Saturday, January 23, 2010

KONVOKESYEN KE-23 SIDANG PERTAMA UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

1. Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengadakan Majlis Konvokesyen Ke -23 Sidang Pertama seperti berikut :

Tarikh : 27-29 Mac 2010
Tempat : Dewan Mu’adzam Shah, UUM

2. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan SYABAS DAN TAHNIAH kepada semua graduan UUM yang akan menerima ijazah masing-masing khususnya para graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM).

3. Senarai nama para graduan BDM yang akan menerima ijazah dalam majlis konvokesyen berkenaan BDM adalah seperti dalam senarai berikut : (Klik sini)

4. Saya amat berbangga dengan kejayaan para graduan semua kerana
tuan-tuan dan puan-puan adalah generasi intelek masa hadapan dan juga pewaris kepimpinan yang akan menerajui pembangunan dan kemajuan negara ini.

5. Sesungguhnya majlis konvokesyen itu nanti pasti merupakan satu detik yang amat berharga bagi meraikan dan menghargai segala usaha dan kesungguhan yang telah
tuan-tuan dan puan-puan lakukan untuk menamatkan pengajian di UUM dengan cemerlang dan jayanya.

6. Paling membanggakan saya apabila sebanyak 75.8% graduan BDM akan menerima Ijazah Kelas Kedua Atas.

7. Setinggi-tinggi ucapan TAHNIAH khas daripada saya kepada Lim Jen Zen kerana menjadi graduan tunggal bagi BDM yang menerima Ijazah Kelas Pertama.

8. Saya berasa kurang bernasib baik kerana tidak berpeluang hadir ke majlis konvokesyen pada kali ini untuk bersama meraikan kejayaan
tuan-tuan dan puan-puan semua.

9. Saya doakan
tuan-tuan dan puan-puan semua akan terus cemerlang dan berjaya di alam pekerjaan dan kehidupan seterusnya.

10. Akhir sekali, harapan saya kepada para pelajar BDM yang masih sedang belajar, contohilah kejayaan yang telah ditunjukkan oleh para graduan BDM kali ini dan seterusnya tingkatkan usaha dan kecemerlangan anda semoga pada konvokesyen yang akan datang nanti kita dapat mencapai sasaran 100% graduan BDM di dalam
Ijazah Kelas Pertama dan Kelas Kedua Atas.

Friday, January 22, 2010

KASIHNYA IBU

1. Saya teramat sedih apabila terbaca berita di dalam akhbar bertajuk Si Tanggang Moden Dari Sarawak (baca sini) mengenai seorang ibu yang rindukan anak tunggalnya sanggup bersusah payah dan berhutang untuk mencari anaknya itu, akhirnya dia dihalau dan tidak diakui sebagai ibu oleh anaknya itu sendiri!

2. Tidak ada kata yang boleh saya gambarkan mengenai perasaan saya terhadap si anak itu.

3. Lahirnya seseorang manusia itu ke dunia ini melalui rahim seorang ibu. Sepanjang hayat kita di dunia ini dari mula kita dapat bernafas hinggalah kita mati, kita hanya ada seorang ibu.

4. Allah S.W.T meletakkan darjat seorang ibu kepada seorang anak di peringkat yang paling tertinggi, hinggakan syurga seorang anak itu berada di telapak kaki seorang ibu.

5. Kasihnya ibu membawa ke syurga......

Ibu saya yang tercinta Hajah Saodah Binti Ali


6. Jasa seorang ibu dan bapa tidak ternilai harganya biarpun kita mahu membayarnya sehinggalah kita mati


7. Tingginya darjat ibu apabila syurga anak terletak di telapak kaki ibunya sendiri


8. Ibulah insan yang paling banyak budi dan jasanya di dunia ini kepada kita, tetapi apabila kita dewasa, kita mudah melupakannya


9. Kasihilah ibu dan bapa kita melebihi daripada kasih kita kepada seorang kekasih

10. firman Allah Ta‘ala yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Israa’, ayat 23-24)

Sunday, January 17, 2010

GEMPA BUMI DI HAITI

1. Ketika ramai umat Islam di Malaysia sibuk bertelagah tentang penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian di mana ramai umat Islam yang membantah tetapi tidak kurang juga orang Islam yang menyokong, pada 12 Januari 2010 Allah S.W.T telah menurunkan bala berupa gempa bumi yang berlaku di Haiti.

2. Berdasarkan laporan semasa media, kekuatan gempa bumi yang berlaku adalah pada 7.0 skala richter. Setakat hari ini, angka kematian telah mencecah 50,000 orang manakala jumlah yang tercedera dan belum dijumpai masih belum terkira ramainya. Kenyataan daripada Kementerian Dalaman Haiti menganggarkan jumlah kematian mungkin boleh mencecah 200,000 orang.

3. Masih ingatkah kita pada tragedi gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia pada 30 September 2009 yang lalu? Tragedi itu telah mengorbankan lebih 1,000 orang dan lebih 3,000 lagi cedera manakala 135,000 rumah musnah. Tragedi itu masih baru lagi, tetapi saya percaya ramai yang telah melupakannya. Memanglah kita mudah lupa. Bila kita lupa akan bala Allah, maka seronoklah kita bertelagah di atas muka bumi ini hinggakan ada dari kalangan orang Islam yang sanggup bersubahat merelakan kalimah Allah untuk dipermainkan. Mahukah kita hingga akhirnya Allah menimpakan bala kepada kita supaya mengingati-Nya?


4. Janganlah sehingga bala Allah datang, barulah kita hendak menyesal dan bertaubat. Mungkin pada waktu itu kita sudah pun terlewat.

5. Ingatlah, kadang-kala Allah menurunkan bala kepada orang lain supaya kita dapat melihat, belajar, insaf dan bersyukur kerana kita masih berada dalam peliharaan-Nya.

6. Walaupun mungkin ada yang mendakwa gempa bumi di Padang dan Haiti tiada kaitan dengan Malaysia, tetapi ingatlah bahawa Allah menurunkan bala di tempat lain agar hamba-hambaNya di tempat yang lain dapat berfikir.

Saturday, January 16, 2010

KALIMAH ALLAH : WAWANCARA KHAS DATUK Dr. HARON DIN

1. Umat Islam tidak dilarang untuk membantu yang bukan Islam, malahan Islam sangat menggalakkan umatnya saling bantu-membantu sesama saudara Islam dan bukan Islam.

2. Tetapi agama Islam melarang umatnya membantu atau menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk mensyirikkan Allah S.W.T. Dari sudut pandangan Datuk Dr. Haron Din, penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian tergolong dalam mensyirikkan Allah.

3. Orang Islam yang menolong atau menyokong kepada usaha mensyirikkan Allah, "boleh membawa kepada kekufuran".



Tuesday, January 12, 2010

KALIMAH ALLAH

Isu guna kalimah Allah dan pandangan yang ringkas tetapi padat daripada Blogger Kereta Mayat - Baca Sini

Monday, January 11, 2010

BERSATULAH MELAYU, JANGAN KITA MUDAH LUPA LAGI

1. Demi sayangkan agama, bangsa dan negara

2. Ayuh! Melayu, janganlah kita mudah lupa lagi

3. Indahnya bumi kita ini, warisan berkurun lamanya

4. Bersatulah hati, bersama berbakti

5. Kita sudah tiada masa, majulah dengan maha perkasa

6. Janganlah terlalai, teruskan usaha

7. Ingatlah, jika kita saling bersengketa, rosaklah bangsa, hinalah agama

8. Jadi, ayuhlah bersatu! Hanya jika kita mula bersatu, Melayu akan menjadi gagah di persada dunia.




PELIHARA PERPADUAN AGAMA DAN BANGSA

1. Saya melihat tindakan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab membakar beberapa gereja dan surau adalah cubaan yang sangat hina bertujuan untuk menimbulkan ketegangan agama dan huru-hara di Malaysia.

2. Tindakan-tindakan tersebut juga bertujuan merosakkan perpaduan agama dan bangsa yang telah sedia terbina baik sebelum ini.

3. Saya percaya mereka yang melakukan perkara ini sebenarnya berniat jahat. Mereka mahu melihat negara kita dalam keadaan yang tidak stabil dan cuba mengambil kesempatan daripada konflik isu penggunaan kalimah Allah sebagai medium untuk membakar semangat keagamaan dan perkauman. Mereka cuba menciptakan keadaan tegang di mana satu pihak akan menuduh pihak yang lain dalam isu pembakaran gereja dan surau ini. Mereka ini seronok bila melihat negara menjadi tidak aman dan huru hara.

4. Jika keadaan dalam negara huru hara, ini akan memberikan banyak kesempatan lain kepada golongan ini seperti mendesak campurtangan dari luar atau cuba memberi imej yang buruk kepada Malaysia kerana ianya sebuah negara Islam.

5. Justeru, sebagai masyarakat yang telah matang dari sebuah negara yang telah lebih 50 tahun merdeka, saya menyeru semua pihak mengendalikan isu ini secara bijak dan aman. Tindakan bantahan demi bantahan melalui demontrasi dan perhimpunan untuk memprotes isu ini tidak banyak membantu atau menyelesaikan konflik ini. Cara yang terbaik adalah melalui perbincangan, persepakatan, permuafakatan dan toleransi antara agama.

6. Berdasarkan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara bertunjangkan budaya Melayu dan kepercayaan kepada agama Islam, maka ianya tidak boleh disamakan dengan negara-negara lain, justeru semua pihak terutamanya bukan Islam dan bukan Melayu harus sedar akan hakikat agama, budaya dan amalan masyarakat Malaysia. Oleh itu, seharusnya kita bertindak bijak, bertoleransi dan saling bantu membantu. Jadi bagi pihak yang terlibat dalam konflik tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian ini, belajarlah daripada pengalaman konflik ini supaya berfikirlah secara matang dan rasional sebelum bertindak terhadap sesuatu isu yang boleh menggugat sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat ibarat usahlah dijolok sarang tebuan jika sudah tahu risikonya adalah sangat buruk.

7. Bagi orang Melayu hentikanlah bantahan dalam bentuk demontrasi dan perhimpunan umum. Selesaikan isu dan konflik secara semangat perpaduan.

8. Dalam keadaan yang boleh menimbulkan huru hara dalam negara adalah sangat tidak menguntungkan kita, sebaliknya hanya akan merugikan masa depan pembangunan negara dan pembinaan tamadun generasi akan datang.

9. Marilah kita kembali bersatupadu sebelum ianya menjadi semakin terlewat.





Saturday, January 9, 2010

CONTOH PENERBITAN KRISTIAN

1. Saya bersetuju jika tindakan membenarkan pihak Kristian atau gereja menggunakan kalimah Allah dalam dakwah dan penerbitan mereka, dibimbangi akan memberi kesan kekeliruan yang serius terhadap kefahaman dan akidah umat Islam di negara ini terutamanya kepada generasi yang akan datang.

2. Berikut adalah contoh penerbitan Kristian dan pandangan oleh Yang Berhormat Zulkifli Bin Noordin. Baca Sini.

3. Walaupun saya yakin mungkin penerbitan seperti itu diterbit bertujuan untuk kegunaan dakwah Kristian kepada penganutnya, namun, bagaimana jika ianya sehingga dibaca oleh golongan muda dan anak-anak kecil yang beragama Islam? Mungkin ia boleh mendatangkan kekeliruan kepada mereka jika mereka masih mentah dalam ilmu keagamaan dan akidah Islam.

4. Saya yakin ini pasti akan berlaku kerana pihak Yahudi dan Kristian akan terus berusaha menyesatkan akidah orang Islam sama ada di Malaysia atau di tempat-tempat lain tanpa jemu dan putus asa.

5. Merujuk kepada Al-Quran, Surah Al Baqarah: 120 : Firman Allah :

"Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah :'sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah petunjuk yang benar'. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah datang kepada kamu 'ilmu (Al Quran), maka ALLAH tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu".

REAKSI MEDIA ANTARABANGSA

1. Saya percaya isu semasa tentang penggunaan kalimah Allah di Malaysia kini mendapat liputan dan perhatian tinggi daripada media antarabangsa.

2. Oleh kerana mereka (media asing) ini menganggap isu ini melibatkan antara Kristian dan Islam, maka mereka sangat berminat untuk mengikuti isu ini dengan dekat tertutamanya dalam menarik perhatian negara-negara bukan Islam dan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya.

3. Seperti yang boleh dijangka isu ini akan dimanipulasi oleh media asing untuk menggambarkan bahawa umat Islam dan Kristian sedang berbalah.

4. Isu ini didapati semakin membesar apabila terdapat 3 buah gereja telah dilontarkan bom petrol oleh pihak yang tidak bertanggungjawab manakala dalam masa yang sama dapat dilihat umat Islam membuat perhimpunan-perhimpunan memprotes mengenai keputusan mahkamah.

5. Secara peribadi saya mengutuk tindakan pihak yang SANGAT TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ke atas pengeboman 3 buah gereja berkenaan. Tindakan mana-mana pihak dalam merosakkan dan mencemarkan rumah ibadat seperti masjid, gereja, kuil dan tokong adalah sangat melampau.

6. Media asing menggunakan kesempatan ini dengan cuba memberi imej buruk kepada umat Islam di Malaysia. Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pihak sama ada orang Islam dan bukan Islam agar bertenang dan menangani isu ini secara bijak dan berdiplomasi.

7. Jika keadaan ini tidak ditangani segera secara baik dan bijaksana, maka media asing serta negara asing seperti Amerika akan terus memanipulasi isu ini dan seterusnya boleh mengundangkan cubaan campurtangan asing yang boleh memburukkan lagi keadaan.

8. Berikut adalah salah satu contoh tindakan media asing (CNN) yang tidak bertanggungjawab membuat laporan dan video yang cuba memburukkan imej Islam berkaitan isu ini. Klik sini.

Friday, January 8, 2010

AGAMA DI MALAYSIA

1. Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

2. Dalam Perkara 11 (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

3. Ini bermakna Islam adalah agama yang utama di Malaysia dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

4. Dalam konteks ini, saya bukanlah ingin bersifat perkauman dan prejudis terhadap agama lain tetapi saya berpendapat walaupun Islam adalah agama utama tetapi orang-orang Islam dan pemerintah di Malaysia tidak pernah menyekat atau menghalang amalan penganut-penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian.

5. Amalan agama-agama lain ini mendapat layanan yang baik di Malaysia termasuk dalam konteks pembinaan rumah ibadat seperti kuil, tokong dan gereja telah mendapat peruntukan yang wajar. Terdapat banyak gereja, kuil dan tokong dibina serata tempat di hampir setiap petempatan, daerah dan negeri. Adakalanya bangunan-bangunan dan binaan di kawasan rumah ibadat itu dibina dalam saiz -saiz yang sangat besar dan sangat menonjol. Ini jarang dibantah oleh umat Islam selagi ianya tidak mendominasi masjid-masjid yang terletak berhampiran.

6. Dari aspek melakukan upacara dan aktiviti keagamaan agama lain juga, umat Islam di Malaysia sangat mempunyai tolenransi yang tinggi untuk penganut agama lain melaksanakan upacara agama serta budaya mereka misalnya seringkali agama-agama lain meraikan upacara berkaitan agama mereka di luar rumah ibadah seperti perarakan di atas jalan raya, di tempat awam dan terdapat juga sesetengah sambutan keagamaan mereka diberikan cuti am tahunan oleh pemerintah di negara ini sebagai menghormati orang bukan Islam.

7. Inilah 'kenikmatan' yang sangat bernilai yang telah diberikan oleh pemerintah kepada orang bukan Islam di Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.

8. Berbeza pula bentuk layanan dan penghormatan kepada agama Islam di kebanyakan negara bukan Islam. Kebebasan agama Islam disekat dan diganggu. Bangunan masjid tidak boleh dibina dengan saiz yang besar dan rekabentuk masjid juga dikawal supaya penonjolan Islam tidak terlalu ketara. Ada negara yang laungan azan tidak dibenarkan sehingga didengari oleh awam, cukup sekadar didengari oleh mereka yang berada di dalam masjid. Bilangan masjid yang dibenarkan amat terhad dan kadang kala tidak mengcukupi. Ada juga negara bukan Islam yang menghalang wanita Islam memakai pakaian yang melambangkan Islam misalnya memakai tudung kepala. Umat Islam sentiasa diragui di sesetengah negara bukan Islam, mereka sering diperhatikan, menerima layanan pemeriksaan yang buruk di lapangan-lapangan terbang akibat sering dikaitkan dengan imej 'pengganas' kononnya. Dengan kata lain, agama Islam menerima layanan yang buruk dan tidak adil di kebanyakan negara-negara bukan Islam.

9. Tetapi di Malaysia, orang bukan Islam diberikan layanan yang baik. Inilah sifat sebenar orang Islam, kerana Islam tidak mengajar penganutnya bermusuhan atau menyekat kebebasan penganut agama lain. Saya fikir toleransi umat Islam di Malaysia sangat baik dan tinggi ke atas bukan Islam. Kadang kala kelebihan yang diberikan kepada penganut agama lain untuk meraikan upacara agama mereka dengan kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa dengan baik sekali termasuk pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan untuk mereka melakukan upacara agama misalnya terdapat kerjasama pihak berkuasa seperti PDRM yang sanggup memberi kerjasama menutup jalan raya tertentu dan mengawal keselamatan orang-orang bukan Islam sewaktu mereka menyambut perayaan atau upacara agama. Ini tidak dibantah oleh orang Islam kerana mereka hormat kepada keperluan penganut agama lain.

10. Di Malaysia, walaupun Islam merupakan agama rasmi dan utama, namun, tidak pernah umat Islam memaksa bukan Islam agar memeluk Islam atau gerakan-gerakan dibuat untuk meng'Islam'kan orang bukan Islam. Tetapi sebaliknya wujud laporan yang mendakwa wujud gerakan-gerakan oleh agama lain misalnya Kristian yang cuba memurtadkan orang Islam. Inilah balasan yang diterima walaupun tolerasi umat Islam terhadap bukan Islam adalah tinggi.

11. Sebagai contoh, di tempat dan negara saya berada sekarang, iaitu Australia ,umat Islam di sini tidak mempunyai kebebasan beragama sepertimana kelebihan yang diberikan kepada orang bukan Islam di Malaysia. Bangunan masjid yang ada adalah sangat terhad, manakala saiz bangunan masjid pula bolehlah dikatakan sekadar bertaraf 'surau' yang ada di Malaysia, laungan azan hanya boleh setakat didengari oleh jemaah yang ada di dalam Masjid sahaja. Tiada kemudahan infrastruktur yang khusus untuk masjid, dan kadang kala risiko masjid boleh dibubarkan oleh pihak berkuasa di sini jika ada isu umat Islam yang datang bersembahyang Jumaat salah meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak dibenarkan. Hanya kerana masalah tempat letak kereta, maka orang Islam boleh kehilangan masjid atau hak untuk beribadah secara berjemaah. Di sini juga disebabkan isu berkenaan, umat Islam terpaksa bersolat Jumaat di gelanggang bola keranjang kerana mendapat bantahan pihak berkuasa tempatan (local authority). Manakala, gerakan-gerakan oleh pihak gereja untuk meng'Kristian'kan orang ramai dilakukan secara terbuka dan terang-terangan di tempat awam. Saya sendiri mempunyai pengalaman pernah beberapa kali didekati oleh petugas-petugas gereja untuk menerangkan tentang agama Kristian sewaktu berjalan ke universiti dan tidak cukup aktiviti penyebaran agama Kristian di tempat-tempat awam, mereka juga turut datang rumah ke rumah untuk menerangkan tentang Kristian dalam usaha mereka mempengaruhi orang ramai menganut agama itu.

12. Saya fikir keharmonian beragama di Malaysia haruslah dipelihara sebaik-baiknya. Jika umat Islam boleh bertoleransi dan hormat kepada agama lain, maka seharusnya orang bukan Islam juga harus menghormati agama Islam. Elakkan tindakan-tindakan yang boleh mengganggu sensitiviti orang Islam. Justeru, saya sangat tidak bersetuju dengan tindakan beberapa ahli politik yang bukan Islam yang pernah mempertikaikan tentang isu laungan azan dan bilangan masjid di Malaysia.

13. Ingatlah, isu tentang agama mempunyai sensiviti yang sangat tinggi. Oleh itu, seharusnya sebarang tindakan yang boleh menggugat anutan dan kepercayaan sesuatu agama harus dikendalikan secara bijak.

Wednesday, January 6, 2010

ALLAH YANG MAHA ESA

1. Dengan rasa rendah diri saya memohon dan mengajak mereka yang beragama Islam dan boleh juga yang bukan Islam untuk bersama-sama melihat dan mendengar penjelasan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah ini oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Haron Din seperti video berikut.

2. Saya memohon agar kita dapat lihat dan dengar penjelasan ini sebagai seorang hamba Allah. Untuk tempoh 20 minit ini, ketepikanlah sebentar segala ideologi politik, ego, rasa marah, taksub, pendapat, pandangan, rasa pintar, rasa bijak, kehebatan berdebat dan macam-macam kelebihan yang Allah 'pinjamkan' kepada kita di muka bumi ini. Sebaliknya tonton dan dengarlah secara rasa fitrah hubungan kita sebagai hamba dengan Allah. Dengarlah penjelasan ini sepenuhnya dari awal Bahagian 1 sehingga tamat Bahagian ke 2.


Bahagian 1


Bahagian 2

3. Allah Yang Maha Esa, Allah Yang Maha Besar. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.

AGIHAN PEMBANGUNAN

1. Memasuki tahun 2010 ini mengingatkan saya tentang Pelan Tindakan Kedah Maju 2010. Secara rasionalnya saya berpendapat ketika pengenalan pelan tindakan tersebut sekitar tahun 2001, ianya mungkin masih tidak berdaya menjadikan negeri Kedah sebagai sebuah negeri maju pada tahun 2010.

2. Ini terbukti sehingga hari ini didapati Kedah masih tersenarai antara negeri di kedudukan yang tercorot dari segi tahap pembangunan dalam senarai pembangunan negara.

3. Tetapi saya yakin jika usaha perlaksanaan pelan tindakan itu dilakukan dengan konsisten, betul dan berkesan sejak awal pelancarannya mampu menjadikan Kedah pada hari ini berada antara kelompok 5 negeri teratas dalam senarai negeri yang membangun.

4. Namun, malangnya Pelan Tindakan Kedah Maju tidak dapat bertahan lama, kerana Menteri Besar yang mengasaskannya tidak lagi mampu berada di kerusi kepimpinan negeri akibat masalah kesihatan.

5. Pengganti beliau iaitu Menteri Besar seterusnya lebih berminat dengan 'Kedah Gemilang' dan sehingga beliau digantikan dengan Menteri Besar sekarang, saya masih tidak dapat mengetahui apakah ke'gemilang'an negeri yang telah dicapai.

6. Pusat kajian Kedah Maju 2010 iaitu Unit Tindakan Kedah Maju 2010 (UTKM 2010) yang ditubuhkan di UUM juga telah ditukar kepada NCER Research Center (NCER RC) dan kini dikenali sebagai Kedah Sustainable Development Center(KSDC).

7. Belum sempat pembangunan Kedah mencari arah "gemilang'', selepas Mac tahun 2008 sehingga kini fokus pembangunan negeri bertukar pula kepada 'Kedah Sejahtera'. Maka negeri Kedah Darul Aman akan menjadi 'aman' dan 'sejahtera'.

8. Berbalik kepada PTKM 2010, saya fikir walaupun ianya dilihat mustahil menjadikan Kedah sebuah negeri maju pada tahun ini, namun jika ia dilaksanakan secara konsisten oleh kepimpinan negeri sama ada yang 'dahulu' atau yang 'sekarang' sekurang-kurangnya kini mungkin lebih banyak perubahan dan kemajuan telah dicapai di negeri itu. Tetapi sikap kepimpinan yang lebih mementingkan 'ideologi' peribadi dalam mentadbir negeri menjadikan pembangunan yang telah dirancang tidak konsisten dan menyebabkan sasaran pembangunan negeri sukar dicapai.

9. Dari aspek pembangunan negara, saya dapati tahap agihan dan jurang keseimbangan pembangunan kawasan dan negeri masih sukar dicapai. Kesan politik terhadap agihan pembangunan masih tinggi terutamanya dipengaruhi oleh faktor pemimpin dan parti politik.

10. Sebelum ini agihan projek pembangunan lebih banyak tertumpu di Pulau Pinang dan kini aliran tumpuan pembangunan teralih pula kepada Koridor ECER terutamanya di Pahang.

11. Manakala agihan pembangunan kepada negeri Kelantan masih rendah menjadikan negeri Kelantan terus menghuni kedudukan tercorot dalam konteks pembangunan. Manakala Sabah dan Sarawak mendapat banyak suntikan pembangunan selepas sahaja keputusan PRU ke-12 yang lalu (Sabah mendapat bantuan pembangunan lebih RM3 bilion).

12. Menuju kepada pencapaian Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, ukuran kemajuan bukan sahaja terletak kepada kemajuan yang ditonjolkan di Putrajaya, Lembah Klang dan koridor pembangunan ECER, tetapi tahap kemajuan negara perlu diukur melibatkan kemajuan semua negeri di Malaysia termasuk juga Kelantan. Begitu juga keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar harus ditingkatkan.

13. Justeru saya percaya jika trend mempolitikkan pembangunan ini berlanjutan dan agihan pembangunan hanya berdasarkan 'kawasan terpilih' sahaja, maka sukar untuk negara mencapai sasaran Wawasan 2020.

14. Kita hanya ada masa lagi 10 tahun untuk ini.

Tuesday, January 5, 2010

KESATUAN UMAT ISLAM

1. Saya sebagai salah seorang warganegara Malaysia beragama Islam, mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua umat Islam dan semua pihak yang berusaha menentang keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap isu penggunaan kalimah Allah.

2. Jika nilai kesatuan dan kesepaduan yang tinggi di kalangan orang Islam di Malaysia seperti yang ditunjukkan dalam isu ini dilakukan untuk isu-isu lain seperti politik, sosial dan ekonomi, saya percaya orang Melayu dan Islam di Malaysia akan terus maju, gagah dan tidak ketinggalan lagi dalam semua bidang dan pembangunan negara.

3. Mengapa kita boleh bersatu kerana mempertahankan agama, tetapi tidak pula dalam isu-isu lain? Jawapannya mudah, kerana dalam isu lain kita lebih mengutamakan kepentingan diri dan organisasi dahulu berbanding kepentingan kemajuan bersama, tetapi dalam agama kita mengutamakan agama dahulu berbanding perkara lain.

4. Agama Islam amat menggalakkan dan telah pun menunjukkan bahawa umat Islam boleh bersatu, jadi hanya ego dan kepentingan masing-masing yang menjadi penghalang.

5. Oleh itu, dalam isu ini kita telah 'bersatu' kerana Allah, maka marilah kerana Allah juga kita 'bersatu' memajukan bangsa dan negara ini. Amin.

Saturday, January 2, 2010

GUNA KALIMAH ALLAH

1. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 lalu yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh pihak Gereja Katolik dan agama lain AMAT MENDUKACITAKAN saya dan saya percaya ini turut dirasai oleh sebahagian besar umat Islam di Malaysia.

2. Tindakan itu boleh memberi padah dan bencana yang dashyat di masa hadapan ke atas sebahagian besar umat Islam kerana ianya boleh mendatangkan kekeliruan dan memungkinkan disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menyesatkan akidah orang Islam.

3. Saya lebih bimbang kesan negatifnya kepada generasi muda dan remaja sekarang dan impak buruk terhadap akidah umat Islam generasi akan datang.

4. Saya melihat perkara ini amatlah besar kesannya justeru seharusnya demi cintakan agama, saya menggesa semua pihak seperti para ulamak, parti politik, pemimpin Islam, NGO's Islam, serta pelbagai pihak yang berkaitan Islam mengetepikan perbezaan ideologi dan fahaman masing-masing, sebaliknya perlu bersatu mendepani isu ini dengan segera.

5. Berdasarkan keputusan mahkamah, saya fikir walaupun Hakim bersandarkan Artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan, namun hakikatnya Allah dan Islam lebih tinggi darjatnya daripada Perlembagaan tersebut.

6. Janganlah kerana taksub kepada Perlembagaan, kita rela kalimah Allah dan Islam dipermainkan oleh pihak lain.

7. Saya amat bersetuju dengan pandangan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir. Baca sini.

8. Sila rujuk juga pandangan Ahli Parlimen Baling yang juga merupakan bekas Imam Besar Masjid Negara iaitu Ustaz Taib Azamuddin seperti video berikut (terutamanya hujah beliau pada minit ke 5:45) :

9. Saya bimbang jika perkara ini dipandang remeh mungkin pada masa depan pihak gereja akan cuba menuntut perkara-perkara lain pula misalnya membina kubah pada bumbung bangunan gereja ataupun memanggil paderi-paderi mereka dengan gelaran 'ustaz' atau 'ustazah' dalam usaha mengelirukan kefahaman dan akidah umat Islam.

Friday, January 1, 2010

2010

Selamat menyambut tahun baru 2010. Semoga kehadiran tahun 2010 ini mampu menjadikan kita seorang hamba Allah yang lebih baik berbanding tahun yang lalu dan mendapat rahmat Allah serta rezeki yang mencurah-curah daripada-Nya. Amin...

Syahril Said

p/s : Blog ini dah lama 'bercuti' akibat kelapangan masa yang kurang mengizinkan...InsyaAllah blog ini akan kembali 'aktif' dalam masa yang terdekat..Amin...(terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan melawat blog ini selama ini, walaupun ruangan ini hanya ruang saya menyatakan pandangan peribadi, keprihatinan anda amatlah saya hargai atas perkongsian ilmu...)