Saturday, February 26, 2011

TELADANI RASULULLAH SAW







Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Sambutan Maulidul Rasul setiap tahun bukanlah perbuatan bida'ah kerana ia adalah sebagai tanda kita sayang kepada Rasulullah SAW, justeru kita mengambil satu hari dalam setahun khas sebagai tanda kasih kita kepada Nabi Muhammad SAW, manakala setiap hari pada hari-hari biasa semestinya kita mengingati dan mencintai siang dan malam melalui Salawat dan Salam ke atas Baginda.

2. Tujuan kita menyambut Maulidul Rasul juga bertujuan untuk mendidik kita dan masyarakat mengetahui dan mengingati sirah Rasulullah SAW dalam mengembangkan Islam kerana hari ini bukan semua orang dalam masyarakat kita yang tahu sirah dan latarbelakang Rasulullah, tetapi hari ini ramai masyarakat lebih tahu sejarah dan latarbelakang artis atau selebriti pujaan mereka.

3. Ramai masyarakat pada hari ini apabila disebut tentang Nabi Muhammad, mereka hanya fikir bahawa cerita-cerita tentang Rasulullah itu adalah hal-hal berkaitan solat, puasa, syurga dan neraka semata-mata. Sedangkan seluruh kehidupan dan perbuatan Rasulullah SAW adalah sangat relevan untuk diikuti umat Islam sepanjang zaman sehinggalah Hari Kiamat.

4. Terdapat dua perkara jika nak khusyuk dalam solat iaitu pertama, ketika sedang solat ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita dan yang kedua, ingatlah bahawa kita pasti akan kembali bertemu Allah di akhirat nanti, InsyaAllah solat kita akan menjadi khusyuk kerana itulah cara solat Rasulullah SAW.

5. Pesanan Rasulullah kalau kita nak lakukan apa-apa perkara sekalipun perlu ada dua perkara iaitu berikan kemudahan atau gembirakan orang dan jangan menyusahkan orang.

6. Kita asyik mencari kesalahan orang lain, yang salah pada orang saja kita fikir, yang baik pada orang kita tak pandang. Kalau nak cari kesalahan orang, sebenarnya salah kita lagi banyak, tapi kita tak sedar sebabnya kita sibuk tengok salah pada orang lain. Kalau asyik mencari salah orang memanglah jumpa kesalahan orang itu, tetapi bagaimana pula dengan kesalahan kita? terlampau banyak kesalahan kita tapi tetap kita tak jumpa.

7. Rasulullah mengajar kita memperbetulkan diri kita atau bermuhasabah, menilai diri kita sendiri. Mencari salah orang lain memang akan jumpa, tapi bukankah lebih baik mencari kesalahan diri sendiri.

8. Salah satu cara untuk memastikan kasih sayang berterusan dalam keluarga, kenalah selalu pegang tangan isteri, pegang anak-anak, barulah kasih sayang dan kemesraan akan hidup dalam rumahtangga. Tetapi kita hari ini sebelum kahwin dah pegang tangan dah, pegang sana pegang sini, tak rasa malu dengan Allah, sedangkan perbuatan itu haram dan berdosa. Tapi bila dah kahwin dah tak pegang pula tangan isteri, kononnya rasa malu orang tengok, sedangkan itulah cara pengikat kasih sayang dan akan gugur dosa-dosa kecil bila pegang tangan isteri malah dapat pahala pula.

9. Kalau nak bagi orang suka, kita kenalah tahu apa yang orang suka dan berceritalah tentang perkara-perkara yang mereka suka, janganlah cerita tentang apa yang kita suka. Begitulah juga, kalau nak ambil hati isteri kena tahu apa yang isteri suka dan apa yang isteri tak suka. Samalah juga nak ambil hati suami kenalah tahu apa yang suami suka dan apa yang suami tak suka, barulah akan aman rumahtangga.

Thursday, February 24, 2011

KASIHI IBU DAN AYAH





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Nikmat Allah yang selalu kita jarang perasan ialah bila kita masih mempunyai ibu dan ayah. Ramai orang yang tidak peduli pun dia ada ayah dan dia ada ibu. Bila mereka sudah tiada barulah kita akan rasa betapa pentingnya ibu dan ayah dalam hidup.

2. Bila mendengar ceramah ini, perasaan saya sama seperti Ustaz Kazim kerana kami sudah tidak mempunyai ayah. Ayah saya meninggal dunia ketika saya masih tujuh bulan di dalam kandungan emak saya. Arwah ayah saya meninggal dunia pada tahun 1981 pada usianya 47 tahun akibat masalah paru-paru berair. Emak saya beritahu bahawa arwah mengalami sakit berkenaan akibat selalu kena pulang kerja lambat dari sekolah dan sampai ke rumah pun sudah waktu malam kerana terpaksa berulang-alik mengajar di sekolah yang sangat jauh dari rumah kami. Pada waktu itu arwah belum mampu beli kereta kerana menyara kami 8 beradik (termasuk saya yang masih dalam kandungan). Arwah hanya berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan motor vespa. Tahun ini, usia saya InsyaAllah akan menjangkau 30 tahun, maka sudah 30 tahunlah arwah telah meninggalkan kami.

3. Walaupun dilahirkan sebagai anak yatim, namun saya bersyukur dilahirkan sebagai anak yatim kerana saya tiada dosa dengan ayah saya, saya tidak pernah derhaka dengan ayah saya. Paling saya bersyukur ialah kerana saya ada ibu yang sangat baik dan mulia yang telah membesarkan kami 8 beradik sehingga menjadi insan yang berguna. Kini emak saya pun sudah berusia 72 tahun pada tahun ini dan Alhamdulillah beliau masih sihat dan ceria. Sekarang giliran kami pula untuk menjaga dan membahagiakan ibu kami.

4, Sekarang ini berapa ramaikah anak-anak yang sanggup menjaga dan membela ibu bapa mereka yang sudah tua? Sepatutnya kita perlu berebut-rebut untuk menjaga ibu dan bapa kerana pada merekalah terletaknya betapa besarnya pahala untuk seorang anak.

5. Kalau kita tengok Al-Quran dan tengok ayat-ayat Al-Quran pun sudah beroleh pahala dari Allah SWT atau mendengar orang membaca Al-Quran pun dapat pahala, apatah lagi jumlah pahala yang akan diperolehi apabila kita membaca Al-Quran.

6. Begitu jugalah kalau kita tengok muka ibu, tengok muka ayah, pun sudah dapat pahala, apatah lagi kalau kita cium tangan ibu dan cium tangan ayah. Betapa besarnya ganjaran pahala apabila kita dapat menjaga mereka, kita hiburkan hati mereka dan bawa mereka pergi berjalan-jalan. Subhanallah, banyaknya pahala untuk kita.

7. Hari ini kalau kita check bil telefon atau kredit handphone masing-masing, berapa kalikah atau berapa sen yang kita telah belanjakan untuk call ibu kita? call ayah kita? yang banyak ialah dibelanjakan untuk call kawan-kawan, girlfriend dan boyfriend, sedangkan ibu yang melahirkan kita dan ayah yang membesarkan kita.

8. Maka manusia ini hanya bila ibu dan ayah sudah tiada, barulah kita akan merasakan betapa sunyinya dunia ini tanpa bapa, betapa sunyinya hidup tanpa ibu.

9. Hari ini yang kita seronok balik beraya di kampung sebab ibu dan ayah masih ada, fikirkanlah suatu hari nanti bila mereka sudah tiada, hanya boleh dilihat dalam gambar sahaja. Nak cium tangan mak dah tak boleh, nak cium tangan ayah dah tak boleh, nak cium pipi mak, nak tidur atas riba mak pun dah tak boleh. Pada waktu itu, baru kita nak sedar betapa pentingnya seorang ibu. Maka sangatlah rugi kalau ketika mereka masih ada kita tidak berbakti kepada mereka, kita tidak menghiburkan mereka dan kita tidak menjaga perasaan ayah dan ibu. Mungkin di atas dunia inilah kali terakhir kita bertemu ibu dan ayah kita kerana mungkin di akhirat nanti belum tentu Allah bagi peluang untuk kita berjumpa mereka semula.

10. Sebab itulah bagi mereka yang masih ada mak, masih ada ayah, tolong layan mereka elok-elok, jaga hati mereka, taatlah pada perintah mereka, ikutlah apa yang baik yang dikata oleh ayah kita, buatlah apa yang baik yang disuruh ibu kita, jangan tengking mereka dan jangan sesekali pun menderhakai mereka.

11. Bila seorang ibu mengandung, dia sedang menanggung beban yang sangat berat kepada dirinya, maka seorang suami wajib meringankan beban isteri ketika isterinya sedang mengandung dan seorang anak pula wajib meringankan beban ibu apabila kita sudah dewasa. jangan biarkan setitik pun air mata ibu mengalir kerana perangai dan kehendak kita.

12. Ibu bapa ni kalau seburuk-buruk ataupun sejahat-jahat manapun sikap anak, apabila si anak balik dan sujud pada kaki mak, mak dan ayah akan terima kembali anak itu. Mana ada mak dan ayah yang sanggup buang terus anak-anak mereka. Tetapi kalau suami isteri, sebaik-baik atau sesayang-sayang manapun pada isteri, apabila bergaduh dan bercerai talak 3 dengan suami, tengok muka pun dah tak mau dah, pada hal dulunya bercinta yang sangat-sangat.

13. Kata Rasulullah SAW bahawa tiga jenis manusia yang tidak akan masuk syurga iaitu anak-anak yang derhaka terhadap ibu bapa, orang yang mengekalkan minum arak dan sesiapa yang memutuskan silatulrahim, bahkan mereka tidak akan dapat mencium pun bau syurga.

14. Sekarang ini saya berada jauh dari ibu saya. Hanya suaranya di telefon menjadi pengubat rindu. Bila saya tengok gambar mak saya, tengok muka dia, tengok kedut pada wajah dia dan tengok kedut pada tangan dia, tangan itulah yang suatu ketika dahulu mencari rezeki untuk bagi saya makan. Walaupun saya tidak sempat berjumpa arwah ayah, tapi syukur Alhamdulillah kerana pencen arwah ayah yang banyak membantu menyara hidup kami sekeluarga.

15. Bagi yang masih ada ayah, tengok pada wajah ayah, tengok pada kedut tangan dia, tangan itulah yang bekerja tulang empat kerat nak bagi kita makan sampailah kita berjaya seperti hari ini. Jangan lupa tu. Ayah kita hari ni sudah jalan terbongkok-bongkok pi masjid, dulu badan dia tegap, badan dia tegap cari rezeki, tapi sampai bongkok pun dia masih bekerja mencari rezeki untuk anak-anak dia.

16. Ayah dan ibu sanggup bergolok-bergadai untuk sara anak-anak, bagi anak-anak makan dan belajar sampailah kita dewasa dan berjaya. Tapi hari ni berapa ramai anak-anak yang sanggup tanggung mak dan ayah mereka pergi haji? Nak beli motosikal kepada ayah pergi masjid pun tak sanggup, nak beli periuk nasi elektrik kepada mak pun dia tak nak. Anak-anak ni handphone boleh tukar sebulan sekali, tapi nak hantar duit belanja kepada mak dan ayah walau seratus dua ratus dalam sebulan pun tak sanggup.

17. Kalau sewaktu mak dan ayah kita masih ada kita tak pedulikan mereka, tunggulah nanti bila mereka dah tak ada, waktu itu menangis air mata darah pun sudah tak berguna, goncang batu nisan pun dah tak boleh buat apa-apa dah. Silap-silap baca doa tahlil pun Allah tak izinkan pahala tu sampai kepada mak dan ayah kita di dalam kubur kerana kita dah jadi anak derhaka.

18. Mudah-mudahan selagi ibu dan ayah kita masih ada, kita dapat sayangi mereka, dapat menjaga dan berbakti kepada mereka. Ingat! bila mereka dah tak ada, hidup ni jadi sunyi, tengok tilam tempat mak baring, tengok bantal tidur mak, tengok baju melayu ayah, menitik air mata kita. Sekarang memang tak menitik lagi air mata kita, sebab hati kita keras, tunggu bila mereka dah tak ada nanti. Masa tu nak mintak ampun pun dah tak boleh dah, mak kita dah tak boleh jawab kepada kita lagi. Kalau masa itu kita derhaka dan tak sempat minta ampun, maka bawalah dosa kita itu mengadap Allah SWT nanti.

19. Ingatlah!. hari ini jika mak kita makan nasi dengan ikan masin, tapi kita makan nasi dengan lauk ayam dan daging, kita tak pernah kisah apa yang ibu dan ayah kita makan di kampung sana, tunggulah...Allah akan soal kita di Hari Kiamat. Setitik air mata mak yang turun kerana jahat mulut dan jahat perangai kita pun Allah akan soal di Hari Kiamat.

20. Sabda Rasulullah SAW : "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya" (Hadis Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim). Tidak akan putus rezeki bagi anak yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya sepertimana sabda Rasulullah SAW : "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya" (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami).

21. Justeru, hari ini, sesiapa yang masih ada mak, masih ada ayah, inilah peluang untuk kita minta ampun, untuk kita minta maaf...syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

Wednesday, February 23, 2011

CINTA



Cinta yang murni ialah apabila keredhaan ibu bapa itu didahulukan...dan kebahagiaan itu sangat terletak pada redha ibu bapa. Sabda Rasulullah SAW : "Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Bersama keredhaan ibu bapa itu juga, akan datangnya rahmat dari Allah SWT. Maka, pilihlah keredhaan ibu bapa mendahului hal-hal yang lain, InsyaAllah hubungan yang dibina akan kekal bahagia dan sejahtera hingga ke akhir hayat.

Firman Allah SWT : "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya". (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Tuesday, February 22, 2011

MUSIBAH ZINA DAN MAKSIAT DALAM MASYARAKAT



1. Jenayah buang bayi berlaku hasil perzinaan yang berlaku dalam masyarakat. Bila berlaku perzinaan maka berlakulah buang bayi. Orang yang berkahwin mereka tidak akan membuang bayinya begitu sahaja kecuali orang gila, kalau mereka tidak mampu pun akibat kefakiran dan kemiskinan, mereka akan menyerah bayi mereka kepada orang lain yang sanggup memelihara bayi itu atau kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tetapi orang yang biadap dan tidak ada akhlak ini iaitu mereka yang telah melakukan zina, sanggup melakukan jenayah buang bayi.

2. Dalam perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara mencatatkan bilangan angka yang begitu dahsyat untuk disebut. Daripada tahun 2000 hingga 2008 sahaja, sebanyak 257,000 bilangan anak-anak yang didaftarkan tanpa nama bapa(anak luar nikah). Pada tahun 2004-2006, mula didaftarkan nama anak dengan tidak ada nama bapa, maka kanak-kanak ini tiada ber'bin'kan atau ber'binti'kan sesiapa. Maka inilah nanti keaiban yang besar ke atas umat Islam suatu hari nanti apabila kanak-kanak ini semakin membesar dan dewasa, mereka didedahkan dalam masyarakat tetapi tidak mempunyai nama bapa. Islam menyarankan bagi bayi yang dilahirkan tanpa bapa haruslah di'bin' kan atau di'binti'kan kepada nama ibu ataupun ber'bin'kan Abdullah.

3. Puratanya anak-anak zina yang dilahirkan di negara ini ialah sebanyak 2500 orang sebulan, bersamaan 83 orang sehari atau dalam masa 17 minit 17 saat akan lahirnya seorang bayi yang tidak ada bapa yang rasmi. Daripada perangkaan yang besar itu, sebanyak 35 peratus daripada 257,000 anak luar nikah itu, iaitu 74,723 adalah anak-anak Melayu yang didaftarkan sebagai anak-anak orang Islam.














4. Dalam kajian yang dibuat oleh badan kebajikan yang mengurus hal-hal anak perempuan yang hamil luar nikah mengatakan, biasanya pada hari-hari bersejarah seperti Valentine Day dan sebagainya, dua bulan selepas itu akan ramai gadis-gadis yang datang ke rumah badan-badan kebajikan ini mengadu mereka telah mengandung anak luar nikah.


5. Punca utama berlakunya buang bayi ini ialah perzinaan. Perzinaan berpunca daripada anak-anak yang telah dibiarkan bebas oleh ibu bapa masing-masing. Memanglah banyak lagi faktor-faktor lain kenapa perzinaan berlaku, tetapi punca utamanya atau faktor terbesarnya ialah didikan agama yang tidak diberi kepada anak-anak dan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka, mereka hanya pandai buat anak, tetapi mereka tidak reti untuk mendidik anak-anak mereka bagaimana untuk menjaga maruah dan menjaga diri.

6. Sabda Rasulullah SAW : “Umatku senantiasa dalam keadaan baik, selama tidak tersebar di tengah-tengah mereka anak hasil perzinaan. Namun jika hal itu terjadi, dikhawatirkan Allah Subhanahu wa Ta'ala akan menimpakan azab-Nya secara merata."

7. Bila berlakunya ramai anak zina kata Nabi SAW, Allah akan menurunkan bala bencana ke atas negara dan ke atas umat Islam yang berlaku sedemikian itu. Kerana itulah kita lihat, hari ini berbagai-bagai perkara berlaku seperti kenaikan harga barang yang berterusan, bekalan air tidak mencukupi walaupun hujan mencurah-curah turun, hujan sudah tidak lagi menjadi rahmat kepada kita, hasil mahsul negara yang banyak tetapi masih ramai yang miskin akibat perbuatan-perbuatan orang yang berkuasa ke atas hasil milik negara. Ini berpunca daripada maksiat yang dilakukan dalam masyarakat. Kata Nabi SAW, apabila berlakunya maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, Allah SWT akan melantik orang-orang yang memimpin pada umat itu iaitu dari kalangan orang yang tidak baik dari kalangan mereka.

8. Sabda Rasulullah SAW : "Apabila datang kepada kamu seorang yang kamu puas hati dari sudut agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkan anak kamu dengannya segera. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya timbul fitnah di muka bumi ini dan kerosakan yang akan ditempuhnya nanti."(Hadis Riwayat Abu Hurairah)

9. Satu kajian yang dibuat oleh pensyarah UKM kepada 600 orang responden yang berumur 15-20 tahun mendapati mereka mengatakan punca utama berlakunya perzinaan ialah berpunca daripada melihat bahan-bahan lucah yang ada hari ini. Pada masa kini sumber bahan-bahan lucah cukup besar, sama ada melalui cerita-cerita di dalam tv, dvd, internet dan media cetak seperti surat khabar dan majalah.

10. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti".

Monday, February 21, 2011

FACEBOOK - BENTUK FITNAH AKHIR ZAMAN



Malaikat dah tulis dan catat semua perbuatan kita tiap-tiap hari, tak perlulah kita nak tulis, tunjuk dan tayang dalam Facebook...

Sunday, February 20, 2011

SAYANGI DIRI



Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Daripada Abu al-’Abbas, Abdullah bin Abbas r.a. berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: "Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu." (Hadis riwayat lmam Tirmizi)

2. Menjaga Allah itu bermaksud memelihara semua perintah Allah SWT iaitu dengan meninggalkan semua perkara yang Allah larang dan mengerjakan semua yang Allah suruh, maka berlumba-lumbalah melakukan kebaikan dan kebajikan.

3. Asma' binti Abu Bakar iaitu kakak ipar Rasulullah SAW, meninggal pada umur melebihi 100 tahun, walaupun umur beliau melebihi 100 tahun, tetapi satu batang gigi pun tidak gugur, mata tidak rabun, badan masih sihat dan tegap, telinga tidak pekak, masih boleh mengerjakan ibadah haji pada usia 100 tahun. Kemudian para sahabat bertanya kepadanya apa yang beliau buat hinggakan Allah memelihara kesihatannya, kemudian Asma' memberitahu bahawa dia tidak pernah membiarkan satu makanan haram pun masuk ke dalam tubuh badannya, maka Allah pelihara badannya, tidak pernah dia ucapkan perkataan yang jahat, kotor dan maki-memaki, maka Allah pelihara lidahnya, tidak pernah berfikir perkara yang buruk-buruk, maka Allah jaga pemikirannya hingga tidak menjadi nyanyuk, tidak pernah mendengar perkara-perkara yang haram sejak dia masih kecil lagi, maka Allah pelihara telinganya dan tidak pernah melihat perkara-perkara yang haram, maka Allah pelihara matanya sehingga tidak pernah rabun dan menjadi selaput.

4. Imam Ahmad berkata, pertolongan Allah datangnya bersama dengan kesabaran. Maka mintaklah pertolongan Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.

5. Kita akan dekat dengan Allah dan Allah akan sangat dekat dengan kita melalui jalan mengerjakan solat.

6. Sebahagian salafus soleh mengatakan, apabila kamu hendak berwasiat kepada teman dan saudara kamu, maka katakanlah kepada mereka, "peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu. Peliharalah syariat Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu".

7. Orang yang nak jadi hebat ialah orang yang selalu bertanya kepada orang lain, "apa salah saya? apa yang tak kena pada saya? Tolonglah nasihat...tegurlah saya".

8. Ada seorang doktor/profesor bukan Islam, setelah membaca dan mengkaji tentang kebaikan dan kemanisan Islam dan akhirnya dia memeluk Islam, kemudian dia bercampur dengan orang Islam, lalu di dalam bukunya dia menulis, "saya bersyukur kerana saya mengenali Islam lebih awal dari saya mengenali orang Islam, kalaulah saya mengenali orang Islam lebih dahulu daripada Islam, kemungkinan saya tidak Islam".

9. Kalau suami baik, isteri pun baik dan masing-masing menjaga hukum-hakam Allah dalam rumahtangga, maka Allah akan menjaga anak-anak dan keturunan mereka.

Friday, February 18, 2011

MENJADI MANUSIA YANG HEBAT

Kata Imam Malik r.a jika seseorang ingin menjadi manusia yang hebat perlu ada empat perkara iaitu:
1.kenderaan yang tangkas
2.rumah yang besar
3.pakaian yang cantik
4.lampu yang terang

Kemudian Imam Malik berkata, kenderaan yang tangkas itu maksudnya ialah memiliki akal yang bijak. Rumah yang besar itu maksudnya ialah sabar, nak jadi hebat kena jadi seorang yang sangat penyabar. Pakaian yang cantik itu bermaksud akhlak yang baik dan cahaya lampu yang terang itu ialah ilmu yang menerangi.

Wednesday, February 16, 2011

MENINGGALKAN SOLAT PUNCA KEJAHATAN













Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Firman Allah SWT : "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" (Surah Al-Ankabuut, ayat 45).

2. Di dalam solat itu adalah percakapan yang baik-baik, jadi sepatutnya apabila kita hanya bercakap yang baik-baik dalam solat, maka sepatutnya di luar solat pun kita perlu bercakap hanya yang baik-baik.

3. Misalnya ada orang yang apabila semasa memandu kenderaan, mereka boleh berubah menjadi seorang yang tidak sabar dan selalu mengeluarkan kata-kata yang buruk apabila ada pemandu lain yang membuat kesalahan.

4. Jika perwatakan kita semasa sedang bersolat adalah berbeza dengan perwatakan kita selepas bersolat, maknanya ada sesuatu yang tidak betul pada ibadat solat kita, hingga menjadikan solat kita itu tidak dapat mencegah yang jahat dan mungkar pada diri kita.

5. Punca utama keadaan sebahagian masyarakat Islam masa kini yang semakin rosak moral dan keruntuhan akhlak adalah akibat tidak solat atau solat yang tidak betul atau solat yang tidak sempurna.

6. Sayyid Khutub (pujangga Islam) pernah berkata : "Ketika aku pergi ke negara Barat, di sana banyak Islam, tetapi saya tidak bertemu orang-orang Islam. Ketika saya pergi ke negara Timur, di sana banyak orang Islam, tetapi saya tidak bertemu dengan Islam".

7. Kata Imam Al Ghazali rezeki kadang kala tidak dicari pun Allah bagi kalau Allah nak bagi, kita duduk saja-saja pun Allah bagi rezeki, misalnya kadang-kadang ada jiran yang datang hantar makanan atau kuih ke rumah kita di waktu petang. Tetapi pahala kena cari kerana ia tidak datang sendiri, misalnya apabila keluar dari rumah, nampak jiran tengah siram pokok, kita tegur jiran dengan ucapan Salam, maka dapatlah pahala. Pendek kata, nak dapat pahala kena buat kerja, tetapi nak cari rezeki tidak semestinya dengan bekerja.

8. Satu waktu kita tinggalkan solat fardhu dengan sengaja, balasannya akan dimasukkan ke dalam neraka 80 tahun. Satu hari di alam akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia ini. Kalau 80 tahun di akhirat maka di dunia telah bersamaan jutaan tahun di dunia. Justeru, orang yang tak sembahyang maknanya dia tak sayang diri sendiri. Bila tak sembahyang, dia tak sayang diri sendiri, jadi macam mana dia nak sayang isteri dan anak-anak.

9. Bila orang dah tak ambik kisah dengan solat, masjid banyak, tapi orang tak ada.

10. Ramai orang terlibat dengan dadah, terlibat dengan gejala maksiat dan berbagai gejala sosial serta jenayah kebanyakannya adalah berpunca daripada keluar pada waktu malam. Ibu bapa dah tak kisah anak-anak keluar malam. Tambah-tambah sekarang ni dah terlalu banyak 'uptown' dan 'down town'. Kesannya, anak-anak semakin suka di luar dan bebas. Maka amalkanlah membaca ayat Al-Quran dari Surah Ali 'Imraan - ayat 200 untuk mengelakkan anak-anak merayau pada waktu malam.

Tuesday, February 15, 2011

TENTANG CINTA



Firman Allah SWT :
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah Al-Israa', ayat 32)

Sabda Rasulullah SAW :
“Tiga perkara yang sesiapa mendapatnya akan merasakan kemanisan iman: Menyintai Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti membenci untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Monday, February 14, 2011

KEMANISAN IMAN



Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang sesiapa mendapatnya akan merasakan kemanisan iman: Menyintai Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti membenci untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sunday, February 13, 2011

PENYEBAB MENJADI KUFUR

















Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

Terdapat golongan manusia yang menjadi kufur di atas LIMA sebab :

1. Mereka mengingkari ilmu Allah SWT dengan juz'iyyat iaitu mereka percaya Allah, tetapi mereka percaya ilmu Allah ada bahagian-bahagian, ada bahagian yang mereka percaya dan ada bahagian yang mereka tidak percaya. Mana bahagian yang mereka nampak sesuai mereka ikut dan mana yang mereka nampak tidak sesuai mereka tolak, maka hukumnya kufur. Misalnya mereka setuju ayam perlu disembelih untuk dimakan, tetapi tidak setuju hukuman orang mencuri perlu dipotong tangan.

2. Mereka mengingkari perhimpunan jasad selepas kematian, iaitu tidak mempercayai bahawa jasad-jasad manusia akan dihidupkan semula pada Hari Kiamat untuk dihisab setiap amalannya semasa di dunia. Firman Allah SWT :
"Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!, Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." (Surah Yaa Siin, ayat 51-54)

3. Mereka mengingkari bahawa segala kejadian dan peredaran bintang-bintang di langit adalah tanda Kekuasaan Allah SWT. Manusia hari ini lebih sibuk mengkaji 'bintang-bintang' di bumi misalnya bintang akademi fantasia, bintang RTM dan artis-artis yang digelar bintang. Manusia semakin lupa akan kebesaran dan kehebatan bintang-bintang di langit yang mana jika manusia sentiasa mengkaji dan memikirkan kejadian bintang-bintang di langit maka mereka akan menjadi semakin alim dan mengagungkan Kebesaran Allah SWT. Firman Allah SWT :
"Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap-gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh - yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Surah Asy-Syams, ayat 1-10)

4. Mereka mengingkari hikmah kedatangan Rasul-rasul yang menjadi utusan Allah. Firman Allah SWT :
"Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: 'Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu'. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu, "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata". Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau". (Surah Yaa Siin, ayat 14-19)

5. Mereka mengingkari sifat-sifat Allah dengan berkata "sesungguhnya Allah menjadikan alam ini dengan sebab atau tabiat". Sedangkan yang sebenar-benarnya Allah SWT menjadikan alam ini adalah harus sahaja bagi Allah bukanlah wajib bagi Allah untuk menjadikan alam ini. Misalnya seperti juga kejadian manusia iaitu harus sahaja Allah untuk ciptakan kita dilahirkan di muka bumi ini, sebab itulah jika Allah memberikan kita jodoh, tidaklah pula wajib bagi Allah untuk memberikan kepada setiap mereka yang berkahwin itu mempunyai anak. Rezeki kita juga, bukanlah wajib bagi Allah untuk berikan kita rezeki, tetapi hanya dengan rahmat, kasih sayang dan ehsan dari Allah sahaja maka Dia berikan nikmat dan rezeki untuk kita.

Wednesday, February 9, 2011

AL-QURAN ADALAH MANUAL KEHIDUPAN MANUSIA

















Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Pada zaman sekarang, manusia semakin menjauhi Al-Quran dalam kehidupan. Apabila orang Islam tidak mendampingi Al-Quran, maka berlakulah berbagai bencana dan kerosakan akhlak dalam masyarakat.

2. Hari ini kes pembuangan bayi sudah menjadi kebiasaan kerana manusia tidak memandang hina kepada perbuatan zina dan perbuatan 'mendekati zina'. Malah di Malaysia penzina-penzina telahpun diangkat sebagai pemimpin dan disanjung tinggi pula.

3. Bahkan ada ibu bapa yang menganggap perbuatan zina dan keterlanjuran anak-anak muda mereka sebagai perkara biasa pada zaman moden ini. Orang menganggap buang bayi itu buruk dan keji, tetapi orang tidak menganggap berzina itu jijik dan keji.

4. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini melaporkan terdapat 517 kes pembuangan bayi dicatatkan dari tahun 2005 sehingga Januari 2011 (rujuk di sini). Daripada 517 bayi yang dibuang 230 ditemui masih hidup manakala 287 ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi.

5. Punca pembuangan bayi adalah masalah zina. Jadi nak selesaikan masalah pembuangan bayi kenalah selesaikan masalah zina. Selagimana masalah zina tak diselesaikan, selagi itulah masalah pembuangan bayi, mengandung anak luar nikah dan kebebasan seks akan terus berlaku.

6. Berbagai strategi bagi menyelesaikan masalah pembuangan bayi pada hari ini seperti mewujudkan pusat pembuangan bayi untuk 'mengumpul bayi-bayi yang ingin dibuang' sebagai cara penyelesaian supaya bayi-bayi tidak dibuang di dalam sungai, dalam longkang atau tong sampah. Di Melaka diwujudkan sekolah untuk pemulihan akhlak untuk remaja-remaja yang mengandung anak luar nikah, manakala dari segi perundangan dicadangkan supaya mereka yang membuang bayi dikenakan hukuman di bawah Akta Kesalahan Membunuh atau Cubaan Membunuh Kanun Keseksaan, ada yang mencadangkan agar remaja-remaja yang sudah gatal hendak menikah supaya dinikahkan segera. Tetapi cadangan-cadangan ini takkan boleh terus selesaikan masalah zina. Zina akan terus berlaku juga dan mungkin semakin banyak kerana kemudahan-kemudahan diwujudkan untuk membuang bayi atau anak luar nikah. Maka, bagaimana cara terbaik? Cara yang terbaik telahpun Allah SWT nyatakan dalam Al-Quran.

7. Cara nak selesaikan masalah zina, tidaklah boleh menggunakan akal semata-mata, melainkan menggunakan satu peraturan yang Allah SWT telah sebutkan dalam Al-Quran iaitu hukum hudud ke atas penzina. Itulah tujuan Al-Quran diturunkan, iaitu sebagai panduan hidup manusia. Al-Quran bukan diturunkan untuk pertandingan musabaqah, Al-Quran diturunkan bukan tujuan untuk diletak dalam frame digantung sebagai hiasan pada dinding, Al-Quran diturunkan bukan setakat nak letak sticker pada cermin kereta, Al-Quran diturunkan bukan setakat untuk dibaca kepada orang mati, orang mati tak perlukan Al-Quran, tapi yang perlu kepada Al-Quran ialah orang yang masih hidup.

8. Masalah kita hari ini menganggap Al-Quran adalah untuk orang mati, hari Jumaat pergi baca Yassin di kubur, baca tahlil untuk orang mati...sedangkan yang sebenarnya Surah Yassin adalah untuk orang hidup, bukan untuk orang mati. Inilah kesilapan kita, menganggap Al-Quran untuk yang mati...sedangkan Al-Quran ini adalah untuk menghidupkan, mengubat yang sakit, mengubat masalah-masalah jiwa manusia yang masih hidup dan menyelesaikan masalah negara.

9. Rasulullah SAW bersabda : "Allah SWT tidak menurunkan sesuatu penyakit, melainkan Allah juga menurun ubatnya, melainkan hanya satu penyakit iaitu tua". Ubat bagi segala penyakit termasuklah penyakit kerosakan akhlak telahpun Allah turunkan di dalam Al-Quran, maka carilah pada kitab Al-Quran. Al-Quran itu adalah 'manual kehidupan' manusia.

10. Kita dengan begitu mudah mendakwa diri kita ini adalah hamba Allah. Apabila kita bersedekah, kita tidak mahu nama kita dikenali kita akan tulis 'sedekah atau sumbangan ikhlas daripada hamba Allah', kalau kita mewakafkan Al-Quran atau sejadah kepada surau dan masjid, kita juga akan menulis 'wakaf daripada hamba Allah'. Sedangkan nak jadi guru pun kena KPLI dulu, nak jadi juruelektrik kena masuk ILP atau Giat MARA, nak jadi polis kena masuk PULAPOL, nak jadi tentera kena lulus latihan dulu...Nak jadi hamba Allah? Ingat tak ada syarat ka nak jadi hamba Allah...? Al-Quran pun percaya setengah, tak percaya setengah (misalnya tak yakin hukum hudud yang terdapat dalam Al-Quran), solat pun tak pernah cukup..nak mengaku hamba Allah? puasa pun tunggang-langgang..masih nak mengaku sebagai hamba Allah...?

11. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran tentang ciri-ciri hamba Allah ialah : " (mereka) yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya (iaitu ajaran-ajaran Al-Quran) lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah Az-Zumar, ayat 18) *Memilih dari ajaran-ajaran lain yang baik, tetapi menurut semua ajaran Al-Quran kerana ajaran Al-Quran itulah ajaran yang paling baik

12. Ulamak-ulamak ada berkata kecelakaan yang paling besar ialah apabila kita yakin dengan makhluk, tetapi tak yakin dengan Allah SWT. Misalnya kita yakin kita akan selamat apabila membeli dan memandu kereta yang hebat, mahal dan mempunyai ciri keselamatan yang tinggi, hingga kita lupa bahawa kemalangan dan kematian kita adalah kehendak Allah. Kita yakin dengan kepakaran doktor dan kecanggihan peralatan perubatan akan selamatkan nyawa kita dalam pembedahan. Kita yakin tidak akan menjadi susah lagi bila kita memiliki wang berjuta dan harta yang banyak hingga kita lupa bahawa semua itu hanya pemberian dan pinjaman dari Allah dan Allah boleh mengambil semula harta itu pada bila-bila masa pun termasuklah nyawa kita juga.

13. Amalan yang menjadikan pahala kita sentiasa berkekalan dan berterusan hinggalah ke dalam kubur dan Hari Kiamat :
i. Sedekah jariah
ii. Ilmu yang bermanfaat
iii.Anak yang soleh

14. Rasulullah SAW bersabda : "Perkara yang masih lagi kamu dapat pahala, walaupun kamu telah mati ialah ilmu yang diajar, ilmu yang disebarkan, anak soleh yang ditinggalkan, kitab (Al-Quran dan buku-buku ilmiah) yang diwariskan, masjid yang didirikan (memberi sedekah dan sumbangan membuat masjid dan surau), rumah musafir yang didirikan, membuat sungai yang dialirkan dan orang yang mengeluarkan hartanya waktu dia sihat". (Hadis Riwayat Imam Al Baihaqi)

15. Rasulullah SAW bersabda : "Orang yang muflis dan orang yang mandul ialah orang yang mempunyai ramai anak, tetapi tiada seorang pun anaknya yang boleh menolongnya di dalam kubur". Maka cubalah buka album gambar anak-anak, lihatlah siapakah di kalangan mereka yang boleh menghadiahkan pahala kepada kita di alam kubur nanti melalui amalan soleh mereka. Anak yang soleh bukanlah bermakna doa mereka semata-mata tetapi semua amalan soleh anak-anak akan sampai pahalanya juga kepada ibu bapa mereka yang berada di alam kubur.

16. Kata Rasulullah SAW : orang muda yang perlukan duit, orang muda yang sangat bernafsu dengan harta, kemudian dia boleh wakaf waktu dia muda, waktu dia perlukan sangat-sangat duit, tetapi dia boleh sedekah, itulah pahala yang berpanjangan sampailah orang muda itu mati. Anak muda yang boleh datang ke masjid, dia sanggup tinggalkan keseronokan dunia yang dia mampu perolehi, anak muda inilah yang berada di bawah Arasy Allah, kemudian dia bersedekah pula pada waktu itu, pahalanya berkekalan sampailah dia mati, sampailah dia bangun di Hari Kiamat...

Tuesday, February 8, 2011

Sunday, February 6, 2011

PERGI TAK KEMBALI













Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa yang senang bertemu dengan Allah, maka Allah senang bertemu dengannya, dan barang siapa yang benci bertemu Allah, maka Allah benci bertemu dengannya” (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Suka bertemu Allah ini bukanlah bermakna suka untuk mati atau meminta untuk mati. Hanya 2 golongan yang dibenarkan oleh syarak untuk meminta supaya mati iaitu :
i. Ulamak yang dipaksa untuk mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan hukum syarak, maka dia diharuskan minta kepada Allah untuk mati (bukan pula bunuh diri) kerana jika dia hidup mungkin fatwa yang dipaksa dikeluarkan itu akan memesongkan akidah umat Islam.
ii. Orang yang sedang sakit menderita yang teramat teruk dan nazak, maka kalau dia hidup makin menderita yang amat dahsyat akibat kesakitan itu (maka dibolehkan) untuk meminta mati kepada Allah (tetapi kematiannya harus diminta oleh orang lain, misalnya oleh isterinya atau ibunya).

3. Islam (syarak) amat menyukai orang yang memohon kepada Allah supaya umurnya panjang dan umur yang panjang itu digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.

4. Pandanglah baik pada setiap kematian umat Islam, walaupun apapun bentuk kematian mereka.

5. Saat sakaratul maut mata manusia akan terbuka kerana melihat 2 perkara :
i. mata terbuka melihat rohnya meninggalkan jasad
ii. mata terbeliak melihat segala perkara dan perbuatan yang pernah dilakukan ketika dia atas dunia

6. Kematian kita dan keadaan jenazah kita (semasa proses untuk dikebumikan) bergantung kepada amalan kita semasa hidup

7. Keadaan mati yang buruk (kerana amalannya yang buruk ketika hidup) menurut Rasulullah SAW ada empat iaitu :
i. mata yang terbeliak (Allah nampakkan kepadanya melihat azab sengsara yang bakal diterima)
ii. dada berombak
iii. berkedut kulitnya
iv. jarinya mencengkam menahan kesakitan

8. Contoh-contoh keadaan mati yang baik :
i. mati dalam keadaan berpeluh dahinya
ii. mati dalam keadaan tenang iaitu sedang mengucap kalimah syahadah
iii.mati dalam keadaan mengucapkan kalimah Allah
iv.mati ketika dalam solat
v. mati ketika sedang memberi khutbah
vi.mati dalam keadaan jenazahnya tersenyum (ketika saat sakaratul maut, Allah nampakkan kepadanya balasan kebaikan yang bakal diterima)
vii.mati pada hari Jumaat (iaitu bermula waktu Maghrib hari Khamis)
viii.mati di bumi Mekah dan Madinah
ix. mati dalam keadaan masih berwudhuk
xi mati dalam Bulan Ramadhan

9. Kita pasti menemui saat kematian, persoalannya bagaimana kematian kita nanti...?





Andainya esok giliran jenazah saya pula dikebumikan, bagi yang pernah mengenali diri ini, maafkanlah andai ada dosa-dosa, kesalahan-kesalahan dan kesilapan saya...

Saturday, February 5, 2011

PETANDA KEBAHAGIAAN DUNIA

Dari Ibnu Abbas r.a katanya : "Ada tujuh petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

1. Hati yang selalu bersyukur
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kamu." (Surah Ibrahim, ayat 7)

2. Pasangan hidup yang soleh
Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : "Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, bercinta kerana Allah dan membenci kerana Allah" (Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)

3. Anak-anak yang soleh
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."(Surah al-Luqman, ayat 14)

4. Suasana yang baik
Persekitaran tempat tinggal, tempat kerja, tempat belajar dan negara yang dalam keadaan yang baik, selamat dan aman

5. Harta yang halal
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: ”Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.”

6. Semangat untuk memahami agama
Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Manusia yang paling baik ialah seorang mukmin yang berilmu, yang apabila diperlukan kepadanya dia akan memberi manfaat (kepada orang lain) dan jika dia tidak diperlukan dia akan menjaga dirinya (dari orang lain)." (Hadis Riwayat Al Baihaqi)

7. Umur yang barakah
Umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah

Rasulullah S.A.W menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya."

Tuesday, February 1, 2011