Sunday, February 28, 2010

SUBUH, ASAR DAN ISYAK

"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terkandung di dalam kedua solat tersebut, pasti mereka akan mendatanginya walaupun harus dengan merangkak." (HR Imam Ahmad dalam Al-Musnad : 2/324).

"Para malaikat malam dan malaikat siang saling bergantian mendampingi kalian dan mereka berkumpul di dalam solat Subuh dan solat Asar. Selanjutnya para malaikat yang tadi malam mendampingi kalian akan naik, maka Allah bertanya kepada mereka (dan Dia lebih mengetahui daripada mereka) 'Bagaimana keadaan hambaKu ketika kalian tinggalkan?' Para malaikat menjawab, 'Kami meninggalkan mereka dan mereka sedang mengerjakan solat, Kami mendatangi mereka dan mereka juga sedang mengerjakan solat." (HR Bukhari : Al-Fath 2/33).

Thursday, February 25, 2010

NASIHAT LUQMAN AL HAKIM

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) : Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Surah Luqman; Ayat 12

1. Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku; orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.

3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

4. Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan oleh mu, maka marahnya ibubapa terhadapmu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5. Hai anakku; jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Hai anakku; dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah.

7. Hai anakku; seseorang pendusta akan lekas/cepat hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian/nasihat kepada orang yang tidak mahu mengerti atau mendengar nasihat.

8. Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10. Hai anakku; jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang merbahaya.

11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Hai anakku; janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan apa sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan apa saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Hai anakku; makanlah makananmu bersama sama dengan orang-orang yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17. Hai anakku; selalulah baik tuturkata dan halus budi-bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Hai anakku; jadikanlah dan jagalah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riyak yang akan mendatangkan celaan pada dirimu.

20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Hai anakku; barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata-kata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata-kata kotor tentu akan menyesal.

24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur yang selalu disirami air hujan.

25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.


Monday, February 22, 2010

10000:1

1. Kampung Baru Kuala Lumpur akan dibangunkan tidak lama lagi. Jurang pembangunan yang semakin ketara antara Kampung Baru dengan kawasan di sekelilingnya mendesak kawasan itu perlu dibangunkan.

2. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, nilai semasa tanah Kampung Baru ialah RM20 bilion. Manakala jumlah pemilik tanah di kawasan itu adalah seramai 5000 yang saya percaya kesemuanya orang Melayu.

3. Saya fikir kini hanya tinggal Kampung Baru yang merupakan satu-satunya kini lambang petempatan Melayu dalam Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

4. Saya juga percaya setakat ini Kampung Baru Kuala Lumpur juga merupakan sebuah 'kampung' yang mempunyai nilai tanah paling mahal berbanding nilai tanah kampung-kampung lain di seluruh negara.

5. Seharusnya pembangunan semula kampung baru tidak menghilangkan satu-satunya identiti 'kawasan Melayu' yang masih wujud di pusat bandaraya Ibu Negara ini.

6. Saya masih ingat kata-kata Tun Mahathir suatu ketika dahulu semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri iaitu "jika orang lain boleh cabut semua bangunan-bangunan milik mereka di Kuala Lumpur, mungkin hanya Kampung Baru yang tinggal sebagai aset untuk orang Melayu".

7.Saya merayu kepada mereka yang terlibat dalam pembangunan semula Kampung Baru Kuala Lumpur nanti supaya tidak menghilangkan kepentingan dan identiti orang Melayu khususnya pemilik-pemilik tanah.

8. Orang Melayu (pemilik tanah) di situ perlu diberi peluang sebagai 'pemilik bersama' pembangunan semula berkenaan. Bukan hanya sekadar membayar mereka dengan nilai bayaran seperti yang telah ditafsirkan.

9. Jika nilai RM20 bilion yang menjadi ukuran, saya fikir ukuran itu sangat kecil untuk sebuah 'identiti Melayu' di Kuala Lumpur. Jika RM20 bilion itu dibayar kepada semua pemilik tanah yang seramai 5000 itu secara purata setiap orang hanya menerima RM4 juta. Matematik yang sangat mudah. Apakah nilai RM4 juta itu besar untuk orang Melayu?

10. Saya fikir pembangunan semula Kampung Baru Kuala Lumpur tidak hanya sekadar menghitung nilai bayaran yang mereka (pemilik tanah) boleh dapat tetapi lebih utama adalah 'nilai pembangunan orang Melayu' di masa hadapan.

11. Jadikanlah peluang pembangunan semula Kampung Baru ini sebagai peluang yang terbaik membangunkan sekurang-kurangnya 5000 orang Melayu mempunyai 'aset kekayaan Melayu' yang akan terus kekal di Kuala Lumpur. Jangan hiburkan mereka dengan nilai RM4 juta yang mungkin tidak akan kekal.

12. Jika kita mampu tambah 5000 orang Melayu lagi yang kaya, bilangan itu masih sangat kecil untuk bersaing dengan bangsa lain. Jika kita memerlukan 5000 orang Melayu untuk membentuk nilai aset Melayu sebanyak RM20 bilion, maka kita memerlukan lebih 10000 orang Melayu untuk menyamai nilai aset seorang jutawan dari bangsa bukan Melayu seperti Tan Sri Robert Kuok (10000 :1). Sila rujuk rajah berikut :

Sumber : KOSMO Online

13. Jika kita masih mahu mengukur nilai RM20 bilion itu sebagai besar untuk orang Melayu, maka kita memerlukan hampir 23000 orang Melayu atau 5 buah Kampung Baru Kuala Lumpur untuk menyaingi jumlah nilai aset untuk 5 jutawan terkaya di Malaysia yang kesemuanya bukan Melayu.

14. Hari ini kita masih jauh di belakang. Perjuangan kita belum selesai........

Sunday, February 21, 2010

KEKAYAAN MENURUT ISLAM

1. Islam tidak menyekat umatnya mengejar kekayaan. Malah Islam sangat menggalakkan setiap umatnya sentiasa berusaha mencari kekayaan untuk membaiki kehidupan di dunia dan di akhirat.

2. Kekayaan itu adalah rezeki. Tugas mencari rezeki itu mendapat pahala selagi ianya tidak menyeleweng daripada ajaran Islam.

3. Pada zaman Rasulullah S.A.W juga ramai para sahabat baginda yang kaya contohnya seperti Umar bin Khattab r.a. Para sahabat menggunakan kekayaan mereka demi kerana mengembangkan Islam.

4. Pada asasnya, Allah tidak memandang kekayaan seseorang sebagai syarat mendapat kemuliaan disisiNya. Namun, jika ada dua orang yang sama-sama beriman, maka Allah lebih menyukai orang beriman yang kaya berbanding orang beriman yang miskin.

5. Ini kerana orang beriman yang kaya akan membawa banyak kebaikan dari segi membelanjakan hartanya untuk kepentingan dan kemajuan agama Islam. Begitu juga orang berilmu yang beriman.

6. Orang Melayu dan Islam sepatutnya berlumba-lumba untuk menjadi orang kaya dan beriman (terutamanya nasihat ini dituju untuk diri saya sendiri dan orang lain). InsyaAllah selain mendapat keuntungan di dunia, kita juga akan mendapat kebaikan di akhirat.

7. Dalam konsep kekayaan menurut Islam di Malaysia pada hari ini, saya menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar sebagai mentor dan idola.

8. Terima kasih atas jasa dan sumbangan Tan Sri untuk pembangunan Islam dan Melayu di Malaysia setakat ini. InsyaAllah semoga suatu hari nanti saya dimurahkan rezeki olehNYA dan berpeluang serta berkesempatan mendapat tunjuk ajar daripada Tan Sri.

9. Saya berdoa akan semakin ramai lagi bilangan orang Islam dan Melayu seperti Tan Sri atau lebih baik lagi pada masa akan datang.

10. Antara sumbangan beliau (boleh juga di baca disini). Berikut adalah sedikit latar belakang Tan Sri Syed Mokhtar yang saya copy daripada Facebook beliau.

50 Things You Should Know about Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary
(Sumber asal klik sini)

Umur - 53 tahun
Pendidikan - SPM
Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan -RM1,425 juta
Ke 7 terkaya di Malaysia
Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
Kereta - Proton Perdana
Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.
BAGAIMANA sumbangan sosialnya bermula - Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa diatas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (Perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

50.Kalau pun tak mahu membantu orang melayu, lebih lebih lagi Islam jangan lah kita tergolong atau bertanggung jawab menyumbang pada pembunuhan kegiatan amal orang melayu dan Islam.