Tuesday, October 12, 2010

Saturday, October 9, 2010

Monday, October 4, 2010

PROFESOR DAN PENDAYUNG SAMPAN

Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan, dia menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.

Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang. Selepas itu dia menulis sesuatu didalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.

Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm...hari nak hujan."

"Ok, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu.

Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" tanya Professor itu.

"Hampir semur hidup saya." jawab pendayung sampan itu dgn ringkas.

"Seumur hidup kamu?" tanya Professor itu lagi.

"Ya".

"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" tanya Professor itu.

Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi,

"Kamu tahu geografi?"

Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu."

Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?"

Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya.

Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala.

"Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu. Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pedayung sampan." kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh.

Pendayung sampan itu hanya berdiam diri. Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya,

"Kamu tahu berenang?"

Professor itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Moral of the story:

Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan. Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tiada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi.

Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri sendiri, untuk apakah ilmu yang dikumpulkan jika bukan untuk digunakan dan boleh digunakan?

(Sumber : Cerita dari email yang dihantar oleh Profesor Madya Azizi Bin Zakaria ke uummail)

Friday, October 1, 2010

PERJALANAN KE 29

Alhamdulillah, diri ini sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana hari ini perjalanan hidupku telah memasuki 29 tahun. Nikmat kehidupan ini terasa sangat istimewa dikurniakan oleh-Nya. Nikmat pengalaman hidup setahun lagi yang telah dilalui semakin mematangkan diri ini untuk terus hidup dan mendepani cabaran yang mendatang.

InsyaAllah segala yang telah dirancang sebelum ini akan aku teruskan. Seperti yang pernah ditulis tahun lalu berkaitan Perjalanan Ke 28, tiada yang berubah, InsyaAllah perjuangan ini akan tetap kekal biar apapun cabaran yang datang. InsyaAllah, diri ini akan terus kuat dan tidak goyah. Jika ada rasa cinta kepada manusia tidak akan melemahkan aku, tetapi cinta kepada Allah dan Islam itu adalah paling utama. Justeru, sebagai tanda cinta itu, diri ini akan terus berjuang untuk meningkat diri dan berjaya dalam hidup. Agar di masa hadapan hidup ini akan mendatangkan manfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. InsyaAllah.

Angka perjuangan untuk 30 tahun yang akan datang, telah menjadi 29 tahun pada tahun ini, untuk aku terus berjuang memperbaiki diri sendiri supaya menjadi insan yang bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat sebelum dengan kehendak Allah aku menutupkan mata ini untuk selama-lamanya.

Sebagai muhasabah diri dalam perjuangan, dengan izin Allah, matlamat jangka pendek yang ingin dicapai ialah menamatkan PhD dengan jayanya. Kemudian, seterusnya berjuang untuk matlamat jangka sederhana iaitu berkhidmat dan menyumbangkan pembangunan ilmu dan pemikiran untuk kebaikan alam dan makhluk ciptaan Allah dan matlamat jangka panjang pula ialah berjuang membina kejayaan empayar perniagaan, InsyaAllah.

Memang status sebagai Dr., Profesor, Tan Sri dan empayar kekayaan yang dicitakan bukanlah segala-galanya, namun ia adalah sebagai cara yang dipilih untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan bermanfaat kepada manusia lain. Para sahabat Rasulullah SAW dahulu juga ramai yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai dan hartawan lalu kemudian mereka menggunakan kelebihan itu untuk berkhidmat kepada Islam. Justeru, kedudukan, harta dan pangkat yang ingin dicapai bukanlah untuk memusnahkan diri ini, tetapi menjadikan kelebihan untuk aku berkongsi dan menyumbangkan manfaat kepada orang lain.

Mungkin pada masa ini, teladan paling baik ialah Billionaire Melayu dan Islam seperti Tan Sri Syed Mokhtar dan Yayasan Al-Bukhary beliau. Dengan kekayaan dan kedudukan, beliau mampu berkhidmat untuk Islam. Walaupun empayar yang ingin aku bina dengan izin Allah mungkin tidak mampu sebesar empayar Tan Sri Syed Mokhtar, tetapi contoh dan usaha amal Tan Sri keoada pembangunan Islam dan masyarakat akan menjadi tauladan dan bekalan yang sangat bermakna untuk aku teladani.

Adalah lebih baik jika seorang Dr., Profesor dan Tan Sri itu adalah seorang yang beriman, yang bertaqwa, jujur, amanah, ikhlas, pemurah serta bersyukur, dan sentiasa mempergunakan ilmu kepakaran dan harta kekayaan ke jalan Allah berbanding jika hanya memilih untuk menjadi orang biasa. Bukankah orang yang dianugerahkan tinggi ilmunya oleh Allah dan banyak harta kekayaannya tetapi mempergunakan semua kelebihan itu untuk kebaikan adalah paling disukai Allah?

Semoga tahun demi tahun akan terus ada sinar kejayaan untuk diri ini dan perjuangan ini sentiasa dalam rahmat, redha dan berkat dari Allah SWT. Amin.


* Sesungguhnya manusia hanya merancang, tetapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.