatnya. Orang yang makan rasuah, kalau dia ingat yang dia ada pertemuan dengan Allah dia tak akan ambik rasuah, sebab dia tak yakin akan jumpa Allah golongan ini juga tidak khusyuk solatnya. Orang yang mengumpat dan menfitnah, mereka tidak takut akan disoal oleh Allah kelak atas apa yang mereka umpat dan fitnah itu, mereka tak yakin akan jumpa Allah, maka solat mereka juga tidak khusyuk. Tapi kita ni kadang-kadang dalam saf pun masih sempat mengumpat, sebelum angkat takbiratulihram pun sempat lagi mengumpat dengan orang di sebelah.

8. Saidina Ali menggeletar badannya setelah selesai mengambil wudhuk, lalu seorang lelaki bertanya kepadanya "mengapa engkau menggeletar dan takut?" lalu jawab Saidina Ali "mengapa kamu tiada fikiran, bukankah sekarang kamu mengambil wudhuk, kamu nak solat, kamu nak mengadap siapa?" lalu jawab lelaki itu "tentulah nak mengadap Allah" lalu Saidina Ali berkata "jadi kamu tidak takut mengadap Allah? Aku ni menggeletar, sebab aku takut nak mengadap Allah!". MasyaAllah, kita ni dalam saf nak solat pun masih boleh bergurau senda dengan kawan di sebelah, dah nak angkat takbiratulihram pun masih boleh jawab handphone lagi! Ish! begitu sekali tahap kita tiada perasaan takut kepada Allah, bila tidak ada perasaan takut kepada Allah macam mana solat nak khusyuk! Dalam solat pun masih dok teringat orang yang telefon kita itu.

9. Kita ini di luar solat, pakaian kita cantik-cantik, pakaian yang mahal. Bila nak pi jumpa kekasih kita pakai pakaian yang paling cantik, nak jumpa pemimpin pakai pakaian yang paling kemas, pergi kenduri pakai pakaian baru, tapi bila nak solat, kita tukar pakaian yang buruk, yang hodoh, kain pelikat yang dah lusuh dah 4 hari tak basuh dipakainya untuk solat, kain telekung yang dah 2 bulan tak basuh dipakainya untuk solat, kain telekung yang mahal dan bersulam di simpan dalam almari, kain pelikat yang cantik-cantik di simpan dalam almari, kopiah pun tak pakai kalau solat di rumah, datang ke masjid pakai baju melayu, tapi bila solat di rumah pakai baju pagoda.

10. Sepatutnya solat di rumah kena pakai wangi-wangi, pakai baju yang cantik-cantik, pakai kain telekung yang cantik dan bersih, sebabnya di rumah kita solat bersendirian, jadi Allah hanya lihat kita sorang sahaja sedang solat, tapi di masjid kita solat ramai-ramai, jadi Allah lihat semua orang yang sedang solat bukan kita sorang sahaja. Bila waktu kita berhadapan dengan Allah itulah waktu kita berhadapan dengan Kekasih, jadi kenalah tanamkan dalam hati "Aku nak jumpa Kekasih aku, aku nak pakai wangi-wangi, nak pakai baju cantik-cantik, nak baca elok-elok, nak guna sejadah paling mahal, sebab untuk-Mu Kekasihku Ya Allah! Inilah yang kita kena fikirkan, cantiknya kita bila berhadapan dengan Allah. Jadi, mana-mana kain pelikat yang buruk-buruk tu, pi buat kain buruklah...pakailah kain telekung yang mahal yang ada dalam almari tu..takut dok simpan-simpan nanti bila sakit tak sempat nak pakai dah...

Friday, April 15, 2011

Thursday, April 14, 2011

SYARAT WAJIB SOLAT



Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

Syarat-syarat WAJIB solat :

1.
Islam. Seseorang Islam itu WAJIB solat, kalau seseorang itu bukan Islam, kemudian dia masuk Islam, misalnya pada hari itu dia memeluk Islam pada pukul 12.30 tengah hari, maka pukul 1.30 tengah hari dia dah WAJIB solat Zohor, walaupun dia tidak mengetahui cara solat dan bacaannya, tetapi dia tetap kena ikut bersolat sama macam orang lain walaupun dia tidak tahu membaca apa-apa bacaan pun dalam solat.

Maknanya apabila seseorang itu sakit, dia tetap wajib solat mengikut kaedah kemampuannya (misalnya solat dengan cara duduk ataupun berbaring) sebab Rasulullah telah memberitahu bahawa beza di antara orang Islam dengan bukan Islam ialah solat. Satu waktu solat yang kita tinggalkan bersamaan 80 tahun diseksa di dalam Neraka. Sehari di dalam Neraka bersamaan 1000 tahun di dunia.
Banyaknya orang tak solat.

Meraikan kemenangan bola sepak tak solat, menyaksikan perlawanan akhir bola sepak tak solat. Kenduri kahwin tak solat, tukang masak katering tak solat, pengantin tak solat, bapak pengantin tak solat sebab sibuk melayan tetamu. Mesyuarat tak solat, sibuk berniaga tak solat. Pelakon dan penyanyi tak solat sebab dah disolek nak buat persembahan anugerah juara lagu. Senangnya kita tinggalkan solat.

Tidak solat kerana tiada tempat untuk solat di tempat kerja atau di kilang. Tempat makan ada tak? Ada... maka kalau ada solatlah di tempat atau ruang makan itu kerana solat tidak semestinya di surau, solat di mana-mana pun boleh. Pergi Disneyland, tiada tempat solat, solatlah di bawah pokok. Orang tengok, biarkan, yang penting kita solat.
Apa pelikkah bersolat di khalayak ramai, di tempat awam? Sedangkan bercium dan bermesra-mesraan dengan kekasih di tempat awam tak pelik? Malu orang pandang kita solat? Dengan sebab malu, lalu ditinggalkan solat, maka Neraka adalah balasan untuk kita.

Firman Allah SWT :
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; "Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, "Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini". (Surah Al-Muddaththir, ayat 42-47)

Solat lain buat, tapi Solat Subuh tak buat, macam tak solat
Solat Asar tak buat, Solat Mahgrib tak buat, tapi yang lain buat, macam tak solat

Seminggu tak solat, hari Jumaat baru Solat Jumaat, macam tak solat

Setahun dua kali saja solat (Sunat Aidilfitri dan Aidiladha), macam tak solat
Solat tapi tak betul, tak ada tomakninah, bacaan tak betul, macam tak solat

Solat tetapi dalam keadaan riyak, macam tak solat


2. Suci daripada haid dan nifas.

3. Berakal. Tiada wajib solat bagi orang gila, kerana dia bukan mukallaf, orang yang pitam, pengsan dan sedang koma tak wajib solat. Misalnya orang yang kemalangan, kemudian dia koma 4 tahun, maka bila dia sedar daripada koma, tidak perlu diqadhakan solat 4 tahun yang telah dia tinggalkan.

4. Sampai seruan Islam kepadanya. Misalnya orang di Hutan Amazon tidak wajib solat kerana mungkin seruan Islam (pengetahuan tentang Islam) tidak pernah sampai kepada pengetahuan dan pendengaran mereka.

5. Mempunyai pendengaran dan penglihatan. Sesiapa yang buta dan pekak pada masa yang sama, maka dia dimaafkan kerana dia tidak boleh belajar hukum-hukum syarak. Tetapi seseorang itu hanya buta, tetapi dia boleh mendengar, maka dia wajib solat.

6. Cukup umur (baligh). Apabila kanak-kanak telah sampai umurnya 7 tahun barulah harus disuruh mengerjakan solat dan boleh dipukul jika mereka meninggalkan solat apabila umur telah mencapai 10 tahun. Pada umur 7 tahun Rasulullah menyuruh solat sebab dapat melatih mereka berbuat ibadat dan kebajikan dari sejak kecil, kerana kesan dilatih membuat ibadat dan kebaikan sejak kecil akan terbiasa menjadi tabiat baik mereka hinggalah mereka besar, tetapi apabila kanak-kanak dilatih dengan perkara-perkara yang kurang baik sejak kecil, maka terbiasalah mereka kepada perkara yang kurang baik hinggalah mereka besar.

Wednesday, April 13, 2011

BERI MANFAAT BILA DIPERLUKAN, MENJAGA DIRI BILA TIDAK DIPERLUKAN LAGI



Sabda Rasulullah S.A.W :"Manusia yang paling baik ialah seorang mukmin yang berilmu, yang apabila diperlukan kepadanya dia akan memberi manfaat (kepada orang lain) dan jika dia tidak diperlukan dia akan menjaga dirinya (dari orang lain)."

Sunday, April 10, 2011

CINTA ADALAH KEIKHLASAN DAN KEREDHAAN



1. Syariat Islam itu didirikan di atas prinsip keadilan, ijab kabul dilaksanakan di atas keredhaan dan keikhlasan, tidak ada keterpaksaan di dalamnya. Keterpaksaan itu belum tentu datang daripada orang lain, boleh jadi datang daripada hati orang itu sendiri, misalnya rasa tidak selesa ataupun ragu-ragu.

2. Sekiranya ada rasa ragu dalam perasaan cinta kita terhadap seseorang, maka janganlah sesekali rasa cinta itu diteruskan. Jika rasa cinta itu diteruskan, itu bukan sahaja tidak adil untuk diri kita sendiri, tetapi juga terhadap orang yang kita cintai, sebab sesuatu yang dijalani dengan terpaksa akan tiada kebaikan kelanjutannya.

3. Oleh itu, jika kita mencintai seseorang, maka terimalah dirinya seadanya dia dengan penuh keikhlasan dan keredhaan, kerana pada keikhlasan dan keredhaan itulah terletaknya kebahagiaan dan nilai kasih sayang dalam cinta...

*Keseluruhan video yang telah disiarkan di blog ini bermula dari 1 April sehingga 10 April 2011 adalah bersumberkan Sinetron Ketika Cinta Bertasbih - Meraih Ridho Ilahi.

Thursday, April 7, 2011

TIADA KEBAIKAN MELAKUKAN SESUATU DENGAN TERBURU-BURU



1. Janganlah dikhuatirkan, kalau Allah sudah meredhai, maka tidak ada suatu pun yang akan menghalangi. Janganlah terburu-buru dalam melakukan sesuatu, kerana tidak ada kebaikan dalam melakukan sesuatu yang terburu-buru.

2. Bisikan syaitan itu sangat halus kepada manusia, sehingga terkadang manusia tidak merasakannya. Syaitan ingin manusia melakukan sesuatu dengan terburu-buru hingga akhirnya menyesal di kemudian hari.

3. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah kuperbuat dan yang belum kuperbuat, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah kuketahui dan yang belum kuketahui, ampunilah aku, tutupilah aku dari segala hal yang memalukan dan tenteramkanlah aku dari rasa takut (selain daripada-Mu).

4. Ya Allah, aku mohon kepada-Mu, jangan Engkau biarkan dosa pada diri kami kecuali Engkau bukakan pintu keampunan-Mu, jangan Engkau biarkan cacat pada diri kami kecuali Engkau tutupi, jangan Engkau biarkan kesusahan kecuali Engkau bukakan jalan keluar yang terbaik.

5. Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar aku dapat mencintai-Mu, mencintai orang-orang yang mencintai-Mu dan mencintai segala perbuatan yang mendekatkan aku kepada mencintai-Mu, tetapkanlah hatiku pada jalan redha-Mu, wahai Yang Membolak-balikkan Hati.

6. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak pernah merasa puas dan dari doa yang tidak dikabulkan...

Wednesday, April 6, 2011

APABILA MANFAATNYA MELEBIHI MUDARATNYA



1. Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan kepada kita untuk segera bernikah, tetapi perintah bersegera menikah itu adalah apabila manfaatnya lebih banyak daripada mudaratnya.

2. Jika dilakukan untuk bersegera bernikah tetapi mudaratnya lebih banyak, lebih baik pernikahan itu ditunda dahulu sampailah keadaan benar-benar memungkinkan.

Tuesday, April 5, 2011

MEMELIHARA PERGAULAN DAN MENJAGA KEHORMATAN



1. Menyampaikan rasa cinta itu tidak salah, yang salah adalah apabila lelaki dan perempuan yang bukan muhrim berdua-duaan di tempat yang sepi, maka syaitan akan menjadi pihak ketiga yang akan menggoda keduanya untuk berbuat maksiat. Sampaikanlah rasa cinta itu pada waktu yang tepat dan dengan cara yang dibenarkan oleh hukum syarak.

2. Khalwat itu ialah bersepi-sepi berdua di antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, walaupun kedua-duanya tidak melakukan apa-apa, tetapi dikhuatirkan syaitan akan menjadi pihak ketiga yang akan menggoda.

3. Sebaik-baik cara sampaikanlah rasa cinta itu kepada wali bagi seorang perempuan misalnya kedua orang tuanya kerana sepertimana sabda Rasulullah SAW : "Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Apapun keputusan walinya, itulah keputusan yang terbaik, kerana pada keredhaan itulah terletaknya kebahagiaan dan kasih sayang, maka jika cinta itu diterima itulah jodoh yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada kita, tetapi jika sebaliknya, ketahuilah bahawa sesungguhnya rezeki Allah SWT itu sangat luas, dan hanya Allah SWT yang maha berkuasa mengaturkan jodoh untuk setiap manusia.

Monday, April 4, 2011

JODOH ADALAH KETENTUAN DARI ALLAH



1. Allah tidak pernah mempunyai kesulitan untuk mempertemukan jodoh manusia, malah jodoh setiap manusia itu telah pun diaturkan oleh Allah. Allah telah menentukan siapakah jodoh kita dan menempatkan 'jodoh' itu di satu 'tempat' sebelum tiba masanya, jika saatnya sudah tepat, kita akan dipertemukan dengan 'jodoh' kita itu dengan 'caranya sendiri'.

2. Jodoh, umur dan rezeki itu sudah ditentukan oleh Allah SWT. Itulah yang namanya takdir, kita harus redha dengan setiap takdir yang telah ditentukan kepada kita, tetapi sebelum 'takdir' itu berlaku kita tetap boleh berharap dan berusaha. Takdir adalah 'rahsia' Allah dan takdir mempunyai jalannya yang sendiri. Kalau kita telah ditentukan oleh Allah tidak berjodoh dengan seseorang, sebesar apa pun usaha dan harapan kita, pernikahan itu tidak pernah akan terjadi, tetapi sekiranya ketentuan Allah telah menetapkan kita berjodoh, apapun tidak akan boleh menghalanginya.

Sunday, April 3, 2011

KERANA HATI BICARA

MUSLIMAH YANG ISTIMEWA



1. Fatimah Az Zahra, puteri Rasulullah, seorang yang lembut hatinya, tegas pendiriannya, tidak mempunyai rasa takut (selain takut kepada Allah SWT) dan pandai menjaga kesucian dirinya.

2. Pernah jatuh hati kepada seorang pemuda tetapi pandai menjaga perasaannya supaya dia tidak terjerumus ke arah maksiat kepada Allah, dia hanya mengungkap perasaan cintanya kepada suaminya iaitu Ali Bin Abi Talib (iaitu pemuda yang pada awalnya dia jatuh hati itu) setelah mereka berdua bernikah.

3. Kalau kita mengungkapkan perasaan hati itu pada waktu yang tepat, itu akan membuat seseorang semakin mencintai kita...dan sebaliknya kalau kita mengungkapkan perasaan itu sebelum waktunya akan menimbulkan fitnah dan maksiat.

Saturday, April 2, 2011

BALASLAH KEJAHATAN DENGAN MEMBUAT KEBAIKAN



1. Firman Allah SWT : "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Surah Al-Hujuraat, ayat 6)

2. Kata Ibnu 'Athaillah : "Orang-orang memujimu kerana apa yang mereka sangka ada pada dirimu. Maka celalah dirimu kerana apa yang engkau ketahui (iaitu keburukan, yang) ada pada dirimu" (Kitab Al-Hikam). Pada hakikatnya, orang memuji kebaikan kita adalah kerana Allah menampakkan kebaikan kita kepada mereka, bukanlah semata-mata kerana diri kita ini memang baik atau sebaik apa yang dikatakan orang, andaikan apa yang dinampakkan oleh Allah pada diri kita adalah keburukan kita, maka tentu tidak ada orang yang memuji kita.

3. Tidak perlu kita membalas kejahatan orang kepada kita dengan kejahatan juga, tetapi saat kita dijahati itu, maka bersabarlah, berlapang dada dan memaafkan. Sebaliknya balas perbuatan jahat mereka itu dengan perbuatan yang baik sepertimana firman Allah SWT :
“Hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih adalah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati (tawadhu’) dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah Al-Furqaan : ayat 63)

4. Rasulullah s.a.w bersabda : “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaan untuknya. Dan tidak ada orang yang tawadhu’ (merendahkan diri) kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Friday, April 1, 2011

SESUNGGUHNYA TIADA YANG MUSTAHIL BAGI ALLAH



1. Bila iman dan mental sudah kukuh, maka dengan sendirinya hati kita menjadi tenang. Bila Allah mengkehendaki keimanan kita bertambah, maka Allah akan memberikan ujian agar kita lulus dan ikhlas...

2. Allah tidak akan pernah meninggalkan hamba-Nya bersendirian, yakinlah, pasti ada pertolongan yang akan 'turun' kalau kita mahu berserah diri dan memohon kepada Allah.


3. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah menurunkan dahulu ubatnya, baru kemudian penyakitnya, begitu juga dengan apa-apa masalah, Allah akan menurunkan dahulu jalan keluarnya sebelum masalahnya.


4. Tidak ada yang tidak mungkin bagi Allah, Laut Merah pernah terbelah di hadapan Nabi Musa a.s, perut ikan pun pernah menjadi tempat pembaringan yang nyaman bagi Nabi Yunus a.s, dan api yang membara pun menjadi sangat dingin di hadapan Nabi Ibrahim a.s


5. Allah Maha Mengatur Rezeki, jangankan kita manusia yang sering menyebut nama Allah, Allah berikan perumpamaan, burung-burung yang terbang di pagi hari dengan perut kosong pulang pada malam hari dengan perut yang kenyang, rezeki itu Allah hamparkan dan Allah 'cukupkan' bagi setiap makhluk-Ny
a